Sumber : Web JHEAINS

Pensyariatan ibadah Haji adalah antara simbol ukhuwah dan persaudaraan umat Islam. Di bumi yang barakah Makkah, jutaan umat Islam berbeza suku kaum, bangsa, Bahasa dan budaya dari seluruh pelusuk dunia berhimpun untuk menunaikan perintah Allah SWT, sanggup meninggalkan kampung halaman, berbelanja mengeluarkan wang ringgit, harta, bersusah payah melalui perjalanan yang jauh semata-mata menyahut tuntutan perintah Allah SWT, iaitu menunaikan ibadah Haji. Maksud firman Allah SWT:

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus (pada masa lampau, unta menjadi kenderaan utama bagi orang yang pergi mengerjakan Haji. Kurusnya unta-unta itu pula disebabkan perjalanan yang jauh yang telah ditempuh), yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh”. (Surah Al-Hajj, ayat 27)

Umat Islam yang beriman itu adalah bersaudara. Firman Allah SWT bermaksud :

“Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelengkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (Surah Al-Hujuraat, ayat 10)

Perpaduan ummah. Firman Allah SWT bermaksud :

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah Al-Hujuraat, ayat 13)

Mengambil sempena keberkatan Hari Raya Aidil Adha yang mulia ini, semangat ibadah korban dan semangat ibadah Haji yang menyatukan jutaan umat Islam dari seluruh pelusuk dan ceruk rantau dunia, dari timur, barat, utara dan selatan telah berhimpun di bumi Makkah yang berkat.

Maka kita sebagai umat Islam yang beriman marilah kita perkukuh dan mantapkan lagi tali silaturrahmi, ukhuwah Islamiah dan perpaduan ummah melalui jalan-jalan dan panduan-panduan telah digariskan dalam Syariat dan ajaran Islam yang syumul lagi sempurna ini. Yakinlah bahawa sesungguhnya silaturrahmi itu pasti mengukuhkan ukhuwah Islamiah sesama umat Islam, ukhuwah atau persaudaraan pula pasti akan memantapkan perpaduan ummah seluruhnya.

Oleh itu, bersatulah wahai umat Islam atas dasar dan landasan yang telah digariskan di dalam Islam, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, para sahabatnya dan umat Islam di zaman kegemilangan Islam dahulu. Firman Allah SWT bermaksud :

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya”. (Surah Ali ‘Imran, ayat 103)

Sehubungan itu, ukhuwah Islamiah dan perpaduan ummah tidak terbatas pada sempadan kampung, mukim, daerah, negeri atau Negara, tetapi hakikatnya ukhuwah dan persaudaraan Islam itu tidak mengenal batas sempadan tersebut. Oleh itu, marilah kita kenang dan bantu saudara-saudara seIslam kita yang susah, tidak bernasib baik di manapun mereka berada seperti umat Islam di Syria, Palestin, Rohingya, Afghanistan dan sebagainya.

Hari ini pelbagai cara dan saluran bantuan boleh kita hulurkan melalui badan-badan kebajikan yang diiktiraf oleh kerajaan, seboleh-bolehnya bersama-samalah kita panjatkan doa, moga dapatlah meringankan sedikit kesusahan yang mereka alami dan tempuhi.

Advertisements