Sumber : Web JHEAINS

Beringatlah selalu bahawa sesungguhnya kelalaian serta keengganan manusia untuk mematuhi peraturan hidup yang telah ditentukan oleh Allah SWT akan menjadi sebab turunnya bala atau kesusahan. Oleh sebab itu, bertakwalah kepada Allah SWT dengan mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita terselamat daripada murka Allah SWT.

“Dan kamu tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpa kamu dengan bala bencana, walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi (atau di langit); dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah sebagai pelindung atau pemberi pertolongan.” (S. AsySyuraa: 31).

Sebatang lidi yang halus begitu mudah dipatah-patahkan. Tetapi, begitu payah untuk mematah-matahkan lidi-lidi halus yang banyak diikat menjadi satu. Hakikat ini menjelaskan bahawa kalau kita bersatu, kita akan bertambah teguh dan kuat sehingga sukar diganggu-gugat oleh seteru yang mengancam.

Sehubungan itu, peribahasa kita mengungkapkan: “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Ia membawa mesej bahawa hidup bersatu padu amat penting dalam sesebuah masyarakat dan negara. Kesatuan dan perpaduan rakyat adalah kunci kepada kekuatan sesebuah bangsa dan Negara.

Inilah antara sebab maka setiap warga Negara mesti mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengancam serta merenggangkan kesatuan dan perpaduan seperti berselisih faham dan berbalah sesama sendiri yang menjadi punca kelemahan dan ketidakupayaan melawan musuh. Maksud firman Allah:

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantah; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar.” (S. Al-Anfal: 46).

Jelas di sini, untuk memperkukuh kesatuan serta perpaduan Negara bangsa, setiap warga mesti menjadikan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya di samping mengelakkan perselisihan faham dan perpecahan sebagai prinsip hidup bermasyarakat dan bernegara.

Usaha pembangunan akan menjadi mudah jika sesebuah masyarakat itu diikat dengan unsur kesatuan dan perpaduan. Kesatuan ini akan bertambah kukuh jika setiap warga bergabung di atas dasar saling hormat menghormati, percaya mempercayai dan bertolak ansur antara satu sama lain.

Seruan memperkukuhkan kesatuan Negara bangsa begitu relevan dalam konteks Negara kita. Ini kerana, Negara kita Malaysia merupakan gabungan Semenanjung Tanah Melayu dengan Negeri Sabah dan Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian kaum, etnik, agama, adat resam dan budaya.

Di samping itu, persekutuan Malaysia bukan sahaja menggabungkan negeri-negeri, malahan melibatkan juga penyatuan dua buah wilayah yang dipisahkan oleh Laut China Selatan. Demikian juga halnya, pembentukan Persekutuan Malaysia yang berlaku pada 16 September 1963 bukan sekadar memunculkan Negara baru, tetapi turut memberi pelbagai faedah kepada rakyat secara menyeluruh.

Selain menikmati pelbagai macam bentuk pembangunan dan kemajuan, rakyat yang berbilang kaum juga telah dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni dengan dihiasi kepelbagaian serta keunikannya yang tersendiri. Atas sebab itu, usia Persekutuan Malaysia yang sudahpun mencecah 52 tahun kini perlu terus kita pertahankan dan pulihara. Dan, perpaduan rakyat dan kesatuan negeri-negeri adalah teras mengekalkan dan memperkukuhkan Negara bangsa.

Ini bererti, semua pihak perlu memberi keutamaan kepada menggilap keazaman politik berpaksikan keikhlasan dalam perhubungan di bawah konsep politik “federalism”. Dalam hubungan ini, semangat kesukuan dan kenegerian yang sempit juga hendaklah dikikis.

Setiap warga mesti berganding bahu bagi memenuhi aspirasi penduduk pelbagai etnik di negeri-negeri di kedua buah wilayah, iaitu Semenanjung Tanah Melayu di barat, dan Sabah serta Sarawak di sebelah timur. Ia adalah prasyarat dalam memastikan suasana aman dan harmoni terus terpelihara sekali gus terus kekal megah berdiri mengebarkan panji-panji Islam dengan membawa slogan Persekutuan “Bersekutu Bertambah Mutu”.

Advertisements