Sumber : Web JHEAINS

Asas kepada kerukunan hidup masyarakat majmuk ialah memastikan keadaan aman dan harmoni yang dinikmati sentiasa terpelihara. Setiap komuniti hendaklah menghargai dan mensyukuri kepelbagaian yang ada dengan mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh mengganggu-gugat kesatuan dan perpaduan Negara bangsa.

Maknanya, setiap ahli keluarga dan juga anggota masyarakat hendaklah sentiasa berusaha menyingkirkan sifat-sifat mazmumah atau buruk yang merugikan seperti hasad dengki, berburuk sangka, fitnah memfitnah, caci mencaci, pulau memulau dan sebagainya.

Bagaimanapun, dalam masyarakat kita hari ini, terdapat orang yang kurang senang dengan kemajuan serta kemewahan hidup yang dikecapi oleh orang lain. Sikap negatif berkenaan adalah nilai yang tidak baik dalam kerangka bersaing mencapai kecemerlangan dan membangunkan Negara yang terbilang.

Namun inilah antara resam dunia, apabila ada orang yang sebangsa dan seagama maju, kaya-raya dan berjaya, terus ada pemikiran negatif. Mereka mentohmah kononnya kemajuan serta kejayaan yang mereka perolehi itu hasil dari pinjaman, rasuah, tipu-daya dan sebagainya.

Tetapi ironinya, apabila bangsa lain maju, berjaya serta kaya-raya, jarang sekali yang mempersoalkan bagaimana mereka memperolehi kelebihan tersebut. Senario ini mengisyaratkan ada sesuatu yang tidak kena, yakni berkemungkinan hati sudah diselimuti sifat cemburu dan hasad terhadap saudara seagama yang lebih ke hadapan dalam pelbagai bidang.

Perasaan kurang senang adalah benih sifat iri hati dan hasad dengki. Iri hati ialah sifat yang muncul akibat dari perasaan ego dan sombong sehingga tidak boleh menerima serta melihat orang lain melebihi dirinya. Lantas, rasa iri hati membuahkan pula sifat atau penyakit hasad dengki. Hasad berasal dari bahasa Arab yang bererti dengki, yang mana sering digabungkan menjadi hasad dengki dalam bahasa harian kita.

Hasad dengki membawa maksud perasaan inginkan agar nikmat, kelebihan, kebolehan atau keistimewaan yang ada pada orang lain terhapus. Tetapi dia akan merasa gembira jika dia termasuk dalam kumpulan yang memperolehi kelebihan serta keistimewaan berkenan.

Justeru, hasad dengki adalah sifat mazmumah yang paling kerap melanda diri manusia. Dalam menghuraikan persoalan sifat yang keji ini, Imam al-Ghazali menyenaraikan tiga ciri orang yang berdengki seperti berikut:

Pertama, menginginkan agar kenikmatan atau kelebihan lenyap daripada orang lain dan mengharapkan agar kenikmatan itu berpindah kepadanya.

Kedua, menginginkan agar kelebihan yang dimiliki orang lain itu lenyap meskipun dia sendiri tidak dapat memilikinya disebabkan kekurangan pada dirinya sendiri. Yang penting baginya ialah orang itu jatuh dan hilang kelebihannya.

Ketiga, merasa sakit hati apabila orang lain melebihinya walaupun dia tidak berbuat sesuatu untuk menjatuhkannya.

Sehubungan itu, seseorang yang berpenyakit hasad dengki sentiasa gelisah atau tidak puas hati melihat apa yang dimiliki oleh orang yang didengkinya. Apabila perasaan itu tidak lagi dapat dikawal, maka si pendengki akan menyusun strategi agar hasrat buruk itu tercapai dengan apa cara sekalipun. Dan situasi inilah yang menatijahkan gejala negatif seperti mereka-reka cerita, menfitnah, mengumpat, memaki dan sebagainya bertujuan memburuk-burukkan orang yang didengki.

Malah, ada di kalangan yang dihidapi penyakit hasad itu sanggup bersekongkol dengan pihak musuh menggunakan segala cara yang ada termasuk media sosial hatta melanggani tukang-tukang sihir dan mengamalkan perbuatan keji lainnya semata-mata untuk menjatuhkan orang yang didengkinya.

Advertisements