Sumber : Web JHEAINS

Menelusuri sirah Rasulullah SAW, kita akan dapati yang Baginda adalah seorang negarawan yang sangat cinta dan sayang kepada tanah airnya. Ia terpapar pada peristiwa sewaktu Baginda hendak melangkah meninggalkan bumi Makkah untuk berhijrah ke Madinah, di mana Rasulullah SAW melahirkan perasaan sayunya meninggalkan kota Makkah dengan sabdanya yang bermaksud:

“Alangkah indahnya engkau, betapa aku sangat menyayangimu, kalaulah tidak kerana kaumku mengeluarkan aku darimu, nescaya tiada bumi yang akan aku diami melainkan engkau”. Setelah sampai di Madinah al-Munauwarah, Baginda berdoa: “Ya Allah, berikanlah kecintaan kami kepada Madinah sebagaimana Engkau berikan kecintaan kepada Mekah atau lebih dari itu dan bersihkanlah ia serta berkatilah kepada kami dalam makanan dan bekalnya dan gantikan wabak penyakitnya dengan juhfah (bebas penyakit).” (HR Al-Bukhari dan Muslim).

Sabda serta doa Rasulullah SAW tersebut adalah isyarat jelas bahawa cinta dan setia kepada Negara merupakan sesuatu yang dituntut. Jadi, Sebagai warga Malaysia, cintailah Negara ini dengan memelihara kedaulatan dan kemakmuran tanah air kita ini. Cintailah keamanan yang wujud di negara ini dan peliharalah dengan sebaik mungkin. Ini kerana, di sinilah kita dilahirkan, berlindung dan tempat kita membanting tulang empat kerat mencari rezeki demi meneruskan kelangsungan hidup.

Bijak pandai berkata, kerja membina bukan kerja mudah dan kerja memusnah bukan kerja payah. Sebab itu, menjadi tanggungjawab kita bersama memastikan nikmat kemerdekaan berserta kesenangan dan kemewahan yang dirasai hari ini terus dipertahankan supaya dapat diwarisi oleh generasi akan datang. Untuk ini, aspek kesedaran mengenai mempertahankan maruah bernegara dan kesedaran membela negara hendaklah terus dipupuk dan disuburkan. Ia boleh diterapkan melalui pendidikan secara menyeluruh yang merangkumi pengajaran dan pembelajaran ketatanegaraan dan Sejarah tanah air di sekolah.

Subjek sejarah misalnya dapat menyemai rasa cinta dan setia generasi muda terhadap Negara kerana sejarah akan memperkenalkan mereka dengan tokoh-tokoh pejuang serta pemimpin yang menyumbang khidmat bakti kepada tertegaknya Malaysia yang merdeka lagi berdaulat ini.

Di dalam kitabnya, Ihya’ Ulumuddin, Imam Al-Ghazali menegaskan hakikat kepentingan sesebuah negara Islam dan umatnya dengan katanya: “Dunia ini tempat bercucuk tanam bagi bekalan akhirat. Dan tidak sempurna agama melainkan seiring dunia. Kekuasaan politik dan agama adalah pasangan berkembar. Agama itu tiang utama, sementara kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tiada tiang, maka ia akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga akan musnah dan hilang”.

Dengan hal yang demikian, mencintai negara yang disemarak hasil ketaatan kepada Allah SWT, Rasul dan pemimpin adalah sesuatu yang dianjurkan. Sebaliknya, mencintai negara kerana didorong oleh cintakan dunia menjadi punca kerosakan. Maka, sebagai menzahirkan cinta kita kepada agama, bangsa dan Malaysia yang menjadi tanah tumpahnya darah kita, marilah kita berganding bahu sehati sejiwa membina generasi yang beriman dan bertakwa ke arah memperkukuh rasa cintakan Negara bagi mewujudkan keadaan yang lebih aman, selamat dan sejahtera, sekali gus mengundang rahmat Allah SWT:

Maksudnya: “Dan (Tuhanmu berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman, serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi…” (S. Al-A’raaf: 96).