Sumber : Web JHEAINS

Hendaklah kita sentiasa menginsafi bahawa sesungguhnya setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Hanya keinsafan serta kesedaran sebenar yang lahir daripada keimanan terhadap kekuasaan Allah SWT dapat menggerakkan diri untuk melakukan persiapan yang sewajarnya bagi menghadapi Ilahi pada bila-bila masa dan tempat. Kerana sesungguhnya, apabila sampai ajal seseorang itu, ia tidak dapat ditunda mahupun dipercepatkan walau sesaatpun sebagaimana ditegaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud :

“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (S. Al-A’raaf: 34).

Oleh hal yang demikian, kurniaan hidup adalah nikmat terbesar bagi hamba Allah SWT di dunia ini. Ia hadir hanya sekali sahaja untuk manusia. Lantaran itu, kesempatan untuk hidup di dunia ini seharusnya dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk memperbanyakkan amal ibadah sebagai bekalan menuju akhirat. Ini bertepatan dengan tujuan penciptaan jin dan manusia, iaitu beribadat kepada Allah SWT yang bermaksud :

“Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku.” (S. Az-Zarriyat: 56).

Imam Ghazali berkata: “Mati itu ada kalanya berlaku serta-merta. Andainya kamu tidak mati sertamerta, kamu harus ingat bahawa sakit itu selalu datang dengan serta-merta. Apabila kamu sakit, nescaya kamu tidak akan berdaya lagi untuk mengerjakan amalan soleh, sedangkan amalan soleh itu pula adalah bekalan akhirat.”

Kata-kata yang diungkapkan oleh Imam Ghazali ini memperingatkan kita bahawa penyakit yang dideritai oleh seseorang itu tidak semestinya merupakan sebab-musabab kepada kematiannya. Tetapi, apabila seseorang itu sakit, sudah pasti peluang untuk beramal soleh akan terjejas. Sedangkan amal-amal soleh yang dikerjakan semasa hidup di dunia ini adalah bekalan untuk hari akhirat. Dan, akhirat adalah destinasi di mana segala amalan anak Adam di dunia akan dihisab untuk menentukan bentuk balasan yang menanti sama ada syurga ataupun neraka.

Bagaimanapun sebahagian besar manusia memandang hari akhirat sebagai sesuatu yang enteng sehingga ada yang berkata: “Kalau dah tua nanti, barulah bertaubat dan beramal ibadat”. Persoalannya, sempatkah mereka yang sedemikian mencapai umur tua? Dan sempatkah mereka itu beramal soleh dan bertaubat?

Ini kerana, tidak ada sesiapa pun yang mengetahui atau dapat menjangkakan bila akan mati atau berapa lama dapat hidup di dunia ini. Seperti yang dimaklumi, ada yang mati semasa masih bayi; ada yang mati sesudah remaja dan dewasa; dan ada yang menghembuskan nafas terakhir ketika berusia lanjut dan sebagainya. Pendek kata, penyakit dan usia bukan penentu ajal seseorang.

Demikian juga, usia tidak seharusnya dijadikan sempadan serta alasan untuk melengahkan kewajipan beramal ibadat dan bertaubat. Kerana apa yang pasti kematian adalah penamat segala ruang dan peluang bagi kita mengabdi diri kepada Allah SWT.