Archive for 13 Ogos 2015


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/36874-64-tahun-pas-berbakti-di-medan-ilmu

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 12 Ogos 2015.

Pendidikan yang dianjurkan oleh PAS dan institusi pengajian di bawah kerajaan negeri yang ditadbir oleh PAS adalah selari dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menjadi tunjang kepada sistem pendidikan di negara itu.

Oleh kerana PAS merupakan sebuah parti yang berpegang kepada dasar Islam, menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan dan memperjuangkan cita-cita untuk menegakkan Islam, maka konsep Falsafah Pendidikan Islam juga perlu ditinjau dalam memahami usaha-usaha PAS.

Kedudukan Islam sebagai dasar perjuangan PAS telah mepengaruhi sepenuhnya pemahaman dan pemlkiran PAS tentang konsep pendidikan yang dipersembahkan kepada rakyat negara ini. Hal ini selaras dengan tujuan PAS yang disebut dalam Fasal 6(2) Perlembagaan PAS (Pindaan) 2001 yang menegaskan salah satu tujuannya.

PAS telah merangka dan merancakkan pendidikan sebagai wahana untuk mengembangkan pengaruh terhadap masyarakat di luar kelompok parti itu serta obligasi sosialnya dalam usaha memenuhi perlembagaan parti itu sendiri. Ianya juga akibat keperluan parti itu untuk menyediakan pendidikan untuk anak-anak ahli parti kerana sentiasa didesak untuk mewujudkan institusi pendidikan oleh ahli-ahli di semua peringkat.

PAS menganggap menyediakan pendidikan Islam kepada rakyat merupakan tuntutan fardhu kifayah dan sebahagian tuntutan beragama yang mesti dipenuhi, terutama PAS sebagai Gerakan Islam dan juga sebagai pertubuhan siasah di negara ini.

Boleh dibuktikan dengan kajian ini pertambahan institusi pendidikan PAS telah meningkat dan berlaku setiap tahun. Bermula dari pra sekolah sehinggalah peringkat universiti.

Pengkaji mendapati organisasi terlibat dalam merangka kurikulum dan memantau institusi pendidikan dalam PAS seperti Majlis Pendidikan, Pasti, Majlis DAR, Musasah Pendidikan, Lujnah Pendidikan dan sebagainya.

PAS telah menyusun dan sentiasa mengambil langkah memperkemaskan usaha-usaha parti tersebut untuk membangunkan institusi pendidikan di bawah seliaanya dan juga merespons isu-isu yang berkaitan dengan pendidikan di negara ini.

Dalam kajian ini pengkaji telah melihat usaha-usaha ini yang terusun dan terancang dalam membentuk kitaran pendidikan untuk ahli dan masyarakat luar kerangka konsep dalam kajian mengambil kira dua faktor yang mendorong PAS mengambil tanggungjawab dan inisiatif dalam membangunkan masyarakat melalui sektor pendidikan. Bertolak daripada matlamat pendidikan Islam yang menekankan modal insan itu harus dibangunkan dalam bentuk yang menyeluruh yang dapat memenuhi keperluan dunia dan akhirat.

Untuk merealisasikan misi dan visi yang holistik ini, PAS telah mewujudkan ruang untuk anak-anak ahlinya serta masyarakat untuk menimba ilmu daripada institusi pendidikan yang diwujudkan bermula daripada Pasti sehingalah kepada kolej universiti.

PAS menjalankan usahanya secara berterusan untuk membina, menggerak dan menjalankan programnya dalam bidang pendidikan.

PAS cuba meletakan tanggungjawab parti itu dalam bidang pendidikan dan diberikan penegasan dalam setiap kali muktamar tahunan parti tersebut.

Keterlibatan mereka dalam bidang pendidikan dilihat sebagai tuntutan fardhu kifayah, bagi memenuhi tuntutan agama Islam.

Apatah lagi parti itu merasakan bahawa yang dibuat oleh pihak kerajaan tidak mencukupi untuk membentuk masyarakat dan generasi muda yang memahami Islam secara komprehensif.

Sekurang-kurangnya melalui institusi pendidikan yang ditawarkan oleh PAS membuka luas pendemokrasian pendidikan di negara kita, yang sangat terbatas sekolah-sekolah agama.

Lantaran itu PAS mengambil langkah yang sistematik dan berperingkat bagi menyediakan kegiatan pendidikannya bermula dengan pra sekolah, sekolah rendah Islam, sekolah menegah Islam, sehinggalah ke universiti.

Dengan erti kata lain PAS mengerakkan pendidikan secara formal dan tidak formal, bersijil dan tidak bersijil, PAS juga telah menyediakan satu rantaian pendidikan yang juga memberi peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke satu peringkat yang lain.

Lulusan dari pedidikan PAS yang sebahagiannya menggunakan peperiksaan awam negara ini, ataupun yang tidak mengunakan sukatan pelajaran yang disediakan oleh kementerian seperti Maahad Darul Quran, Rusila akhirnya turut meyumbang kepada pembangunan negara apabila lepasan pendidikan ini berkhidmat di sektor awam ataupun swasta.

Maknanya, lulusan dari institusi pendidikan PAS turut menyumbang untuk membina negara dan saling melengkapi bagi menampung kekurangan sistem pendidikan negara ini terutama melahirkan ramai pelajar pengajian Islam.

Inilah perubahan dan tranfomasi yang dijalankan oleh PAS dalam menggerakkan sumbangan terhadap pendidikan dalam negara ini, sesuatu yang berharga dalam membina peradaban bangsa.

Dalam usaha PAS paling serius untuk mengerakkan pendidikan, maka parti itu telah menubuhkan Majlis Pendidikan PAS, sebuah majlis yang bertindak untuk memantau dan mengelola pendidikan yang bersangkutan dengan PAS. – HARAKAHDAILY 12/8/2015

Penulis adalah AJK PAS Pusat dan AJK Lajnah Politik PAS Pusat.

Sumber : Web JHEAINS

Hendaklah kita sentiasa menginsafi bahawa sesungguhnya setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Hanya keinsafan serta kesedaran sebenar yang lahir daripada keimanan terhadap kekuasaan Allah SWT dapat menggerakkan diri untuk melakukan persiapan yang sewajarnya bagi menghadapi Ilahi pada bila-bila masa dan tempat. Kerana sesungguhnya, apabila sampai ajal seseorang itu, ia tidak dapat ditunda mahupun dipercepatkan walau sesaatpun sebagaimana ditegaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud :

“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (S. Al-A’raaf: 34).

Oleh hal yang demikian, kurniaan hidup adalah nikmat terbesar bagi hamba Allah SWT di dunia ini. Ia hadir hanya sekali sahaja untuk manusia. Lantaran itu, kesempatan untuk hidup di dunia ini seharusnya dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk memperbanyakkan amal ibadah sebagai bekalan menuju akhirat. Ini bertepatan dengan tujuan penciptaan jin dan manusia, iaitu beribadat kepada Allah SWT yang bermaksud :

“Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku.” (S. Az-Zarriyat: 56).

Imam Ghazali berkata: “Mati itu ada kalanya berlaku serta-merta. Andainya kamu tidak mati sertamerta, kamu harus ingat bahawa sakit itu selalu datang dengan serta-merta. Apabila kamu sakit, nescaya kamu tidak akan berdaya lagi untuk mengerjakan amalan soleh, sedangkan amalan soleh itu pula adalah bekalan akhirat.”

Kata-kata yang diungkapkan oleh Imam Ghazali ini memperingatkan kita bahawa penyakit yang dideritai oleh seseorang itu tidak semestinya merupakan sebab-musabab kepada kematiannya. Tetapi, apabila seseorang itu sakit, sudah pasti peluang untuk beramal soleh akan terjejas. Sedangkan amal-amal soleh yang dikerjakan semasa hidup di dunia ini adalah bekalan untuk hari akhirat. Dan, akhirat adalah destinasi di mana segala amalan anak Adam di dunia akan dihisab untuk menentukan bentuk balasan yang menanti sama ada syurga ataupun neraka.

Bagaimanapun sebahagian besar manusia memandang hari akhirat sebagai sesuatu yang enteng sehingga ada yang berkata: “Kalau dah tua nanti, barulah bertaubat dan beramal ibadat”. Persoalannya, sempatkah mereka yang sedemikian mencapai umur tua? Dan sempatkah mereka itu beramal soleh dan bertaubat?

Ini kerana, tidak ada sesiapa pun yang mengetahui atau dapat menjangkakan bila akan mati atau berapa lama dapat hidup di dunia ini. Seperti yang dimaklumi, ada yang mati semasa masih bayi; ada yang mati sesudah remaja dan dewasa; dan ada yang menghembuskan nafas terakhir ketika berusia lanjut dan sebagainya. Pendek kata, penyakit dan usia bukan penentu ajal seseorang.

Demikian juga, usia tidak seharusnya dijadikan sempadan serta alasan untuk melengahkan kewajipan beramal ibadat dan bertaubat. Kerana apa yang pasti kematian adalah penamat segala ruang dan peluang bagi kita mengabdi diri kepada Allah SWT.

%d bloggers like this: