Sumber : Web JHEAINS

Ketahuilah, bahawa bulan Ramadan merupakan bulan rahmat diwajibkan umat Islam berpuasa dan dianjurkan melipat gandakan amal ibadah sama ada ibadat yang wajib atau sunat sebagai persiapan rohaniah dan jasmaniah supaya tercapai matlamat menjadi hamba Allah yang bertaqwa, sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al Quran:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah, ayat 183)

Sekaligus latihan sepanjang Ramadan itu juga merupakan persiapan umat Islam untuk melaksanakan ibadah Haji di Baitullah, in syaa Allah.

Umpama seorang petani yang telah bersusah payah, menyediakan benih, tapak semaian dan seterusnya menanam serta menjaga tanamannya sehingga menuai hasil yang terbaik. Begitulah gambaran orang yang berpuasa sebulan Ramadan pasti menantikan hasilnya yang terbaik, iaitu menjadi hamba yang bertaqwa.

Sehubungan itu, peri pentingnya umat Islam terus istiqamah dalam beramal ibadah sama ada yang wajib atau sunat demi mempersiapkan bekal untuk kehidupan di akhirat kelak. Ada lima amal mesti diterusnya, iaitu:

1. Bersegera beramal soleh dan beristighfar.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa”. (Surah ali ‘Imran, ayat 133)

2. Istiqamah beramal.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Amalan yang paling disukai Allah ialah berterusan walaupun sedikit”. (HR Imam al-Bukhari)

3. Mengerjakan ibadah wajib.

Dalam Hadith yang Rasulullah SAW menyebutkan lagi tentang amalan yang wajib seperti solat fardu, zakat, puasa, haji dan sebagainya, sabdanya yang bermaksud: “Amalkanlah semua yang diwajibkan Allah, nescaya kamu akan menjadi orang yang paling bertaqwa”. (HR At-Thahawi)

4. Solat fardu dan solat berjemaah. Solat fardu itu adalah rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap umat Islam.

Firman Allah SWT bermaksud : “Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat dan taatlah kamu kepada Rasulullah, agar kamu diberi rahmat”. (Surah An-Nur, ayat 56) Pahala solat berjemaah 27 darjat, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Solat Jemaah pahalanya melebihi solat sendirian dengan dua puluh tujuh darjat”. (HR Muttafaqun ‘alaih).

Selain itu, solat berjemaah mampu mengukuhkan ukhuwah, silaturrahmi dan memantapkan perpaduan ummah.

5. Terus bersedekah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah seorang muslim itu memanjangkan umurnya, menghindarkannya menghadapi kematian yang buruk, dia dihindarkan Allah sifat-sifat keangkuhan dan kesombongan”. (HR AtThabrani)

Oleh yang demikian, umat Islam hendaklah terus istiqamah melakukan amal ibadat, amal soleh, membuat kebaikan, berzikir, berselawat, bersedekah, bertadarus dan sebagainya. Walaupun Ramadan sudah berlalu. Kerana Allah SWT suka hamba-hamba-Nya yang beramal soleh yang berterusan. Hari Raya Aidilfitri masih diraikan oleh umat Islam, rumah terbuka di sana sini menjadi kelaziman masyarakat Islam di negara kita sebagai tanda kesyukuran dan kegembiraan.

Namun, biarlah hendaknya perayaan ini diraikan dengan aturan dan panduan Syariat Islam. Kerana itu, perlu diingatkan bahawa Aidilfitri itu bermaksud kembali kepada fitrah yang suci pada kejadian kelahiran manusia yang putih bersih seperti seorang bayi yang baru lahir tanpa sebarang dosa dan maksiat. Inilah makna kita merai dan merayakan Aidilfitri yang mulia ini.