Sumber : Web JHEAINS

Dalam situasi negara yang sudah merdeka dan aman makmur kini, kewajipan kita bukan lagi sekadar mengenang serta memperingati jasa mereka yang telah berkorban untuk tanah air tercinta semata-mata. Ingatlah, para pejuang yang telah pergi mahupun yang mengalami kecederaan mempunyai keluarga sama ada balu mahupun anak-anak yang perlukan pembelaan.

Jadi, peranan serta kewajipan kita adalah untuk memastikan kebajikan mereka itu mendapat pembelaan yang sewajarnya. Ini boleh kita lakukan dengan menghulurkan sumbangan setakat yang termampu kepada Tabung Rayuan Hari Pahlawan yang dilancarkan setiap kali menjelangnya tanggal 31 Julai, iaitu tarikh di mana kita menyambut dan meraikan Hari Pahlawan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang melepaskan kesusahan saudaranya, Allah akan melepaskan kesusahannya nanti pada hari kiamat.” (HR Bukhari).

Sehubungan itu, pelbagai pihak dan orang perseorangan adalah dialu-alukan untuk membantu menjayakan kempen mengisi Tabung Rayuan Hari Pahlawan (TRHP) 2015 sebagai tanda mengenang dan menghargai jasa serta pengorbanan perwira negara.

Meskipun derma, kesedaran, keinsafan dan simpati semata-mata tidak akan dapat mengurangkan penderitaan pahlawan atau anggota pasukan keselamatan yang telah hilang upaya, anak-anak dan isteri yang kehilangan tempat bergantung, namun rakyat hendaklah terus meningkatkan semangat kepahlawanan, patriotisme, kesetiaan, kecintaan dan sanggup berkorban untuk negara.

Semangat berkenaan perlu dipupuk dan disemarakkan sepanjang masa sebagai menghargai dan mengenang jasa para pahlawan yang sanggup melakukan pengorbanan tertinggi demi kedaulatan negara tercinta.

Pada zaman Rasulullah SAW, terdapat ramai dermawan seperti Sayidina Abu Bakar, Sayidina Uthman bin Al-Affan, Abdul Rahman bin Auf RA dan lain-lain lagi, yang sanggup mengorbankan harta kekayaan mereka ke jalan Allah SWT.

Bagi mereka, mengorbankan kekayaan yang dimiliki untuk meninggikan syiar agama adalah pendekatan yang terbaik untuk mencapai kepuasan hakiki dan keredaan Allah SWT. Maka, sama-samalah kita jadikan semangat serta pengorbanan mereka itu sebagai motivasi untuk membudaya amalan berinfaq bagi meraih balasan serta pahala dari Allah SWT.

Maksudnya: “Sesungguhnya orang lelaki yang bersedekah dan orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.” (S. Al-Hadid: 18).