Sumber : Web JHEAINS

Memang manusia disuntik dengan rasa pelbagai macam keinginan terhadap dunia. Maka untuk mengawalnya, manusia perlu dididik tentang wujudnya sesuatu yang lebih baik daripada kesemua rasa kecintaan dunia, iaitu apa yang disediakan di akhirat itu adalah lebih sempurna dan abadi.

Inilah rasionalnya kita dituntut supaya turut mengimarah bulan Syawal ini dengan puasa enam yang ganjarannya adalah pahala puasa laksana setahun penuh. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW menerusi sabdanya yang bermaksud:

“Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian mengiringinya dengan berpuasa enam hari dalam bulan Syawal, maka puasanya itu adalah menyamai setahun penuh.” (HR Muslim).

Ini bererti puasa sebulan Ramadan yang dikerjakan sama dengan sepuluh bulan. Manakala puasa enam hari dalam bulan Syawal sama dengan dua bulan. Hakikat ini dapat kita sandarkan kepada firman Allah SWT:

Yang bermaksud: “Barang siapa yang membawa amal yang baik maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda amalnya dan barang siapa yang membawa perbuatan yang jahat, maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan perbuatannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan).” (S. AlAn’am: 160).

Jelas di sini bahawa meskipun puasa enam hari dalam bulan Syawal adalah sunat sahaja, namun ganjaran melaksanakannya amatlah besar dan bermakna dalam rangka menambah saham akhirat. Ganjaran besar ini tidak diberikan dalam sepuluh bulan yang lain yang menjadikan Syawal begitu istimewa bagi muslim yang suka beramal khususnya puasa.

Sebagai kesimpulannya, sayugianya kita jadikan Syawal sebagai masa yang terbaik untuk berkongsi kegembiraan dengan orang lain melalui penganjuran rumah terbuka. Ia penting kerana majlis rumah terbuka boleh menjadi penghubung yang bermakna sesama umat dalam mengukuhkan ikatan persaudaraan dan persahabatan melalui amalan ziarah.

Malahan penganjuran rumah terbuka juga merupakan satu cara menzahirkan rasa syukur atas segala nikmat kurniaan Allah SWT yang meliputi rezeki, kesempatan melaksanakan puasa Ramadan dan kesempatan bersua serta bermaaf-maafan dengan sanak-saudara, sahabat-handai, rakan-taulan, jiran tetangga dan sebagainya. Dan amalan bersyukur sangatlah dituntut kerana ia mengundang tambahan nikmat dari Allah SWT:

Yang bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberi tahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (S. Ibrahim: 7).