Sumber : Web JHEAINS

Bersempena 01 Syawal hari mulia, merupakan hari kemenangan serta hari kegembiraan bagi seluruh umat Islam, khatib ingin menyampaikan pesanan yang sangat dianjurkan dalam Islam, tentang keutamaan Aidilfitri, menjalinkan ukhuwah Islamiah dan peri pentingnya menjaga keselamatan semasa balik kampung, iaitu:

Pertama: Rayakan Aidilfitri dengan Syariat Aidilfitri bukan semata-mata hari perayaan, hakikatnya Aidilfitri adalah hari umat Islam yang berpuasa kembali kepada fitrah suci bersih, hari kemenangan dan kegembiraan.

Maka Islam sebagai agama Syariat yang telah ditentukan oleh Allah SWT memberikan panduan, rujukan terbaik dan mesti diamalkan oleh umat Islam ketika menyambut hari raya Aidilfitri ini, kesemua panduan itu ada termaktub di dalam Al Quran, Sunnah Rasulullah SAW serta Ijmak Ulama dan Qiyas.

Islam memberikan umatnya kaifiyat atau cara menyambut dan merayakan Hari Raya Aidilfitri ini. Iaitu umat Islam mesti merayakan Aidilfitri ini dengan membesarkan Allah SWT, mengikut Sunnah Rasul-Nya dan mengutamakan syariat-Nya. Dimulakan dengan kalimah Takbir, Tasbih, Tahmid sebagai tanda membesar dan mengagungkan Allah SWT dan memartabatkan Syariat dan syiar Islam, yakni menyambut Aidilfitri dengan panduan Syariat Islam yang indah lagi syumul.

Bila Syariat Islam didahulukan pasti kebaikan, keberkatan dan ukhuwah akan sentiasa hidup dan subur dalam kehidupan, pergaulan dan hidup bermasyarakat. Oleh itu, antara perkara-perkara yang terbaik sepanjang menyambut Aidilfitri, antaranya ialah:

1. Memberi ucapan tahniah sesama Islam: ‘TAQABALALLAHU MINNA WA MINKUM’ (Semoga Allah menerima segala amal puasa, amal soleh dari kita semua)

2. Melakukan amalan ziarah-menziarah.

3. Menjaga ibadah fardu seperti Solat Fardu lima waktu

4. Saling bermaaf-maafan.

5. Sentiasa mengeratkan jalinan ukhuwah dan silaturrahmi.

6. Meraikan dan menjamu tetamu yang datang dengan mesra dan juadah yang sederhana.

7. Mengelakkan pembaziran dalam menyediakan juadah.

8. Memelihara batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita bukan muhrim.

Kedua: Mantapkan ukhuwah dan perpaduan Aidilfitri inilah masa paling sesuai kita mengilap kembali jalinan ukhuwah dan silaturrahmi, kerana umat Islam yang beriman itu adalah bersaudara. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelengkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (Surah Al-Hujuraat, ayat 10)

Ketahuilah, bahawa Islam itu agama persaudaraan dan perpaduan. Marilah kita menjalin ukhuwah, memantap silaturrahmi pasti akan mengukuh perpaduan umat Islam. Di antara amalan yang dapat mengukuhkan perpaduan ummah itu, ialah hidup bermuafakat, berkerjasama, tolong-menolong, bermaafmaafan dan saling bersefahaman serta saling kenal-mengenal antara satu sama lain.

Justeru itu, ikat dan jalinlah ukhuwah, silaturrahmi dan perpaduan ini dengan tali iman dan Islam, pasti umat Islam akan bertambah kuat dan kukuh perpaduannya. Pegang teguhlah tali Allah, yakni agama Islam. Sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara…” (Surah Ali ‘Imran, ayat 103)

Maka bersempena hari mulia lagi barakah Aidilfitri ini bersama-sama kita suburkan ukhuwah, mantap silaturrahmi dan kukuhkan perpaduan demi mencari rahmat, berkat dan redha di sisi Allah SWT.

Ketiga: Hargai nyawa dan pastikan keselamatan Hidup mati adalah ketentuan yang ditakdirkan oleh Allah SWT. Manakala mengelak kecelakaan, kemalangan serta berusaha memelihara keselamatan diri, keluarga dan orang lain adalah sebahagian daripada perintah di dalam Syariat Islam. Firman Allah SWT:

 Maksudnya: “Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), kemudian Dia (Allah) menyempurnakan tempoh umur kamu, (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya) dan ada pula di antara kamu yang dikembalikan kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah dia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa”. (Surah An-Nahl, ayat 70)

Oleh itu, kita patut bersyukur atas nikmat yang Allah SWT kurniakan melalui nikmat nyawa yang membolehkan kita merasai indahnya kehidupan, keindahan alam, merasai sedapnya makanan dan menggunakan segala macam lagi rahmat lain kurniaan Allah SWT kepada kita. Ingatlah, bahawa apabila nyawa terpisah dari badan, berakhirlah segala nikmat dan rahmat yang kita rasai selama itu.

Namun, Islam menganjurkan umatnya supaya mensyukuri nikmat nyawa itu dengan memelihara dan melindunginya, yakni mengelakkan segala bentuk bencana dan kemalangan yang boleh mengundang kecelakaan, seperti kemalangan jalan raya dan seumpamanya.