Archive for 17 Julai 2015


Sumber : Web JHEAINS

Ramadan yang pergi dan Syawal yang hadir mengimbau kita semua hidup berjemaah, berkasih sayang, bantu membantu, bertolak ansur, perihatin dan sebagainya. Ia menjurus ke arah memelihara keamanan dan keharmonian hidup bagi melestari kesatuan dan perpaduan ummah. Unsur kesatuan adalah asas kekuatan kepada sebuah negara yang didiami oleh masyarakat majmuk.

Sebab itu, kita diingatkan dan disarankan oleh Allah SWT supaya memelihara perpaduan dan kesatuan ummah dengan menjauhkan sama sekali sebarang perbalahan dan permusuhan yang boleh mengakibatkan perpecahan yang boleh mengancam keamanan dan keselamatan Negara. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan jangan kamu berbantah-bantahan; jika tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang bersabar.” (S. Al-Anfal: 46).

Sehubungan itu, umat Islam yang berbilang kaum dan etnik hendaknya tidak membesar-besarkan perbezaan antara satu sama lain. Sebaliknya, mencari titik persamaan yang ada sambil merai kepelbagaian yang wujud sebagai elemen penting menjayakan dan merealisasikan konsep satu ummah.

Ia adalah isyarat jelas betapa umat Islam perlu melakukan perubahan dalam diri masing-masing dan berusaha menghakis segala sifat atau tabiat buruk yang boleh menggugat kesatuan dan perpaduan ummah sesuai dengan keadaan diri yang kembali fitrah hasil tarbiah puasa Ramadan. Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Berwaspadalah kalian daripada berprasangka buruk (zhan) kerana zhan itu adalah ungkapan yang paling dusta. Jangan kalian mendengar ungkapan orang lain dalam keadaan mereka tidak suka. Janganlah kalian mencari-cari cacat-cela orang lain. Jangan kalian berlumba-lumba untuk menguasai sesuatu. Janganlah kalian saling berhasaddengki, saling benci-membenci, dan saling belakang-membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara sebagaimana yang Allah SWT perintahkan. Seorang Muslim adalah saudara bagi saudara muslim yang lain. Justeru, janganlah dia menzalimi saudaranya, jangan pula tidak memberikan bantuan kepada saudaranya dan jangan merendah-rendahkannya. Taqwa itu di sini, taqwa itu di sini.” Baginda melakukan isyarat dengan menunjukkan ke arah dadanya. “Cukuplah seseorang dari keburukan apabila dia merendahkan saudaranya sesama Muslim. Setiap muslim terhadap muslim yang lain, haram darahnya, kehormatan dan hartanya. Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh-badan kalian, tidak pula kepada rupa-paras kalian akan tetapi ia melihat kepada hati dan amalan kalian.” (HR Al-Bukhari dan Muslim).

اَاللهُ اَكْبَرُ اَاللهُ اَكْبَرُ اَاللهُ اَكْبَرُ واللهِ الْحَمْدُ

Aidilfitri dengan segala kesuciannya datang membawa isyarat dan petunjuk untuk kita mengeratkan kembali hubungan yang longgar dan mengikis segala prasangka, kebencian, dendam kesumat dan sifat mazmumah lainnya. Jadi, inilah hari dan ketikanya kesempatan yang terbaik untuk menjernihkan hubungan serta persefahaman untuk memulihkan hubungan sesama manusia yang merupakan tuntutan syariat Islam, berlapang dada, murah hati, ukhuwah, belas kasihan dan kasih sayang. Sabda Rasulullah SAW, maksudnya:

“Sebarkanlah salam, perkuatkanlah silaturahim, kasihanilah golongan fakir miskin dan jangan tinggalkan solat malam.” (HR Muslim).

Sehubungan dengan sabda Rasulullah SAW tersebut, maka marilah kita hiasi dan imarahkan hari raya Aidilfitri ini dengan amalan ziarah menziarahi rumah saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai sambil mengucapkan tahniah serta bermaaf-maafan antara satu sama lain. Amalan yang menjadi tradisi dalam masyarakat kita ini adalah satu cara memupuk semangat mahabbah dan mengukuh ukhuwah Islamiah.

Selain itu, diharapkan juga agar hari yang mulia ini tidak melalaikan umat Islam daripada melaksanakan kewajipan menyantuni serta membela nasib golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat kita. Pada hari raya inilah masa dan kesempatan yang terbaik bagi golongan yang berada dan berkemampuan untuk berbakti kepada mereka dengan menghulurkan bantuan atau derma mengikut kemampuan masingmasing terutama sekali kepada mangsa bencana alam seperti gempa bumi yang melanda negeri ini pada 5 Jun yang lalu.

Demikian juga dengan golongan fakir, miskin, anak-anak yatim dan lain-lain juga perlu terus dibantu. Keprihatinan serta bantuan yang diberikan bukan semata-mata bertujuan menggembirakan mereka di hari lebaran ini, tetapi apa yang lebih penting dan utama adalah untuk meringankan sedikit beban hidup yang mereka deritai.

اَاللهُ اَكْبَرُ اَاللهُ اَكْبَرُ اَاللهُ اَكْبَرُ واللهِ الْحَمْدُ

Sesungguhnya meraikan dan menyambut kedatangan Syawal dengan penuh kegembiraan adalah sunnah Rasulullah SAW. Namun dalam kegairahan bergembira dan bersuka ria di hari raya ini diharap tidak melalaikan kita daripada memelihara syariat agama terutama sekali solat lima waktu, batas pergaulan lelaki dan wanita selain mengelakkan amalan membazir dan berlebih-lebihan dalam mengadakan majlis rumah terbuka.

Sewaktu berziarah, adab dan tertib yang ditetapkan oleh Islam hendaklah dijaga dan dipatuhi. Ini termasuklah memberi salam atau meminta izin sebelum masuk ke rumah yang ingin diziarahi, memelihara adab sopan ketika berada di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.

Pendek kata, umat Islam dituntut supaya melayan tetamu dengan baik, berkasih sayang sesama saudara seIslam, bermaaf-maafan dan mempamerkan akhlak terpuji. Sebaiknya kita sambut dan rayakan Aidilfitri ini secara sederhana dengan didasari sifat syukur dan qanaah. Bersyukur terhadap rezeki dan keamanan kurniaan Allah SWT yang kita kecapi hingga ke hari ini. Ini kerana berkat keamanan negara jugalah kita dapat menyempurnakan puasa Ramadan dan menyambut Aidilfitri.

Maka sebagai menzahirkan kesyukuran kita terhadap nikmat berkenaan, bersama-samalah kita semai dan suburkan semangat berkerjasama antara yang kuat dan yang lemah, orang kaya dengan orang miskin, berkongsi kegembiraan dan kesusahan, bertukar-tukar ucapan tahniah serta menyebarkan salam. Apabila hal ini dapat dipraktikkan, pasti kesatuan ummah akan bertambah kukuh sekali gus menjamin keamanan dan keharmonian hidup terus berkekalan yang natijahnya akan memudahkan lagi usaha membangun masyarakat dan Negara mencapai kemajuan.

Sumber : Web JHEAINS

Bersempena 01 Syawal hari mulia, merupakan hari kemenangan serta hari kegembiraan bagi seluruh umat Islam, khatib ingin menyampaikan pesanan yang sangat dianjurkan dalam Islam, tentang keutamaan Aidilfitri, menjalinkan ukhuwah Islamiah dan peri pentingnya menjaga keselamatan semasa balik kampung, iaitu:

Pertama: Rayakan Aidilfitri dengan Syariat Aidilfitri bukan semata-mata hari perayaan, hakikatnya Aidilfitri adalah hari umat Islam yang berpuasa kembali kepada fitrah suci bersih, hari kemenangan dan kegembiraan.

Maka Islam sebagai agama Syariat yang telah ditentukan oleh Allah SWT memberikan panduan, rujukan terbaik dan mesti diamalkan oleh umat Islam ketika menyambut hari raya Aidilfitri ini, kesemua panduan itu ada termaktub di dalam Al Quran, Sunnah Rasulullah SAW serta Ijmak Ulama dan Qiyas.

Islam memberikan umatnya kaifiyat atau cara menyambut dan merayakan Hari Raya Aidilfitri ini. Iaitu umat Islam mesti merayakan Aidilfitri ini dengan membesarkan Allah SWT, mengikut Sunnah Rasul-Nya dan mengutamakan syariat-Nya. Dimulakan dengan kalimah Takbir, Tasbih, Tahmid sebagai tanda membesar dan mengagungkan Allah SWT dan memartabatkan Syariat dan syiar Islam, yakni menyambut Aidilfitri dengan panduan Syariat Islam yang indah lagi syumul.

Bila Syariat Islam didahulukan pasti kebaikan, keberkatan dan ukhuwah akan sentiasa hidup dan subur dalam kehidupan, pergaulan dan hidup bermasyarakat. Oleh itu, antara perkara-perkara yang terbaik sepanjang menyambut Aidilfitri, antaranya ialah:

1. Memberi ucapan tahniah sesama Islam: ‘TAQABALALLAHU MINNA WA MINKUM’ (Semoga Allah menerima segala amal puasa, amal soleh dari kita semua)

2. Melakukan amalan ziarah-menziarah.

3. Menjaga ibadah fardu seperti Solat Fardu lima waktu

4. Saling bermaaf-maafan.

5. Sentiasa mengeratkan jalinan ukhuwah dan silaturrahmi.

6. Meraikan dan menjamu tetamu yang datang dengan mesra dan juadah yang sederhana.

7. Mengelakkan pembaziran dalam menyediakan juadah.

8. Memelihara batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita bukan muhrim.

Kedua: Mantapkan ukhuwah dan perpaduan Aidilfitri inilah masa paling sesuai kita mengilap kembali jalinan ukhuwah dan silaturrahmi, kerana umat Islam yang beriman itu adalah bersaudara. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelengkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (Surah Al-Hujuraat, ayat 10)

Ketahuilah, bahawa Islam itu agama persaudaraan dan perpaduan. Marilah kita menjalin ukhuwah, memantap silaturrahmi pasti akan mengukuh perpaduan umat Islam. Di antara amalan yang dapat mengukuhkan perpaduan ummah itu, ialah hidup bermuafakat, berkerjasama, tolong-menolong, bermaafmaafan dan saling bersefahaman serta saling kenal-mengenal antara satu sama lain.

Justeru itu, ikat dan jalinlah ukhuwah, silaturrahmi dan perpaduan ini dengan tali iman dan Islam, pasti umat Islam akan bertambah kuat dan kukuh perpaduannya. Pegang teguhlah tali Allah, yakni agama Islam. Sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara…” (Surah Ali ‘Imran, ayat 103)

Maka bersempena hari mulia lagi barakah Aidilfitri ini bersama-sama kita suburkan ukhuwah, mantap silaturrahmi dan kukuhkan perpaduan demi mencari rahmat, berkat dan redha di sisi Allah SWT.

Ketiga: Hargai nyawa dan pastikan keselamatan Hidup mati adalah ketentuan yang ditakdirkan oleh Allah SWT. Manakala mengelak kecelakaan, kemalangan serta berusaha memelihara keselamatan diri, keluarga dan orang lain adalah sebahagian daripada perintah di dalam Syariat Islam. Firman Allah SWT:

 Maksudnya: “Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), kemudian Dia (Allah) menyempurnakan tempoh umur kamu, (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya) dan ada pula di antara kamu yang dikembalikan kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah dia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa”. (Surah An-Nahl, ayat 70)

Oleh itu, kita patut bersyukur atas nikmat yang Allah SWT kurniakan melalui nikmat nyawa yang membolehkan kita merasai indahnya kehidupan, keindahan alam, merasai sedapnya makanan dan menggunakan segala macam lagi rahmat lain kurniaan Allah SWT kepada kita. Ingatlah, bahawa apabila nyawa terpisah dari badan, berakhirlah segala nikmat dan rahmat yang kita rasai selama itu.

Namun, Islam menganjurkan umatnya supaya mensyukuri nikmat nyawa itu dengan memelihara dan melindunginya, yakni mengelakkan segala bentuk bencana dan kemalangan yang boleh mengundang kecelakaan, seperti kemalangan jalan raya dan seumpamanya.

%d bloggers like this: