Archive for 10 Julai 2015


Tarikh : 10 Julai 2015

Lokasi : Masjid Rusila

Penyampai : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Sumber : Web JHEAINS

Ramadan yang kita sedang harungi ini datang bersamanya pensyariatan zakat fitrah. Ia sebagai pelengkap kepada puasa Ramadan. Zakat fitrah ataupun zakat diri wajib ke atas setiap Muslim tanpa mengira usia, jantina dan taraf hidup. Ini berdasarkan kepada Hadith daripada Ibnu Umar, katanya:

“Sesungguhnya Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah daripada Muslim, baik hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, iaitu sebanyak segantang kurma atau gandum.” (HR Al-Bukhari dan Muslim).

Pengeluaran zakat fitrah dapat membersihkan diri orang yang berpuasa daripada perkara sia-sia yang dilakukan sewaktu Ramadan. Zakat yang dikeluarkan juga bertujuan menggembirakan serta memberi makan kepada fakir miskin di hari raya. Sebab itu, zakat fitrah hendaklah ditunaikan selewat-lewatnya pada pagi 1 Syawal sebelum didirikan solat sunat Aidilfitri. Ketetapan ini berdasarkan kepada Hadith daripada Ibnu Abas RA, maksudnya:

“Diwajibkan oleh Rasulullah SAW zakat fitrah bagi membersihkan orang yang berpuasa dan memberi makan orang miskin. Barangsiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya, maka zakat itu diterima dan barang siapa yang membayar selepas sembahyang, maka zakat itu sebagai sedekah biasa.” (HR Abu Daud dan Ibnu Majah).

Seperti yang dimaklumi, benda yang hendak dijadikan sebagai zakat fitrah itu mestilah berupa bahan makanan asasi sesebuah tempat. Ini bermakna, bagi umat Islam di Malaysia, zakat fitrahnya adalah satu gantang Baghdad beras yang bersamaan dengan 2.7 kilogram. Bagaimanapun, di negara kita, sudah menjadi kelaziman bahawa zakat fitrah ditunaikan dalam bentuk wang senilai dengan harga 2.7 kilogram beras. Hikmah pembayaran dalam bentuk wang adalah untuk memudahkan urusan penyimpanan dan pengagihan kepada golongan yang berhak menerimanya.

Sehubungan itu, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah menetapkan bahawa kadar zakat fitrah bagi negeri Sabah tahun ini ialah RM7.00 seorang. Dan umat Islam diseru supaya membayar kepada amil-amil yang telah dilantik secara rasmi oleh pihak MUIS. Ia bertujuan memastikan hasil zakat fitrah dapat disalurkan kepada mereka yang berhak menerimanya di samping memudahkan urusan penjumlahan keseluruhan hasil zakat fitrah tahun ini supaya dapat dijadikan petunjuk bilangan penduduk dan kekuatan ekonomi umat Islam di negeri ini.

Sama ada ibadat kita diterima atau tidak, ia adalah hak Allah SWT yang menentukannya. Kewajipan kita ialah mempersembahkan setiap ibadat kepada Allah SWT dalam pakej yang sempurna. Justeru, dalam kegairahan menyambut hari raya Aidilfitri mendatang, pastikan kewajipan berzakat fitrah tidak diabaikan atau dilupakan.

Ibadat puasa yang dilaksanakan dengan sempurna dan diiringi dengan pengeluaran zakat fitrah serta dihiasi amal-amal kebajikan lainnya mengharapkan keredaan Allah SWT semata-mata akan beroleh keampunan segala dosa dan kembali fitrah. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud:

“Barang siapa yang berpuasa dalam Ramadan dengan ikhlas dan mengharapkan keredhaan-Nya sematamata, akan diampuni segala dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Mutafaqun Alaih).

%d bloggers like this: