Sumber : Web JHEAINS

Jumhur ulama berpendapat bahawa al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ketika Baginda sedang berkhalwat di Gua Hira pada malam Jumaat bertepatan tanggal 17 Ramadan tahun 41 daripada kelahiran baginda bersamaan dengan 6 ogos tahun 610 M. Manakala ayat terakhir diturunkan pada hari Jumaat 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah atau tahun 63 dari kelahiran Baginda SAW. Ayat yang pertama diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. Firman Allah SWT :

Maksudnya: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (S. Al-‘Alaq:1-5).

Perintah serta anjuran membaca dalam ayat ini menunjukkan amalan ‘iqra’ merupakan jalan memperolehi dan menambah ilmu pengetahuan serta sumber ilham baru. Inilah yang dilakukan oleh tokoh ilmuwan Islam terdahulu seperti Ibn Sina, Ibn Al-Haitham, Al-Biruni, Al-Khawarizmi dan lain-lain lagi.

Bermula daripada proses pembacaan mendalam terhadap pelbagai bahan bacaan ilmiah khususnya al-Quran, mereka berjaya mengkaji dan menerokai segala bentuk khazanah ilmu hingga menghasilkan penemuan bernilai serta berkualiti. Tuntutan membaca ini juga bukan saja meletakkan ilmu sebagai asas utama menimba pengetahuan dan kemahiran, malahan ia juga merupakan cara menyebarkan dakwah menyeru kepada mentauhidkan Allah SWT.

Maknanya, tanpa mempunyai budaya membaca akan menyisihkan masyarakat daripada nikmat ilmu yang memandu ke arah kecemerlangan duniawi dan kecemerlangan ukhrawi.

“Membaca gerbang ilmu” adalah ungkapan yang menyimpulkan faedah serta manfaat yang diperolehi daripada amalan suka membaca. Ini kerana, amalan membaca membolehkan seseorang itu menambah, mengetahui dan menguasai pengetahuan dalam banyak bidang selain menemui petunjuk yang akan memandu manusia ke arah kehidupan lebih sempurna.

Dengan hal yang demikian, membaca merupakan satu amalan mulia yang dapat membentuk insan berilmu pengetahuan dan bermaklumat. Dengan ilmu serta maklumat yang diperolehi membolehkan seseorang itu berfikiran terbuka dan tidak mudah menerima sesuatu perkara itu tanpa usul periksa. Pemikiran tidak akan beku dan dangkal mahupun terkongkong.

Sesungguhnya hanya dengan ilmu, manusia berupaya mencipta kejayaan gemilang seterusnya membentuk satu tamadun terbilang. Ini bermakna, menimba, meneroka dan menguasai ilmu hendaklah dijadikan sebagai keutamaan bagi segenap ruang lingkup dan kegiatan kehidupan. Ia patut menjadi amalan yang membudaya dan berakar umbi dalam masyarakat Islam mengingat bahawa untuk hidup di dunia ini dan untuk menghadapi kematian perlu kepada ilmu pengetahuan.