Sumber : Web JHEAINS

Palestin merupakan tanah milik umat Islam yang telah dijajah secara rasminya pada 15 Mei 1948. Perjuangan membebaskannya merupakan suatu tuntutan iman dan tanggungjawab seluruh umat Islam. Isu Palestin mempunyai tempat yang istimewa dalam jiwa umat Islam, ia merupakan isu aqidah dan juga mempunyai kedudukan tersendiri di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Israa’ ayat pertama :

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjid Al-Haraam ke Masjid Al-Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Israa’: 1)

Ayat Isra’ dan Mikraj ini menunjukkan hubungan rapat antara Masjid Al-Haraam dan Masjid Al-Aqsa, dan melambangkan ikatan ruh dan sejarah antara keduanya. Ia juga menunjukkan bahawa bumi Masjid Al-Aqsa merupakan bumi yang suci dan diberkati yang mempunyai kepentingan dan kelebihannya tersendiri. Al-Quran menyebut Masjid Al-Aqsa dengan sifat ( ُھَلْوَح اَنْكَارَب يِالَّذ ) ‘yang telah Kami berkati sekelilingnya’ sebagai satu sifat yang menggambarkan keberkatan yang mengelilingi dan melimpah ke atas masjid itu.

Dalam perjalanan Isra’ dan Mikraj Rasulullah SAW telah mengimami para nabi sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA dalam Hadith riwayat Muslim, peristiwa ini merupakan simbolik penting bahawa autoriti bumi Palestin ini hanyalah kepada orang beriman. Ia adalah penyerahan mandat nabi-nabi terdahulu kepada Nabi Muhammad SAW dan umatnya untuk terus memelihara tanah ini sebagai tuannya.

Di dalam Al-Quran, firman Allah SWT menerusi Surah Al-Maidah ayat 21 menjelaskan bahawa Palestin dianggap sebagai “Tanah suci”. Selain daripada itu, di Palestin juga terdapat Masjid Al-Aqsa yang mempunyai kelebihan seperti berikut:

1. Sebagai Qiblat Pertama Umat Islam

Baitul Maqdis merupakan qiblat pertama umat Islam, diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA yang bermaksud: “Ketika mana Nabi SAW berpusing menghadap Ka’abah, para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan mereka yang sudah meninggal dan solat menghadap Baitul Maqdis? Maka Allah SWT menurunkan ayat: “Dan Allah tidak akan menghilangkan iman kamu.” (Al-Baqarah: 143) (HR Abu Daud)

2. Sebagai Masjid Kedua Terawal Dibina

Disebut dalam Hadith daripada Abu Dzar Al-Ghifari RA yang bermaksud: “Aku bertanya: Wahai Rasulullah, apakah masjid yang pertama dibina di atas muka bumi ini?, Rasulullah SAW menjawab: Masjid Al-Haram, aku bertanya lagi: Kemudiannya?, balas Rasulullah SAW: Masjid Al-Aqsa. Aku bertanya lagi : Berapakah jarak di antara keduanya?, balas Rasulullah SAW: Empat puluh tahun, kemudian Rasulullah berkata: ketika mana kamu dapat bersolat selepas ini maka solatlah padanya, sesungguhnya di dalamnya kelebihan.” (HR Al-Bukhari)

3. Sebagai Masjid Ketiga Yang Dimuliakan

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bermaksud: “Tidak ditekankan bepergian kecuali ke tiga masjid: Masjid Al-Haraam, Masjid Rasulullah SAW dan Masjid Al-Aqsa.” (HR Al-Bukhari) Sementara dalam Hadith lain juga diriwayatkan daripada Abu Darda’ RA yang bermaksud: “Kelebihan solat di Masjid Al-Haram berbanding selainnya 100,000 kali solat, dan di masjidku 1000 kali solat, dan di Masjid Baitul Maqdis 500 kali solat.” (HR Al-Bazzar)

Siapakah pula Israel dan Bani Israel? Israel merupakan seorang nabi yang mulia daripada nabi-nabi Allah, dia adalah Ya’akub bin Ishak bin Ibrahim AS Firman Allah SWT bermaksudnya:

“Mereka itulah sebahagian dari nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpahlimpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan Israel dan mereka itu adalah dari orangorang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat ArRahman, mereka segera sujud serta menangis.” (Maryam: 58)

Bani Israel bermakna ‘anak-anak Israel’ yakni keturunan yang dinasabkan kepada Nabi Ya’akub AS (Israel). Allah SWT telah mengurniakan Nabi Ya’akub AS 12 orang anak, iaitu Nabi Yusuf AS dan adikberadiknya. Daripada 12 beradik inilah akhirnya berkembang kabilah-kabilah yang disebut sebagai Bani Israel. Nabi-nabi Allah daripada Nabi Yusuf AS sehinggalah Nabi Isa AS semuanya merupakan keturunan Nabi Ya’akub AS.

Dua kelompok Bani Israel

Al-Quran menceritakan kita tentang dua kelompok Bani Israel: kelompok beriman dan soleh serta dimuliakan oleh Allah SWT dan kelompok kufur serta zalim yang dilaknat oleh Allah SWT. Al-Quran juga memberitahu kita bahawa majoriti Bani Israel adalah daripada kelompok kedua. Firman Allah SWT bermaksud :

“Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka, nescaya mereka akan makan dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka. Di antara mereka ada puak yang adil, dan kebanyakan dari mereka buruk keji amal perbuatannya.” (Al-Maaidah : 66)

Yahudi bukan Bani Israel

Al-Quran menyebut nama Yahudi menggantikan Bani Israel selepas kerasulan Muhammad SAW dan pengingkaran mereka terhadapnya. Kalimah ( ودُھَیْال) hanya disebut dalam surah Madaniyyah, iaitu sebanyak lapan kali iaitu dalam Surah: Al-Baqarah, Ali ‘Imraan, Al-Maaidah dan At-Taubah. Ketika mana Al-Quran menyebut ( ودُھَیْال) ia datang dalam bentuk ayat celaan dan bukannya pujian. Allah SWT juga menafikan Nabi Ibrahim AS mempunyai sebarang kaitan dengan agama Yahudi:

Maksudnya: “Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar tauhid sebagai seorang Muslim, dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.” (Ali ‘Imraan: 67)

Yahudi tidak berhak terhadap Baitul Maqdis

Apabila Al-Quran menanggalkan nama Bani Israel daripada bangsa Yahudi, ia turut bermakna pemisahan daripada sebarang perwarisan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Israel (Ya’akub) AS. Walaupun mereka daripada keturunan Nabi Israel AS mereka bukanlah lagi waris baginya, kerana mereka tidak lagi mengikut agamanya iaitu Islam.

Palestin milik umat Islam

Pemilik dan pewaris tanah ini yang hakiki hanyalah umat Muhammad SAW kerana hanya umat inilah yang beriman sepertimana para nabi Bani Israel beriman. Bangsa kafir penceroboh serta perampas bernama Yahudi ini langsung tiada kaitan dengan tanah Palestin, dari segi hak, agama, mahupun pertalian dengan para nabi Bani Israel.

Tindakan Yahudi Zionis hari ini menamakan tanah yang dijajah itu sebagai Negara Israel adalah cubaan untuk mengembalikan semula nasab mereka terhadap Bani Israel yang hakikatnya telah lama dicabut dan tidak akan sesekali kembali. Bangsa inilah juga yang telah disebut dalam Al-Quran sebagai musuh Islam yang utama, firman Allah SWT:

Maksudnya: “Demi sesungguhnya engkau akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.” (AlMaaidah: 82)

Pembebasan Al-Aqsa yang dijanjikan

Sayangnya, umat Islam telah kehilangan tanah Palestin secara rasminya pada tahun 1948, Yahudi Zionis telah membuat perancangan rapi merampasnya sejak 51 tahun sebelumnya lagi, iaitu ketika Theodor Herzl menjayakan Persidangan Zionis Pertama di Basel, Switzerland yang berlangsung pada 29-31 ogos 1897. Resolusi persidangan ini adalah pembentukan Negara Yahudi di Palestin. Sehingga hari ini umat Islam masih terus bertarung untuk membebaskannya semula.

Walaupun penindasan, pembunuhan dan proses peng-Yahudi-an yang semakin dahsyat berlaku di Palestin, Rasulullah SAW telah memberi khabar gembira bahawa bumi ini akan kembali juga kepada umat Islam apabila tiba masa yang ditentukan. Baitul Maqdis menjadi bumi perjuangan dan jihad seperti yang kita saksikan sepanjang sejarah sehinggalah hari ini, hal ini turut dinyatakan Rasulullah SAW dalam sebuah Hadith daripada Abu Umamah Al-Baahili RA yang bermaksudn:

“Akan sentiasa ada wujud sekumpulan dari umatku yang terus menegakkan kebenaran dan tegas mendepani musuh. Orang yang meninggalkan mereka tidak akan memudaratkan mereka, kecuali ujian yang menimpa mereka, mereka seperti bekas antara makanan sehinggalah datang kepada mereka ketentuan Allah, dan mereka akan tetap sedemikian. Sahabat bertanya: Di mana mereka itu? Baginda menjawab: Mereka berada di Baitul Maqdis dan di sekitarnya.” (HR At-Tabari)

Rasulullah SAW juga memberitahu bahawa pertarungan ini akan berlangsung sehinggalah Hari Kiamat, diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud: “Tidak akan berlaku Kiamat sehinggalah orang Islam memerangi Yahudi. Orang-orang Islam akan membunuh mereka sehingga bersembunyi Yahudi di sebalik batu dan pokok. Batu dan pokok akan bersuara : ‘Wahai muslim! Wahai hamba Allah! Di belakangku ini ada Yahudi, marilah ke sini untuk membunuhnya’, kecuali pokok Gharqad, kerana sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi.” (HR Muslim)