Archive for 23 Mei 2015


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35589-label-antara-benar-dan-batil

NASRUDIN HASSAN | 23 Mei 2015.

Saya tidak dapat gambarkan bagaimana sengitnya perang cyber sepanjang tempoh menghampiri detik Muktamar Tahunan PAS nanti. Pelbagai pihak mula mengambil bahagian dengan aneka pendekatan yang membawa misi masing-masing. Lebih menarik, DAP yang tidak ada kena mengena dengan muktamar PAS itu pun ‘galak gatal’ mencampuri urusan dalaman PAS.

Media baru jadi meriah dengan pelbagai label dan ia bagaikan peluru M16 yang dilepaskan ke arah musuh masing-masing untuk memastikan kepala dan dada dirobek semahunya. Semuanya bertindak nekad tanpa peduli lagi kesan sampingan atau kesan langsung yang bakal berlaku.

Pihak ketiga yang paling ramai terlibat dan mereka adalah cybertrooper dan sharpshooter. Sama ada mewakili satu pihak secara sukarela atau mereka sememangnya dibayar khusus atau sememangnya mereka bermaksud mahu mengadu domba dan melaga-lagakan antara pihak yang berkonfrantasi.

Pertembungan sengit ini turut melibatkan pihak keempat. Satu pihak yang asalnya tidak terlibat langsung dengan perang cyber ini tetapi terseret secara tidak langsung kerana mereka juga adalah pengguna tegar media baru.

Maklumat dan jaringan sosial mereka terpaksa melalui jalur lebar media baru tersebut. Akhirnya, mahu tidak mahu mereka turut terpalit dalam menentu sikap sama ada pro dan kontra sekalipun di dalam hati mereka penuh dengan taman dan bunga.

Terlalu sedikit mereka yang benar-benar ambil sikap berkecuali melainkan kecuali mereka adalah kecuali yang berpihak jua. Jaringan gerak hidup mereka dikepong oleh whatsapp group, telegram, facebook, twitter, instagram, we chat, sms, blog dan web site. Hampir tiada jalan keluar kecuali mereka yang hanya berkurung di ceruk dapur beratap nipah.

Suka atau tidak, demikianlah situasi di pentas politik tanah air kita buat masa ini. Kalau lah label itu peluru dan bom, tentu sahaja kita bagai berada di bandar Allepo dan Hums atau di Genting Gaza yang gamat dengan bedilan senapang dan meriam. Lebih sadis, peluru tidak kenal mangsa. Ramai pula menjadi mangsa peluru “sesat” yang tidak tahu arah datangnya.

Label terdapat dua kategori sifatnya. Label yang bersifat benar dan label yang bersifat fitnah. Al-Quran juga sarat dengan label tetapi pastinya penggunaan label di dalam Al-Quran adalah benar.

Label seperti kafir, munafik, musyrik, taghut, sesat, khianat, bodoh, himar, boneka dan sebagainya memang terdapat dalam wahyu Allah swt dan ditujukan kepada sebahagian manusia.

Saya ambil satu contoh firman Allah swt:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَىٰ مَا أَنزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنكَ صُدُودًا

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah,” nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu. (Surah An Nisa’: 61)

Ayat ini menyaksikan bagaimana Allah swt menyebut golongan yang tidak mahu melaksanakan hukum Allah swt dan RasulNya saw sebagai golongan munafik iaitu berpura-pura Islam.

Kedudukan begini kita tidak boleh menolak dan mempertikai Al-Quran kenapa melabel manusia dengan munafik, bodoh, tolol, samseng, khianat, jahil, sesat, dan lain-lain yang sangat banyak dalam Al-Quran bah kan juga sunnah Nabi saw. Label kategori ini adalah label yang bersifat benar.

Sementara label yang bukan pada sasaran yang betul dan tidak mempunyai bukti atau saksi yang benar maka ia adalah label yang bersifat fitnah. Biasanya digunakan untuk membunuh karektor dan menjatuhkan imej seseorang.

Label jenis ini dilarang dan tidak dibenarkan oleh Islam. Memanggil para alim ulama dan para pejuang Islam yang mukhlisin serta insan yang soleh dengan panggilan, gelaran atau label yang buruk adalah keji dan hina.

Justeru sebagai seorang anggota Jamaah Islam, kita patut tahu perkataan yang mahu ditulis dan istilah yang mahu diungkap atau label yang mahu ditampal agar tidak terjebak dalam melepaskan ‘peluru’ pada sasaran yang salah. Itu adalah fitnah yang keji. Bertaqwalah kepada Allah swt.

Kata pada yang benar itu benar dan kata pada yang batil itu batil. Jangan kata pada yang benar itu batil dan jangan kata pada yang batil itu benar pula jangan diam dari berkata benar. – HARAKAHDAILY 23/5/2015

Penulis ialah Ahli Parlimen Temerloh.

prof-dr-zulkifli-muhammad

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35574-dr-zulkifli-muhammad-lantera-perjuangan

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 22 Mei 2015.

Tokoh besar PAS ini dilahirkan di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak, negeri yang menyaksikan ramai tokoh-tokoh PAS dilahirkan. Dr Zulkifli lahir dalam keluarga yang paling mengambil berat pendidikan anak-anak, beliau mengambil pendidikan awal di kampungnya.

Kecerdasan serta bakat yang membumbui tokoh ini terserlah semenjak kecil lagi. Beliau pernah menghadiri peperiksaan khas bagi mengambil pelajar peringkat tinggi Mahaad Al-Ehya As-Shariff dan beliau satu-satunya calon yang lulus dalam ujian tersebut. Kecerdasan beliau menarik minat guru-guru di Mahaad Al-Ehya As-Shariff, Zulkifli tertonjol sebagai mutiara di kalangan pelajar.

Minatnya terhadap politik terserlah sejak remaja, beliau anti penjajah dan meminati tokoh-tokoh perjuangan anti penjajah dalam dan luar negara. Anak muda ini berbakat dalam bidang penulisan dan dunia kesusasteraan malah turut menghasilkan beberapa karya.

Beliau mendapat pendidkan tinggi Mesir dan dilantik sebagai kepimpinan pelajar yang mempunyai jaringan di antara pelajar Tanah Melayu dan pelajar Indonesia.

Saat belajar inilah beliau dan rakan-rakanya yang lain mengunjungi markas Ikhwanul Muslimin di Kaherah, menjadi kader muda dakwah dan dialirkan energi perjuangan Islam yang sistematik.

Namun semasa di Mesir, Zulkifli sentiasa menghadapi gangguan kesihatan yang amat mengganggu masa belajar. Beliau sentiasa sakit perut, pinggang dan kesihatan yang semakin memburuk ini memaksa beliau pulang ke tanah air.

Permata orang Melayu pada dekad 50-an ini ditawarkan jawatan sebagai Mufti Negeri Perak tetapi ditolak olehnya kerana tidak mahu terikat, bimbang akan menyekat. Beliau bercita-cita mewakafkan diri untuk perjuangan Islam, apatah lagi dengan kemunduran berfikir umat Islam yang sesat oleh fahaman sekular Barat.

Dalam dekad 60-an, beliau adalah fenomena dalam dunia politik dan dakwah. Dr Zulkifli pernah bertanding di kawasan Parlimen Klang pada pilihan raya pada tahun 1955 tetapi tewas. Bintangnya tetap menyinar terutama selepas menjawat jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS pada tahun 1956.

Beliau berjaya menjadi Ahli Parlimen Bachok pada tahun 1959 dan mengekalkan kemenangan pada tahun 1964, pidato beliau sentiasa menjadikan medan himpunan yang menyihir puluhan ribu umat manusia, ada yang sanggup mengayuh basikal puluhan batu semata-mata ingin mendengar hujah bernas daripada sumur akal yang cerdas ini.

Dr Zulkifli dilihat sebagai intelektual awam yang berkesan disegani oleh kawan dan lawan, idea-idea yang segar membaca unjuran masa depan termasuk mengesyorkan keahlian bukan Islam Dalam PAS.

Manusia tersihir dengan tokoh muda yang mempuyai orasi yang memukau, sarat dengan fakta yang diselit dengan ayat-ayat suci Al-Quran dan Hadis junjungan Nabi SAW. Dekad 60-an menyaksikan ramai bayi yang lahir diabadikan dengan nama beliau, dengan harapan menjadi hebat dan berkarisma seperti tokoh-tokoh Islam ini.

Beliau merupakan pemimpin yang paling awal menggagaskan persoalan negara Islam di dalam PAS secara akademik dan berdokumen dengan menghasilkan beberapa buah karyanya. Antaranya masyarakat dan Syariat, Peganggan Hidup Umat Islam dan Practicalbility of Islam As a socio- political system. Tulisan-tulisan ilmiah karya beliau juga berserakan dalam pelbagai  majalah dan akhbar.

Intipati ucapan beliau juga sentiasa berlegar kepada membina kekuatan PAS sebagai gerakan Islam, persoalan membina peribadi Muslim dalam kalangan pendukung PAS serta mewujudkan pemerkasaan tarbiah sebagai akar tunjang gerakan Islam.

Sebahagian ahli PAS yang lain lebih selesa joka PAS dipimpin oleh Dr Zulkifli Muhammad, seorang tokoh muda PAS yang sangat karisamatik dan semasa belajar di Mesir beliau telah mendapat tarbiah secara langsung daripada Hassan Al-Banna dan Sayyid Qut. Kekaguman beliau terhadap perjuangan Islam yang dibawa Ikhwanul Muslimin telah menyeret  beliau untuk menyertai PAS pada awal  1950-an.

Beliau adalah di antara tokoh penting yang telah menjadi idealoque kepada pengikut PAS yang telah berusaha keras memastikan eleman tarbiah mengukuhkan wadah PAS. Beliau menterjemahkan akhlak yang mulia yang terpancar daripada diri beliau yang merendah diri, sebagai tokoh tarbiah beliaulah yang sering dipangil untuk mengisi program pembinaan yang dianjurkan oleh PAS. – HARAKAHDAILY 22/5/2015

Penulis adalah AJK PAS Pusat.

%d bloggers like this: