Sumber : Web JHEAINS

Amalan yang akan dihisab dahulu di akhirat, adalah amalan solat, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Persoalan pertama yang akan ditanya kepada manusia di hari akhirat adalah amalan solat. Apabila solatnya diterima, maka akan diterima seluruh amalannya, dan sekiranya solatnya ditolak maka akan ditolak seluruh amalannya.” (HR Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Hadith ini memberi pelajaran kepada kita, bahawa sekalipun seseorang itu melakukan puasa Ramadan, membayar zakat, menunaikan haji, bersedekah kepada fakir miskin, namun jika tidak menunakan solat atau melalaikannya, maka seluruh amalan kebaikannya akan di tolak oleh Allah SWT.

Solat adalah perkara yang besar dalam pandangan Allah SWT dan Rasul-Nya. Banyak dalil dan bukti yang menegaskan bahwa solat adalah ibadah yang sangat penting dan agung serta mengandung banyak hikmah, diantaranya :

1. Kerana solat adalah ibadah yang diterima langsung oleh Nabi Muhammad SAW daripada Allah SWT, tanpa perantara malaikat Jibril.

2. Solat adalah ibadah yang tidak boleh ditinggalkan dalam apa keadaan sekalipun.

3. Solat dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

4. Solat dapat menenangkan jiwa orang yang melaksanakannya.

5. Solat merupakan ikatan janji dan komitmen kita kepada Allah SWT.

6. Solat adalah ibadah semua nabi dan rasul yang diperintahkan Allah SWT.

Marilah kita menginsafi diri dan istiqamah dalam mendirikan ibadah solat. Jangan sampai kita termasuk dalam golongan orang yang lalai. Tidaklah cukup dengan solat seminggu sekali sahaja, iaitu Solat Jumaat, tetapi melalaikan solat fardhu lima waktu sehari semalam. Islam juga memerintahkan kita agar sentiasa memastikan ahli keluarga telah menunaikan solat, termasuk isteri dan anak-anak.

Oleh kerana itu, kita disuruh memimpin dan memastikan anak-anak supaya menunaikannya, melatih mereka solat ketika berumur 7 tahun dan memukul mereka yang tidak menunaikannya, ketika berumur 10 tahun. Allah SWT berfirman bermaksud :

“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Thoha ayat: 132)