Archive for 17 Mei 2015


KEMBARA SEORANG PEJUANG

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35461-kembara-seorang-pejuang

NASRUDIN HASSAN | 16 Mei 2015.

1. Ummat Islam di seluruh dunia sedang menyambut ulangtahun peristiwa Isra’ dan Mikraj. Isra’ dan Mikraj adalah merupakan satu mukjizat pengembaraan seorang Insan bertaraf Rasul untuk mengadap Tuhannya Qadhi Rabbul Jalil.

2. Ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan tarikh tepat berlakunya peristiwa agung ini. Al Imam An Nawawi dan Al Qurtubi mentarjihkan pandangan yang meletakkan tarikh lima tahun sebelum hijrah sebagai tahun berlakunya Isra’ dan Mikraj.

Sementara ada pandangan yang menyebut bahawa Isra’ dan Mikraj berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun kesepuluh An Nubuwwah pula ditarjih oleh Al A’llaamah Asy Syeikh Mansur Puri. و الله أعلم بالصواب

3. Apa yang menarik  (menurut pandangan yang kedua) peristiwa Isra’ dan Mikraj ini berlaku pada tahun yang dikenali sebagai tahun dukacita . ( عام الحزن)

Tahun Dukacita ( عام الحزن )

Ada 3 peristiwa penting yang mengheret Baginda Rasul saw. ke kancah rasa dukacita yang sangat mencengkam jiwa dan perasaan.

a ) Kewafatan Saidatina Khadijah Rha.
b) Kematian Abu Talib.
c) Peningkatan kadar tekanan

Kewafatan Saidatina Khadijah Rha.

Seorang tokoh yang sangat penting dalam hidup baginda saw. Bukan sahaja sebagai seorang Isteri tetapi juga sebagai individu yang bertanggungjawab membiayai perjuangan Baginda saw.

Khadijah Rha. adalah orang yang pertama beriman kepada Allah dan RasulNya saw. di saat orang lain kufur kepadanya, yang menghulurkan seluruh hartanya disaat orang lain memboikot perjuangan Rasulullah saw. yang menenangkan perasaan baginda saw. di saat orang lain menyakitinya.

Tokoh yang disegani oleh seluruh penduduk Quraisy justeru beliau adalah seorang tokoh hartawan terkemuka di kalangan mereka. Pastinya pemergian Saidatina Khadijah Rha. sangat dirasai oleh Baginda saw.

Kematian Abu Talib

Tidak syak , sejarah sangat menyedari kehadhiran Abu Talib yang bertanggungjawab menjaga dan memelihara Nabi saw. sejak kewafatan datuknya, Abdul Muttalib.

Bahkan Abu Talib selaku bapa saudaranya turut memainkan peranan penting dalam melindungi Rasulullah saw. sepanjang detik-detik cemas dan getir berhadapan dengan ancaman dan ugutan kuffar Quraisy.

Namun tokoh besar ini juga dimatikan wataknya di awal kisah perjuangan baginda Rasul saw. sementelah pula, matinya Abu Talib tanpa Iman (menurut pandangan Ahli Sunnah wal Jamaah).

Tentu sahaja kehilangan watak Abu Talib yang terlalu banyak jasanya terhadap Rasulullah saw. tanpa sempat beriman sangat memilukan perasaan baginda saw.

Peningkatan Ancaman Musuh

Sering kali perancangan kuffar Quraisy untuk memerangkap dan menyakiti Rasulullah saw. tergendala ekoran kehadhiran 2 tokoh besar dan terbilang dalam hidup Baginda Rasul saw.

Sejurus kedua-dua tokoh tersebut meninggal dunia, ianya menjadi kesempatan terbaik buat kuffar Quraisy untuk melipat gandakan tekanan dan asakan mereka kearah perjuangan yang didokong oleh Rasulullah saw.

Penentangan yang dihadapi oleh Rasulullah saw itu adalah penentangan yang dilakukan oleh kaum kerabat dan sanak saudara baginda saw. sendiri. Pastinya fenomena ini menghiris perasaan Baginda saw. , sedang sebelumnya masyarakat Quraisy sangat mengenali keperibadian Baginda saw. sebagai insan al Amin.

Percubaan Baginda saw. menembusi benteng daerah sendiri

Memandangkan Islam agama yang benar ditolak mentah-mentah oleh mereka yang berada di dalam “UPU” dan “DUN” baginda saw. sendiri, Baginda saw. mengambil langkah membawa Islam ini ke Taif dengan harapan penduduk Taif boleh menerima Islam jika ianya di tolak oleh penduduk Makkah.

5. Ternyata , SB Makkah lebih cepat bertindak dengan melaporkan pemergian Nabi saw. ke Taif kepada pembesar – pembesar Taif. Laporan negative dan tidak benar yang dibawa itu , membuatkan pembesar Taif “menyambut” kedatangan Nabi saw. dengan batu dan kata nista yang dilemparkan kearah baginda saw. oleh pemuda – pemuda tahan lasak yang telah diupah.

Munajat Baginda saw

6. Baginda saw. terpaksa pulang kembali ke Kota Makkah setelah mendapat bantahan sengit dari pembesar dan penduduk Taif. Kecederaan yang dialami oleh Baginda saw. menambah penderitaan dan kesengsaraan yang rasai dalam memimpin perjuangan suci ini.

7. Pertengahan jalan, Baginda Rasul saw. berhenti rehat buat seketika di sebuah kebun milik Utbah dan Syaibah bin Rabiia’h. Rasulullah saw. menadah tangan lantas bermunajat dengan hati baginda yang hiba .[1]

اللهم إليك أشكو ضعف قوتي و قلة حيلتي و هواني على الناس يا أرحم الراحمين أنت رب المستضعفين و أنت ربي . إلى من تكلني ؟ إلي بعيد يتجهمني ؟ أم إلى عدو ملكته أمري ؟ إن لم يكن بك علي غضب فلا أبالي و لكن عافيتك هي أوسع لي . أعوذ بنور وجهك الذي أشرقت له الظلمات

Ya Allah , kepadaMu aku mengadu betapa lemahnya kekuatanku dan betapa sedikitnya helah upayaku dan betapa hinanya aku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang maha Penyayang mengatasi segala yang menyayangi, Engkaulah tuhan orang-orang yang lemah dan Engkaulah tuhanku.

Kepada siapakah Engkau serahkan diriku ini? kepada orang jauh yang senantiasa memerangiku atau kepada musuh yang mahu menangkapku? Jika tiada kemurkaanMu terhadap diriku ini , nescaya aku tidak peduli (akan ku teruskan perjuangan ini). Akan tetapi naungan kesejahteraanMu terlebih aku harapkan. Aku berlindung dengan cahaya keredhaanMu yang telah menerangi kegelapan.

8. Al Marhum Syeikhuna Sya’rawi al Mutawwalli pernah menyebut bahawa doa ini telah didengar dan dijawab oleh Allah swt. ketika beliau menafsirkan ayat pertama dari surah Al Isra’ :[2]

إنه هو السميع البصير

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Melihat.

9. Ada riwayat menyebut bagaimana Allah menghantar Malaikat yang menjaga bukit datang mengadap Nabi saw. untuk memohon izin bagi menghempaskan Bukit Taif ke atas seluruh penduduknya yang telah menyakitkan Rasulullah saw. Namun Nabi saw. tegas menjawab:

و الله بل أرجوا أن أخرج من أصلابهم من يعبد الله وحدة .

Demi Allah , bahkan apa yang aku harapkan ialah bakal lahir dari sulbi-sulbi mereka , generasi yang mengabdikan diri kepada Allah tuhan yang Esa.

10. Demikianlah jauhnya pandangan dakwah Nabi saw. demi masa depan agama suci ini. Ternyata kebangkitan generasi muda telah mewarnai perjuangan Islam yang telah diasaskan oleh Rasulullah saw. ini.

Perjuangan diselubungi Nusrah

Saat menanggung rasa penuh dukacita, menghadapi segala musibah yang menimpa dan karenah golongan kuffar Nabi saw. diundang oleh Allah swt. untuk naik mengadapnya guna dipamerkan kepada baginda saw. tanda-tanda keagungan Allah swt.

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (Surah Al Israa’ : 1)

11. Tanda-tanda keagongan Allah swt. justeru satu bukti bahawa Allah swt. adalah Tuhan yang maha Perkasa lagi Gagah . Tiada tolok bandingnya. Tiada siapa yang mampu mengalahkannya. Itulah Allah swt. yang senantiasa menaungi perjuangan Islam ini.

12. Maka tiada apa lagi yang mengembirakan Nabi saw. setelah menghadapi segala penderitaan dan kesengsaraan di pentas perjuangan melainkan baginda saw. melihat sendiri bagaimana keagongan Ilahi.

13. Ianya menjadi Nusrah (pertolongan) buat Nabi saw. dan juga kepada mereka yang menjejaki Manhaj an Nabawi ini disepanjang zaman.

14. Biarpun musuh sering menguasai keadaan dan pula senantiasa mempunyai kesempatan untuk menyakiti perasaan dan tubuh badan pejuang-pejuang Islam, Allah pasti sahaja tidak akan mensia-siakan mereka.

15. Menghayati tanda keagongan Allah swt. menjadikan pejuang Islam beroleh keyakinan bahawa perjuangan Islam ini bersandarkan satu kekuatan yang tidak mungkin dapat ditewaskan.

16. Fenomena inilah membuatkan Nabi saw. dan seluruh pejuang Islam di sepanjang zaman tidak lagi berasa gentar terhadap ancaman musuh , biar setinggi mana kuasa mereka , selebar mana pengaruh mereka dan sebanyak mana dana mereka , ternyata mereka teramat kerdil dan hina di sisi Allah swt.

Firman Allah swt:

وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ إِن تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

Dan janganlah kamu berasa hina menghadapi golongan itu (musuh kamu) jika kamu berasa sakit, sesungguhnya mereka juga berasa sakit sebagaimana kamu berasa sakit sedang kamu mengharapkan (redha) Allah, suatu yang tidak diharapkan oleh mereka. (Surah An Nisa’: 104)

[1] Rujuk Sirah An Nabawiyyah Ibnu Hisyam . Hal. 48 . Juz kedua. Cetakan DarulJiil Beirut.

[2] Saya masih ingat ketika mendengar ceramah Isra’ dan Mikraj yang disampaikan oleh Asy Syeikh Al Marhum Sya’rawi al Mutawwalli di Mesir satu ketika dahulu.

Sekian.

Nasrudin Hassan
Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Dakwah PAS Pusat.

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35441-zakat-maskahwin-elaun-rumahtangga-dan-harta-jagaan

USTAZ HAMIZUL ABDUL HAMID | 15 Mei 2015.

SAYA ada beberapa persoalan mengenai zakat dan mohon pencerahan pihak ustaz.

Pertama, mengenai mahar atau ‘mas kahwin’ yang diberikan oleh seorang lelaki kepada seorang wanita yang dinikahinya, adakah ia wajib dizakatkan?

Kedua, adakah seorang wanita yang menerima elaun bulanan daripada suaminya juga wajib mengeluarkan zakatnya?

Ketiga, adakah seorang wanita yang kematian suami dan telah diwasiatkan oleh suaminya untuk mengelolakan harta tertentu bagi pihak anak-anaknya yang masih di bawah usia baligh, wajib mengeluarkan zakat bagi pihak anak-anaknya? Harap penjelasan ustaz, terima kasih.

Alhamdulillah, sesungguhnya persoalan-persoalan yang dikemukakan ini amat baik sebenarnya bagi memberikan pencerahan kepada kalangan majoriti umat Islam yang mungkin selama ini masih kabur mengenai persoalan zakat seperti di atas ini. Mudah-mudahan, Allah SWT membantu saya dalam menyajikan jawapan yang terbaik, amin.

Baiklah, mari kita telusuri satu persatu soalan yang dikemukakan. Pertama, mengenai mahar atau mas kahwin yang diberikan kepada seorang wanita, maka adakah ia wajib dizakatkan? Ada beberapa pandangan fuqaha dalam hal ini, namun majoriti fuqaha berpandangan bahawa mahar yang diberikan itu, maka ia wajib dizakatkan.

Cumanya, apakah bentuk mahar berkenaan? Ini kerana, mahar tidak semestinya dalam bentuk emas, kerana ia juga boleh dalam bentuk wang, harta yang bernilai yang lain hatta boleh juga dalam bentuk bukan harta, seperti mana diriwayatkan oleh Imam Muslim, ada sahabat nabi yang bernikah hanya membayar maharnya dengan beberapa surah daripada al-Quran kerana kemiskinannya tidak memungkinkan dia memberikan hartanya.

Maka, fuqaha menyatakan jika ia diberikan dalam bentuk emas, hendaklah disandarkan kepada zakat emas. Jika diberikan dalam bentuk wang, maka ia boleh dicampurkan dengan lain-lain harta perolehan (pendapatan) dan dikeluarkan zakatnya sebagai zakat pendapatan.

Jika dalam bentuk harta lain yang tidak berkembang, misalnya diberikan sebuah kereta atau rumah atau tanah, maka tidaklah wajib dizakatkan, kecuali harta itu berubah sifatnya menjadi harta yang berkembang (mendatangkan wang seperti disewa atau dijualkan). Jika maharnya dalam bentuk bukan harta (seperti sepotong surah), maka tidak adalah zakat ke atasnya (rujuk Dr. Amir Said az-Zahari, Tanya Jawab Tentang Zakat, hal. 21).

Kedua, mengenai zakat ke atas wang elaun bulanan yang diberikan oleh seorang suami kepada isterinya? Hakikatnya, bukan sahaja wang elaun bulanan daripada seorang suami kepada isteri, malah ia juga boleh dikembangkan lagi kepada semua jenis pemberian daripada orang-orang yang lain, misalnya daripada anak-anak, daripada saudara-mara hatta sesiapa sahaja. Ini kerana, setiap pemberian itu hakikatnya bersifat harta perolehan kepada si penerima.

Berdasarkan fatwa zakat pendapatan di Selangor, semua jenis harta perolehan termasuklah pemberian daripada seseorang, maka ia dikategorikan sebagai pendapatan dan wajib dizakatkan sebagai zakat pendapatan. Maka, di sini jelaslah pemberian elaun daripada suami kepada isterinya itu, wajib dizakatkan.

Cuma, hendaklah diperhatikan terlebih dahulu apakah elaun bulanan itu diberikan oleh suami, sebagai elaun khusus buat isteri atau perbelanjaan asasi bagi rumahtangga. Misalnya, jika si suami memberikan RM4,000 dan diberi tahu kepada isterinya, RM2,000 adalah untuk keperluan rumahtangga, misalnya untuk belanja dapur, bayaran bil elektrik dan air serta sebagainya lagi, dan RM2,000 lagi ialah khusus untuk isterinya, maka hanya RM2,000 itu sahajalah yang wajib dizakatkan oleh isterinya sebagai zakat pendapatan.

Ketiga, apabila seseorang ibu atau wanita itu menerima wasiat suaminya untuk mengelolakan sebahagian harta bagi pihak anak-anaknya, maka di sini pengelolaan tersebut termasuklah juga kewajipan menjaga hak zakat ke atasnya. Ini kerana, wasiat mengelolakan harta tersebut bermaksud menjaga agar harta itu tidak binasa, dan berzakat adalah salah satu cara agar harta tidak binasa, yakni disejahterakan oleh Allah SWT daripada sebarang mara bahaya.

Hadis Nabi Muhammad SAW: “Lazimnya habuan (bahagian) zakat (yang tidak dikeluarkan dan dibiarkan) bercampur dengan mana-mana harta, (maka tidak memberikan kebaikan) melainkan ia akan membinasakan harta itu.” (Hadis riwayat Imam Syafie)

Dan sebuah hadis lagi: “Peliharalah hartamu dengan zakat dan ubatilah penyakitmu dengan sedekah.” (Hadis riwayat Imam Tabrani)

Manakala, kewajipan zakat kepada harta yang dikendalikan bagi anak-anak sememangnya ada dalil khusus baginya, seperti mana yang disebutkan di dalam suatu hadis: “Berniaga, labur atau usahakanlah harta-harta anak yatim, semoga ia tidak surut (semakin berkurang) dengan (sebab) zakat (dizakatkan setiap tahun sehingga harta terus menjadi sedikit).” (Hadis riwayat Imam Baihaqi)

Maka, berdasarkan hadis di atas, jelas bahawa nabi sendiri memerintahkan agar harta milik anak-anak yatim yang dipelihara oleh penjaganya, maka hendaklah dizakatkan dan dalam masa yang sama juga, harta itu perlu dikembangkan, agar ia tidak menyusut kerana zakat yang dikeluarkan ke atasnya saban tahun.

Dengan menggunakan konsep qiyas di dalam hukum Islam, hal ini juga bolehlah dikembangkan kepada sesiapa sahaja yang diamanahkan menjaga harta bagi pihak orang lain. Misalnya harta bagi orang yang dipenjara, dibuang negeri dan sebagainya. Maka, kewajipan zakat ke atasnya juga masih terlaksana, yakni ditunaikan oleh si penjaga, sesuai dengan mafhum hadis di atas.

Hal ini sesuai dengan konsep ibadah zakat itu sendiri yang berbentuk ibadah maliyyah atau harta benda, dan kewajipan ke atasnya harus terlaksana apabila ada orang yang dipertanggungjawabkan mengendalikannya secara sepenuhnya, bagi pihak pemilik asalnya.

Ia juga menepati kehendak Allah SWT di dalam al-Quran: “Dan hendaklah kamu bertolong bantu dalam perkara baik dan ketakwaan.” (al-Maidah: 2)

Apabila penjaganya mengeluarkan zakat bagi harta berkenaan, maka akan terlepaslah beban zakat kepada pemiliknya yang mungkin terpenjara. Hal ini samalah seperti kes, orang yang mati dan dia mempunyai qada zakat, maka kewajipan menunaikan qada zakat itu terbeban atas bahu warisnya dan sebahagian fuqaha menyatakan, warisnya wajib mengeluarkan zakatnya walaupun tidak diwasiatkan oleh si mati (rujuk Dr. Abdul Karim Zaidan, Ensaiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2, hal. 28).

Kesimpulannya, kewajipan zakat itu adalah sesuatu yang wajib diperhatikan kerana ia bukanlah kewajipan seperti solat atau puasa dan haji yang lebih bersifat ibadah badaniyyah, melainkan ia kewajipan harta yang boleh diwakilkan kepada orang lain untuk dilaksanakan sehingga terlepaslah diri seseorang daripada tanggungan dosa kerana mengingkarinya. – http://www.hamizul.com/

%d bloggers like this: