Sumber : Web JAKIM

Pengorbanan seorang guru amat besar dalam mendidik umat. Setiap seorang dari kita pasti akan mengenang jasa guru-guru, sejak kita mula melangkah ke alam persekolahan. Sedar atau pun tidak, pengorbanan mereka sentiasa tersemat di dalam ingatan kita. Malah pengorbanan merekalah yang sebenarnya telah mendorong kita untuk berusaha menjadi seperti mereka, iaitu insan yang sanggup berkorban demi kebaikan orang lain.

Kita pastinya masih mengingati bagaimana guru-guru kita dahulu sanggup meluangkan masa, tenaga, malah wang ringgit demi membantu kita berjaya dalam pelajaran. Kemudian tatkala kita telah berjaya dan dewasa, adakah patut kita membiarkan pengorbanan mereka ini diabai tanpa dikenang?

Guru pastinya tidak meminta balasan material daripada kita. Apa yang diharapkan ialah murid-muridnya mendoakan dan juga menghargainya dalam pelbagai cara. Sesungguhnya berterima kasih kepada manusia adalah tanda kita bersyukur dan berterima kasih juga kepada Allah SWT. Sebagaimana sabda Nabi SAW:

Maksudnya:Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, sesungguhnya dia tidak berterima kasih juga kepada Allah”. (Riwayat at-Tirmidzi)

Marilah sama-sama kita menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru melalui tindakan berikut:

Pertama: Mendoakan kebahagian buat guru-guru, sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Kedua: Menziarahi guru-guru untuk mengeratkan silaturrahim.

Ketiga: Menghulurkan apa juga bentuk sumbangan mengikut kemampuan masing-masing kepada institusi pendidikan.

Keempat: Berkatalah dengan lemah-lembut dan jangan sekali-kali menyakiti hati guru.

Kelima: Ucapkanlah terima kasih kepada guru-guru dan semua insan yang pernah menabur bakti dan budi kepada kita.

Buat para guru pula, teruslah beristiqomah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran dalam menyampaikan ilmu kepada anak bangsa, mudah-mudahan akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Mujadalah ayat 11:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Apabila kamu diminta memberi lapang dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan melapangkan untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan akan darjat. Dan Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan”.