Archive for 10 Mei 2015


Sumber : Web JAKIM

Manusia menurut ilmu mantiq adalah sejenis haiwan yang cerdik pintar. Justeru Allah SWT menganugerahkannya dengan kemahiran antaranya mencipta peralatan komunikasi, bermula dari mesin cetak hinggalah kepada internet yang kini digunakan secara meluas di seluruh dunia.

Secara hakikatnya dengan terciptanya alat komunikasi ini, maka kita dapat melihat penyaluran maklumat begitu cepat samada melalui media massa, media cetak, internet, whatapps, instagram, twitter dan sebagainya. Peralatan komunikasi masa kini, ibarat sebilah pisau yang dapat memberi kebaikan kepada kita andaikata betul cara menggunakannya. Pisau yang sama juga boleh mendatangkan kemudaratan kepada kita jika disalahgunakan.

Justeru, kadang kala dalam keghairahan ini kita lupa akan batas batas agama serta dosa dan pahala sehingga kita sanggup melanggari prinsip-prinsip komunikasi Islam dengan cara menjatuhkan atau mendedahkan keaiban seseorang termasuklah melakukan fitnah. Dan yang lebih dahsyat lagi, ada yang sanggup mencipta berita palsu, dokumen palsu, gambar palsu disebarkan melalui internet dan media sosial hanya semata-mata untuk tujuan tertentu.

Sebagai seorang Islam yang takutkan Allah dan percayakan hari akhirat kita hendaklah menjaga akhlak dan adab-adab kita ketika berbicara dan berkomunikasi. Ingatlah, niat kita tidak boleh menghalalkan cara sebagaimana yang disarankan melalui firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 11:

Bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang yang zalim. ”

Justeru, sebagai umat Islam yang beriman, kita hendaklah berkomunikasi berdasarkan kepada prinsip yang telah digariskan Islam.

Pertama: Janganlah berkomunikasi dengan cara merendahkan dan mencaci maki orang lain, kerana Allah SWT lebih mengetahui siapa yang lebih baik antara kita.

Kedua: Jangan mendedahkan keaiban seseorang atau menyebarkan keburukan seseorang, kerana perkara ini tidak dianjurkan oleh agama, malah Allah SWT menempelak golongan yang suka mendedahkan keaiban orang lain.

Ketiga: Janganlah menggelar seseorang dengan gelaran yang buruk terutamanya sesama umat Islam kerana ianya boleh mendatangkan dosa dan membawa kepada kefasikan.

Keempat: Jauhilah dari beprasangka buruk kerana ianya mendatangkan dosa, seandainya sesuatu berita itu sampai kepada kita, maka hendaklah ianya disemak terlebih dahulu tentang kesahihannya. Janganlah kita menjadi agen penyebar fitnah dan berita palsu kepada masyarakat.

Kelima: Janganlah kita mengintip dan mencari kesalahan orang lain. Ingatlah bahawa Islam menyuruh mencegah kemungkaran seiring dengan suruhan melakukan kebaikan.

Keenam: Menjaga tutur bicara kita agar tidak mendatangkan kemarahan orang lain. Ingatlah bahawa segala tutur bicara kita di dunia ini di bawah perhitungan Allah SWT dan akan dibentangkan di akhirat.

Tarikh : 8 Mei 2015

Lokasi : Surau al-Hijrah Apatment Platinium Putatan

20150508_185954 20150508_200119 20150508_200126 20150508_200131

%d bloggers like this: