Archive for 6 Mei 2015


Sumber : http://m.harakah.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/35241-konvensyen-pas-sabah-catatan-sebuah-perjuangan

AMIRUDDIN MOHD ROSDI | 05 Mei 2015.

KONVENSYEN PAS Negeri Sabah. Ini kali keempat. Menghimpunkan ahli PAS Sabah dari seluruh pelusuk dan ceruk Negeri Sabah di Bawah Bayu.

Di kala PAS Sabah ‘disingkirkan’ daripada Pakatan Rakyat Sabah oleh rakan tahaluf, PKR Sabah dan DAP Sabah, sokongan daripada ahli PAS Sabah tidak berbelah-bagi. Dewan Likas Square dibanjiri lebih 600 ahli PAS Sabah yang mahu mendengar amanat daripada pimpinan.

Antara pimpinan PAS Pusat yang hadir termasuklah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merangkap Ahli Parlimen Marang; Timbalan Presiden PAS, Mohamad Bin Sabu; Ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali At-Takiri; AJK PAS Pusat, Dr. Riduan Mohamad Nor; Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria; dan Pengarah Lajnah ICT PAS Pusat Tuan Mohd Shuhaimi Embong.

Presiden PAS, dalam ucapan perasmian membaca ayat 249 dari Surah Al-Baqarah;

فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِالْجُنُودِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ مُبْتَلِيكُمْ بِنَهَرٍ فَمَنْ شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَمَنْ لَمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُ مِنِّي إِلَّا مَنِ اغْتَرَفَ غُرْفَةً بِيَدِهِ فَشَرِبُوا مِنْهُ إِلَّا قَلِيلًا مِنْهُمْ فَلَمَّا جَاوَزَهُ هُوَ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ قَالُوا لَا طَاقَةَ لَنَا الْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُمْ مُلَاقُو اللَّهِ كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ

Ayat ini bertepatan dengan tema Konvensyen ”Tarbiyah Tunjang Kekuatan Jemaah” yang mendidik para pejuang supaya tidak meremehkan soal tarbiah jasadiah dan ruhiah. Secara jelas diceritakan bagaimana tentera Talut diuji Allah dalam menghadapi peperangan.

TG Abdul Hadi mengupas ayat ini dalam konteks perjuangan PAS di bumi Malaysia. Tohmahan bahawa PAS mahu bergabung dengan Umno hanyalah propaganda lapuk daripada pihak musuh. PAS tetap istiqamah dengan dasar Islam. Al-Quran dan Sunnah mrnjadi panduan.

Sehari sebelum Konvensyen PAS Sabah, TG Abdul Hadi menempelak mereka yang kononnya menggunakan hujah Syeikh Yusuf al-Qardhawi untuk memberi alasan ‘hukum hudud belum sampai masanya untuk dilaksanakan’. Tegasnya, mereka ini belum tentu baca kitab Qardhawi dan berjumpa secara langsung dengan beliau.

TG Abdul Hadi turut menceritakan kisah beliau teribat secara langsung dalam Ikhwanul Muslimin malah bertemu muka dengan mantan Mursyidul ‘Am Ikhwanul Muslimin seperti Almarhum Syeikh Umar at-Tilmisani, Syeikh Muhammad Mahdi ‘Akif sehingga Syeikh Dr. Muhamamad Badie’.

Beliau menegaskan PAS bukan AKP, PAS bukan PKS, PAS bukan Ikhwanul Muslimin, PAS adalah PAS!

Ketika ada yang memandang sinis beliau di negara sendiri, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura menjemput beliau untuk menerangkan hukum Hudud di hadapan non-Muslim. Respon yang sangat baik diterima.

Konvensyen PAS Sabah sudah melabuhkan tirainya dengan tekad akan terus bersama mendukung kepimpinan ulama. Moga Allah tautkan hati para pejuang yang istiqamah ingin mendaulatkan Islam di bumi bertuah ini.

Terus beristiqamah! – HARAKAHDAILY 5/5/2015

Sumber : http://m.harakah.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/35235-pas-sabah-menerjang-badai-perjuangan

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 05 Mei 2015.

TANAH Borneo dengan hamparan tanah tinggi terbentang luas, desiran angin bawah bayu menghantar khabar gembira bahawa perjuangan Islam semakin mendapat sambutan hangat. Geografinya yang luas dan demografinya yang rencam bukanlah satu alasan untuk para amilin negeri bawah bayu ini untuk terus mengobar panji jihad dan kemuliaan Islam.

Sabah pernah berada di bawah Kesultanan Sulu dan juga hegemoni Barat, seterusnya Jepun selama tiga tahun lapan bulan. Sabah lumayan dengan pelbagai etnik dan juga kaum migrasi, ini semua mewajahkan watak Sabah yang dinamik dengan budaya persaingan.

Bermula dengan zaman almarhum Ustaz Yusuf Rawa, PAS mula menebarkan sayap pengaruhnya di ranah Sabah.

Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, pada tahun 1986, rombongan PAS daripada Pusat telah tiba di Sabah dan pimpinan dibahagikan kepada beberapa kawasan untuk memperkenalkan PAS.

Namun apabila diadakan pertemuan, ramai khalayak ialah sahabat-sahabat dari Semenanjung terutama kalangan penjawat awam.

Penjawat awam daripada bumi Semenanjung seterusnya menjadi tonggak utama menyebarkan fikràh perjuangan. PAS kawasan-kawasan mula ditubuhkan, serentak dengan itu pada awal dekad 90-an mula ditubuhkan pendidikan prasekolah Pasti. Sistem kaderisasi juga berjalan dengan rancak untuk mencetak para amilin dan pendakwah.

Sabah juga menjadi tempat buangan kepada penjawat awam, namun ia menjadi “boomerang” akhirnya kepada BN. Para guru terutamanya menjadi kelompok paling aktif menggerakkan harakatul ummah ini di Sabah.

Perjuangan PAS semakin mendapat sambutan kerana sikapnya yang konsisten dengan dasar dan prinsip Islam. Anak tempatan Sabah akhirnya mula mengambil ruang kepimpinan PAS Kawasan-kawasan sehingga peringkat negeri dan ini menandakan kejayaan program tajnid (kaderisasi) yang dibuat dalam tempoh dua dekad.

Anak-anak tempatan Sabah terutamanya kelompok kelas menengah kini paling ramai mengisi kepimpinan PAS Sabah di semua peringkat.

PAS Sabah semakin bergaya dengan pelebaran dakwah dan tarbiah, masjid dan surau semakin aktif terutama kawasan bandar dan subbandar. Pusat pengajian Islam mula ditubuhkan dibeberapa tempat di Sabah, seterusnya mengewap cahaya Islam ditengah kejahilan masyarakat.

Muktamar, Makan Malam, Konvensyen PAS Sabah

Ratusan pimpinan dan aktivis PAS Sabah dengan guratan wajah ceria berhimpun di Kota Kinabalu dengan program selama tiga hari yang disusun padat.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi merasmikan serentak Muktamar Dewan Ulama dan Dewan Muslimat Sabah di Dewan Konvensyen Hotel Tang Dynasty. Para peserta begitu teruja mendengar kupasan yang sarat fakta ucapan perasmian daripada Naib Ketua Kesatuan Ulama Dunia.

Ternyata PAS Sabah beranjak matang dalam tempoh tiga dasawarsa ini, pemerkasaan dan pemberdayaan gerakan Islam kelihatan menjadi sebuah entiti yang gagah.

Apatah lagi Sabah dengan gerakan kristianisasi yang sangat mapan, kehadiran PAS dengan wajah harakatul dakwah sedikit sebanyak memberikan harapan buat ummah. Kehadiran luar jangkaan pada semua program yang telah diatur selama tiga hari begitu memberangsangkan.

PAS Sabah juga tidak nyilu mencetak anak-anak muda untuk mewarisi perjuangan Islam yang panjang ini, seterusnya mewujudkan euforia Islam di tanah Borneo. Tiada yang mustahil, jika ditumpahkan seluruh komitmen ke arah itu dan teman-teman aktivis Sabah mempunyai sumber kekuatan itu. – HARAKAHDAILY 5/5/2015

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik Pusat)

%d bloggers like this: