Archive for 24 April 2015


Tarikh : 21 April 2015

Lokasi : Taman Merpati Sandakan

Berukhuwwah dan singgah sebentar di Maahad Tahfiz al-Quran was Sunnah, Taman Merpati Sandakan. Bertemu anak-anak remaja yang menghafaz al-Quran, sebahagian hasil maahad ini kemudiannya menyambung di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah di Kota Kinabalu pula.

mtqss

Sumber : Web JAKIM

Dalam melaksanakan tuntutan jihad semasa ini, beberapa perkara yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam berdasarkan kepada keperluan semasa.

Pertama: Jihad menguasai ilmu, segala usaha untuk mewujudkan umat Islam yang menguasai ilmu adalah satu jihad kerana ianya akan melahirkan umat yang maju, berdaya saing dan mampu dalam segala bidang. Rasulullah SAW menyifatkan mereka yang menuntut Ilmu adalah perjuangan fi sabilillah-berjuang di jalan Allah. Rasulullah SAW bersabda bermaksud : “Sesiapa yang keluar menuntut ilmu maka ia berjuang  fisabilillah hingga ia kembali”. (Riwayat: at-Tirmizi).

Kedua: Jihad menguasai ekonomi dan kewangan, Kemajuan ekonomi dan kewangan amat penting untuk menentukan kekuatan sesebuah negara dan bangsa. Negara yang menguasai ekonomi akan bebas dari cengkaman kuasa asing. Percayalah bahawa tindakan menguasai ekonomi dengan tujuan memelihara keamanan, kemajuan dan kesejahteraan negara tergolong dalam erti kata jihad yang sebenar.

Ketiga: Jihad memperkukuh kesatuan dan perpaduan ummah, walaupun kita umat Islam dihimpit dengan pelbagai isu, ideologi dan pemikiran, namun kita yakin umat Islam dapat membina kesatuan dan perpaduan ummah. Kita diciptakan oleh Allah SWT dengan kriteria dan watak yang berbeza-beza. Kita berbeza dari segi adat, budaya, dan cara hidup serta fahaman politik. Namun kita dituntut untuk membina kesatuan dan perpaduan demi agama, bangsa dan negara.

Akibat pengertian makna jihad yang sempit, maka kalimah jihad telah disalahgunakan oleh mereka yang bertindak sebagai pengganas atau terorisme yang menggunakan nama Islam. Pada hari ini kemunculan kumpulan militan Daulah Islamiah atau dikenali sebagai Islamic State (IS) akibat ketidakstabilan politik di negara Syria dan Iraq dilihat mula memberi kesan secara langsung terhadap keselamatan negara.

Secara ringkasnya kumpulan IS ini dari segi ideologinya merupakan kumpulan pelampau yang berpegang kepada ideologi Salafi Jihadi, mereka memperjuangkan penubuhan Daulah Islamiah melalui peperangan serta mengkafirkan pemerintah Islam yang tidak menegakkan hukum syariah.

Kumpulan ini memberi tafsiran berbeza mengenai jihad dan menolak hakikat jihad yang sebenar yang berasaskan kepada al-Quran dan Sunnah, mereka membunuh sesiapa sahaja tanpa mengira orang Islam atau bukan Islam, mereka juga menghalalkan tindakan yang lebih agresif dan kemusnahan harta benda walaupun melibatkan hak saudara seagama mereka sendiri.

Perjuangan kumpulan Islamic State (IS) untuk menubuhkan sebuah negara Islam dengan menggunakan kekerasan dan keganasan adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar dan perlembagaan negara. Justeru, sebagai umat Islam yang cintakan keamanan dan berpegang dengan prinsip kesederhanaan, menjadi kewajipan kepada kita untuk menolak gerakan ini.

Usahlah kita terpengaruh dengan gerakan ini kerana ianya menyeleweng dari hakikat jihad semasa sebagaimana yang dituntut oleh agama kita. Percayalah bahawa Islam sebagai agama yang menganjurkan keamanan dan kesejahteraan, tidak sesekali menghalalkan cara untuk mencapai sesuatu matlamat, apatah lagi sekiranya pendekatan itu diambil hanya menjurus kepada tercetusnya kemudaratan yang lebih besar. Yakinlah bahawa tuntutan memperkasa ilmu dan ekonomi perlu diutamakan sekiranya kita hendak menjadi umat yang disegani di mata dunia.

%d bloggers like this: