Sumber : Web JAKIM

Bagaimanakah untuk membina generasi al-Quran ini. Berdasarkan kepada beberapa kajian generasi ini dibina melalui didikan dan tarbiyah yang mengetengahkan konsep lima “M” iaitu:

Pertama: Membaca al-Quran pada setiap masa. Banyak hadith-hadith yang menjelaskan kedudukan mereka yang sentiasa membaca al-Quran begitu tinggi dan mulia di sisi Allah SWT. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca akan diberi ganjaran sebanyak sepuluh pahala. Sebagaimana maksud sabda Rasulullah SAW :

Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kebajikan seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf ”. (Riwayat at-Tirmizi)

Kedua: Menghafaz al-Quran bagi membina kekuatan minda dan membentuk benteng ketahanan rohani yang tinggi serta terpancar nur cahaya Ilahi di dalam diri seseorang penghafaz al-Quran. Ia dibuktikan melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya: Siapakah mereka ya Rasulullah? Jawab baginda: Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah dan orang-orang pilihannya. (Riwayat Ibnu Majah).

Ketiga: Memahami dan Menguasai al-Quran dengan sebaik mungkin untuk dijadikan sumber rujukan dan pedoman utama segenap bidang kehidupan. Rasulullah SAW pernah menyarankannya melalui sepotong hadis yang bermaksud: Sesiapa membaca al-Quran dan mengamalkannya, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram, maka Allah SWT memasukkannya ke dalam syurga dan dia boleh memberi syafaat 10 orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka.” (Riwayat Tirmizi).

Keempat: Menghayati idea-idea dan pengajaran baik yang terkandung dalam al-Quran.

Kelima: Mempelajari keindahan dan ketinggian kalamullah yang tiada tolok bandingnya di dalam al-Quran.