Tarikh : 12 April 2015

Lokasi : Kg Lubok Temiang WP Labuan

Setelah menderita beberapa tahun, makcik kami Puan Dayang Ounah Daud kembali kerahmatullah pada tengahari ahad dalam usia 81 tahun (lahir tahun 1934). Orang yang sejak saya tahu tentang dunia di rumah kami ini, beliau sudah ada bersama-sama kami.

Dia menjadi teman sembang mama kami, bahkan menjadi teman bertekaknya juga. Mereka berdua adalah sama-sama anak angkat kepada Allahyarham nenek kami Saliha binti Bakar yang meninggal dunia pada tahun 1991 di rumah kami ini juga. Beliau menjaga mama kami dan nenek Uwa bersama-sama.

Apabila suami nenek Uwa meninggal dunia, nenek Uwa tinggal bersama kami, mungkin sekitar akhir 80an ketika saya baru bersekolah rendah. Nenek Uwa setahu saya tiada anak kandung, yang ada cuma anak angkat dan anak-anak buahnya sahaja.

Nenek Uwa adalah sebahagian daripada keluarga kami, dan kami adalah sebahagian daripada kehidupannya setiap hari. Ketika sihatnya semasa berumur 60-70an sekalipun, beliau berjalan kaki sendiri ke kedai runcit sejauh 1km mengurus kehidupannya, naik ke anak bukit di sebelah rumah mencari sesuatu untuk dibuat ulam dan makanan. Beliau pandai memasak dan pernah menang pertandingan membuat kek anjuran pentadbiran kampung kami.

Apabila beliau jatuh sakit, hidupnya banyak di atas katil. Semasa masih mampu bergerak ke tandas dan ke dapur, ia hanya mengengsotkan tubuhnya sendiri, menyandar dan tetap rancak bercerita. Akhir-akhir ini banyak masa hidupnya hanya di atas tilam, mama kami yang juga uzur kesan dan baki angin ahmar, beliaulah juga yang banyak membantu keperluannya.

Ahad lepas, saat dipanggil dari luar biliknya, Nenek Uwa tidak menyahut lagi. Suasana kelam menyelubungi keluarga kami yang sebahagian besarnya tiada di rumah ketika Nenek Uwa pergi meninggalkan kami. Semoga ALlah memudahkan urusannya di alam barzakh, mengampunkan dosa-dosanya. Allahummaghfirlaha warhamha..

IMG-20150412-WA0096 IMG-20150412-WA0113 IMG-20150412-WA0134