Sumber : Web JHEAINS

Firman Allah SWT bermaksudnya : “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (S. Az-Zariat: 56).

Ayat ini dengan jelas menegaskan bahawa Allah SWT menciptakan jin dan manusia semata-mata untuk menyembah serta beribadat kepada-Nya selaku Pencipta dan Pentadbir seluruh alam ini. Menyembah dan beribadat kepada Allah bererti tunduk, patuh dan taat terhadap segala perintah dan larangan Allah SWT tanpa mempersoalkannya.

Dan, seseorang yang melakukan atau mengerjakan amal yang baik kerana mentaati perintah Allah SWT, dikira sudah melakukan ibadat kepada Allah SWT. Justeru, perlu diinsafi bahawa sesungguhnya segala suruhan dan larangan Allah SWT bukan bertujuan membebankan dan menyusahkan manusia.

Hakikatnya, suruhan dan larangan Allah SWT itu lebih merupakan satu peraturan hidup yang wajib dipatuhi dan dilaksanakan bagi memperolehi keredaanNya. Jika ia dipatuhi dan dikerjakan dengan penuh keikhlasan dan tawaduk, ia dapat menjamin manusia menikmati kebahagian dan kesejahteraan hidup yang bermakna di dunia dan di akhirat.

Sesungguhnya pelaksanaan ibadah seperti solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya merupakan lambang pengabdian diri seorang hamba kepada Khaliknya. Ia adalah manifestasi daripada pengakuan setulus hati bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah SWT selaras firman-Nya yang bermaksud :

“Dan Kami tidak mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) seorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepada-Ku.” (S. Al-Anbiyaa’: 25).

Sehubungan dengan firman Allah SWT tersebut, adalah jelas bahawa kita beribadat kepada Allah SWT kerana hakikatnya kita adalah hamba-Nya yang wajib mentaati segala syariat serta perintah-Nya. Kita juga menghambakan diri kepada Allah SWT bagi menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kita terhadap segala nikmat serta rahmat-Nya ke atas kita sekalian.

Kita beribadat kepada Allah SWT kerana kepada-Nyalah kita mengajukan segala permohonan dan pertolongan kerana Dia Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Hatta kita beribadat kepada Allah SWT kerana dari Dia kita datang dan kepada-Nya juga kita kembali pulang.