Sumber : Web JHEAINS

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Apakah kamu mahu aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatan yang terbaik dan paling bersih dalam pandangan Allah serta orang yang tertinggi darjatnya di antara kamu, yang lebih baik daripada bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka juga memotong leher kamu! Lalu para sahabat bertanya: Apakah itu wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Zikir kepada Allah.” (HR Al-Bahaiqi).

Menerusi sabdanya ini, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa berzikir kepada Allah SWT merupakan amalan yang terbaik dan disukai Allah SWT. Baginda SAW menyifatkan zikrullah lebih baik daripada bersedekah emas dan perak serta memerangi musuh. Ini mengisyaratkan bahawa umat Islam tidak harus lupa dan lalai daripada berzikir kepada Allah SWT. Tambahan pula amalan yang baik ini dianjurkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud :

“Wahai orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.” (S. Al-Ahzab: 41-42).

Merujuk kepada firman Allah SWT tersebut, dapatlah difahami bahawa zikrullah atau berzikir kepada Allah SWT membawa maksud mengingati Allah SWT. Ia termasuk menyebut nama-nama Allah dan memuji-muji segala sifat-Nya selain bersyukur kepada-Nya sama ada dengan hati, lidah mahupun seluruh anggota badan.

Di antara zikir yang mudah dan lazim kita amalkan ialah “Subhanallah” yang bermaksud Maha Suci Allah, “Alhamdulillah” yang bermaksud segala puji bagi Allah, dan “Allahu Akbar” yang bermaksud Allah Maha Besar.

Kalimat-kalimat zikir ini hendaklah diucapkan atau dilafazkan dengan tertib, difahami dan dihayati maksudnya agar meresap ke dalam jiwa sehingga memberi kesan yang mendalam.

Pun begitu, apa jua majlis atau aktiviti yang membawa kita mengingati serta menghayati keesaan, kekuasaan dan kebesaran Allah SWT seperti mempelajari ilmu agama juga terangkum dalam makna zikrullah atau mengingati allah. Ini bersandarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Apabila kamu melintasi taman syurga hendaklah kamu berhenti singgah. Maka bertanya sahabat: Apakah itu taman syurga? Jawab Rasulullah: Majlis zikir.” (HR at-Tirmizi).