Archive for 23 Mac 2015


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/34484-ijtimak-alami-dalam-kenangan-kolektif-kita

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 23 Mac 2015.

“Kita hanya merancang dan buat yang terbaik untuk program ini, selebihnya serah kepada Allah,” tukas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan lirih tetapi dengan senyuman khasnya.

“Ana yakin majlis kita akan mendapat sambutan, secara umumnya ahli-ahli mempunyai maklumat program ini, kita banyakkan doa, itu punca kekuatan,” getus Haji Husin Ismail, Pengarah Ijtimak Alami kali ketiga. Otai pimpinan pemuda ini tak pernah lelah untuk menyemangati panitia yang lain. Semuanya bekerja keras semenjak tiga bulan yang lepas.

Semenjak 23 tahun yang lepas, Ijtimak Alami kini kembali bertandang dan menjadi titik fokus para amilin jamaah. Paling tidak kami mengunjurkan ijtimak kali ini mestilah tiga kali ganda lebih baik daripada dua siri sebelumnya. Ijtimak ini paling tidak akan menjadi penegasan bahawa PAS adalah harakah Islam, bukan sekadar parti konvesional yang berpencak di medan demokrasi.

Menjelang ijtimak semua jawatan kuasa penganjur menjadi terlalu sibuk, Ustaz Rozman Awang menguruskan Masjid Rusila dan kawasan persekitaran yang akan menjadi lokasi ijtimak.

Masjid dicat indah nian termasuk bangunan Maahad Darul Quran, juga membina pintu gerbang yang cantik untuk mengalukan para tetamu yang kami sasarkan seramai 200,000 orang. Ustaz Wan Shukairi dan Ustaz Soud sibuk berkeliling negara untuk menjual lencana ijtimak, manakala saya dan tim promosi menggerakkan kempen mengerah para amilin untuk memadati perkampungan ijtimak di Rusila.

Tugas ini menjadi agak mudah dengan keberadaan generasi android yang memiliki gajet dan pencandu alam siber. Poster-poster ijtimak bergentayangan dengan begitu sekali meluas, kreatif dan menyihir anak-anak muda yang tidak menghadiri program sebegini.

Ustaz Mohd Cina, seorang pendakwah dan ahli perniagaan ialah bendahari ijtimak, guratan wajahnya agak tegang memikirkan kantung ijtimak untuk menggerakkan program paling besar dalam sejarah PAS ini. Tokoh muda ini sering kali merayu agar para asatizah untuk membantunya untuk mencari dana ijtimak kerana kos ijtimak dijangka mencecah RM1 juta.

Badan Perhubungan PAS Terengganu yang dipimpin oleh Pesuruhjayanya, Ustaz Saiful Bahri telah bergerak seupaya mungkin bagi menjayakan ijtimak, apatah lagi Terengganu adalah antara negeri kubu PAS di Malaysia semenjak ditubuhkan pada tahun 1956.

Terengganu telah dimenangi oleh PAS dalam Pilihan raya Umum 1959 dan 1999 serta setia menjadi kilang mencetak kader-kader jamaah melalui Rusila, Kubang Lembek, Tok Jiring. Negeri Tok ku Paloh ini juga telah melahirkan tokoh-tokoh pimpinan PAS seperti Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik, Almarhum Ustaz Harun Taib, Wan Abdul Muttalib Embong, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ustazah Fatimah Ibrahim dan lain-lain lagi. Sebahagian besar daripada empat ribu petugas ijtimak adalah terdiri daripada kalangan aktivis PAS Negeri Terengganu sendiri.

Menjelang ijtimak debaran kami semakin kencang namun terbuai indah sebagaimana kibaran bendera-bendera PAS dan juga bendera-bendera negara ummat Islam yang berkibar megah di sepanjang jalan utama Marang.

Namun akhirnya kami semua mengukir senyuman apabila melihat kehadiran begitu ramai peserta menjelang petang 19 Mac, pada malam pertama program ijtimak lebih 100,000 telah berhimpun di sekitar tapak program sehingga menimbulkan kesesakan jalan raya yang luar biasa.

Jumlah peserta ijtimak datang bersilih ganti di sepanjang tiga hari program di mana pihak urusetia menganggarkan 200,000 jumlah peserta yang hadir. Paling membanggakan ialah 70 peratus peserta ialah anak-anak muda dan setiap acara yang padat mendapat sambutan hangat. Tetamu-tetamu luar negara juga memberikan respons yang baik dan teruja dengan sambutan hangat yang mereka terima.

Anak-anak muda sebagai pewaris perjuangan Islam begitu sekali membuncah semangat mengikuti setiap detik emas program yang diatur seperti talaqi kitab, kuliah, pentas pidato, persembahan nasyid dan pelbagai segmen lain lagi yang diatur. Hebatnya jamaah Islam ini, ahlinya sangat pemurah dan dengan dedikasi tahap lima bintang. Sejumlah RM300,000  berjaya dihimpunkan di sepanjang  acara yang berjalan, termasuk sekeping foto ijtimak yang dibida dengan harga RM27,000.

Insyaallah, ijtimak alami akan menjadi salah satu produk besar gerakan Islam tertua tanah air ini, ramai khalayak yang mencadangkan supaya sela masa dibuat antara empat tahun sekali. Ijtimak alami telah melabuhkan tirainya dengan seribu kenangan indah yang akan terus terpahat dalam ingatan kolektif kita.

Semoga seluruh gerakan Islam mampu membina kekuatan dan jaringan terbaik bagi memenangkan agama Allah ini. Kita jumpa lagi empat tahun daripada sekarang dengan penganjuran yang lebih bergaya dan memancing dayasihir para abnaul harakah. – HARAKAHDAILY 23/3/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat yang juga Pengarah Promosi Ijtimak Alami kali ketiga.

IAPU1IAPU2IAPU3

Tarikh : 20-21 Mac 2015

Lokasi : Kuala Ibai, Terengganu

Alhamdulillah, pengalaman menghadiri persidangan ini di celah-celah perwakilan gerakan Islam antarabangsa membuatkan perasaan sendiri begitu teruja. Apatah lagi topik-topik berkenaan aqidah, dakwah, kesatuan ummat serta kebajikan kepada umat Islam minoriti, juga isu Palestin yang menjadi tema Ijtimak ini secara keseluruhan menjadikan ia sangat penting kepada masa depan Islam itu sendiri.

Penampilan wakil-wakil harakah Islamiah seluruh dunia, bercakap atas kepentingan Islam mewajarkan umat Islam terutama abna’ul harakah wajar bangkit untuk menyebarkan Islam dengan tasawwur Islam yang sebenar.

Kita mengetahui Islam dan penganutnya diserang kiri dan kanan, depan dan belakang oleh musuh dari dalam dan luar. Belum lagi dikira umat Islam yang jahil yang beramal dengan Islam secara salah yang memberi gambaran yang salah kepada non muslim tentang ajaran Islam sebenar.

****

Implikasi daripada perbincangan kolektif para perwakilan dalam Persidangan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah pada 20-21 Mac 2015 yang diwakili perwakilan 41 buah Negara. Maka dengan ini, kami mengisyitiharkan resolusi persidangan yang dinamakan sebagai Deklarasi Rusila 2015 seperti berikut:

Isu Palestin:

1. Perlunya sebuah struktur penyelarasan yang lebih berkesan dengan mewujudkan sebuah Pusat Penyelarasan Bantuan Palestin Global dan Pusat-Pusat Penyelarasan Bantuan Palestin di pelbagai wilayah yang sesuai dengan peranan utama iaitu:

a. Penyelarasan bantuan fizikal dan dana.

b. Penyelarasan pembangunan dan pendidikan semula Palestin.

c. Penyelarasan aktiviti pembangunan pendidikan rakyat Palestin.

2. Mencadangkan agar Pusat Penyelarasan Bantuan Palestin Global atau Global Coordination Center For Palestinian Aid(GCCPA) adalah ditempatkan di Turki.

3. Menyeru supaya Kesatuan Ulamak Sedunia memainkan peranan yang efektif sebagai wadah yang memayungi pusat-pusat penyelerasan tersebut dan melantik jawatankuasa Protem dariapada kalangan wakil-wakil gerakan Islam.

Kebajikan Muslim minoriti dan Jaringan sivil:

1. Gerakan Islam di seluruh dunia mengiktiraf badan gabungan NGO-NGO Kebajikan Gerakan Islam sebagai badan penyelaras di peringkat global di bawah Kesatuan Ulamak Sedunia.

2. Bersetuju agar skop utama badan penyelaras tersebut merangkumi pusat:

a. Penyelarasan bantuan.

b. Penyelarasan pengumpulan dan pengagihan dana.

c. Penyebaran maklumat.

d. Penyelarasan pembangunan masyarakat dari pelbagai aspek termasuk kebajikan, pendidikan, kemahiran, ekonomi dan lain-lain.

e. Latihan menanggani “bencana dan pemulihan”

3. Menyatakan kesatuan dan dokongan sepenuhnya dengan kejerihan umat Islam tertindas di Kashmir, Nepal dan Arakan. Ini termasuk hak pemberdayaan sendiri bagi rakyat Kashmir sebagaimana termaktub dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

4. Membangunakan pengkalan data bagi semua NGO Islam yang terlibat dalam aktiviti kebajikan dan lain-lain bagi masyarakat Muslim minoriti.

5. Membangunkan Peta Muslim sedunia yang terkini.

6. Menjadikan Malaysia sebagai sekretariat badan penyelaras.

Pengupayaan Dakwah di Negara Umat Islam

1. Membangunkan Pusat Pembangunan Insan (Human Development Centers) di bawah Kesatuan Ulamak Islam Sedunia bagi mengambil tanggungjawab berikut:

i. Melatih aktivis dakwah dengan ilmu dan kemahiran yang komprehensif dan menyeluruh.

ii. Menjadi pusat penyebaran pemahaman Islam yang sebenar dan sekaligus membentuk imej Islam yang positif.

iii. Pusat penyelarasan maklumat aktiviti dakwah antarabangsa.

2. Mewujudkan Pusat Pembangunan Insan serantau di Afrika Tengah, Asia Selatan, Timur jauh, Asia Tengah dan Balkan.

3. Membangunkan platform bagi jaringan aktiviti dakwah global dalam bentuk sebuah persidangan dakwah antarabangsa.

4. Menjadikan Malaysia sebagai sektetariat Pembangunan Insan Islam Global.

Persidangan IAPU3 (1) Persidangan IAPU3 (2) Persidangan IAPU3 (3) Persidangan IAPU3 (4) Persidangan IAPU3 (5) Persidangan IAPU3 (6) Persidangan IAPU3 (7) Persidangan IAPU3 (8) Persidangan IAPU3 (9) Persidangan IAPU3 (10) Persidangan IAPU3 (11) Persidangan IAPU3 (12) Persidangan IAPU3 (13) Persidangan IAPU3 (14) Persidangan IAPU3 (14) Persidangan IAPU3 (15) Persidangan IAPU3 (16) Persidangan IAPU3 (17) Persidangan IAPU3 (18) Persidangan IAPU3 (19) Persidangan IAPU3 (20) Persidangan IAPU3 (21) Persidangan IAPU3 (22) Persidangan IAPU3 (23) Persidangan IAPU3 (24) Persidangan IAPU3 (25) Persidangan IAPU3 (26) Persidangan IAPU3 (27) Persidangan IAPU3 (28) Persidangan IAPU3 (29)

%d bloggers like this: