Sumber : Web JHEAINS

Al-Quran sebagai rahmat, firman Allah SWT bermaksud : “Dan Kami (Allah) turunkan dengan beransur-ansur dari Al Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua”. (Surah AlIsraa’, ayat 82)

Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menghuraikan maksud ayat tentang Al Quran itu menjadi ubat penawar dan rahmat kepada manusia: “Al-Quranul-Karim menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman, kerana merekalah sahaja yang percaya kepadanya dan mematuhi ajaran-ajarannya.

Al Quran menjadi ubat penawar bagi penyakit-penyakit rohani, seperti i’tiqad-i’tiqad kepercayaan yang sesat dan akhlak yang buruk. Ia juga menjadi ubat penawar bagi penyakit-penyakit jasmani kerana dengan berkat membacanya dapat menyembuhkan banyak penyakit, dengan syarat kita yakin dengan sepenuhnya serta mematuhi perintah-perintah Allah Ta’ala dan menjauhi larangan-Nya.

Banyak Hadith-hadith Nabi SAW yang menerangkan hakikat ini yang membuktikan bahawa Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya telah mengamalkannya. Sebaliknya Al Quran makin menambahkan lagi kerugian dan membawa kebinasaan kepada orang yang ingkar, kerana tiap-tiap kali turun firman Allah Ta’ala yang menyuruh atau melarang, maka mereka terus mengingkarinya”.

Ingatlah, bahawa apabila umat Islam menjadikan Al Quran sebagai penawar dan rahmat dalam setiap sistem kehidupan ini, nescaya kehidupan dan apa jua sistem yang dibangunkan dengan asas dan panduan Al Quran pasti kejayaan dan barakahlah yang akan dikecapi oleh umat Islam. Firman Allah SWT  yang bermaksud :

Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami (Allah) akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab siksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (Surah Al-A’raaf, ayat 96)