Archive for 17 Mac 2015


Baru beberapa kali menghadiri kuliah pagi jumaat di Medan Ilmu, Jalan Tok Pati Kota Bharu Kelantan ini. Walaupun saya hanya baru beberapa kali hadir di lokasi, sebenarnya saya sering menonton kuliah pagi jumaat ini sama ada secara langsung dan kebanyakannya melalui rakaman youtube.

Jika dulu kadang-kadang ada kelibat Tok Guru Nik Abdul Aziz akan menyampaikan kuliah terutamanya sesi kedua, kali ini ulamak bertubuh kecil itu tidak akan hadir lagi. Kini, Menteri Besar YAB Ustaz Dato’ Ahmad Yakob mengisi salah satu slot kuliah walaupun tidak setiap minggu, bergilir-gilir dengan pimpinan yang lain.

Saya suka melihat rakyat Kelantan duduk melimpah memenuhi jalanraya saban minggu mendengar dan menghayati kuliah para ulamak mereka. Tidak kira muslimin dan muslimat, remaja dan orang dewasa turut duduk bersama-sama dalam dua slot ilmu, antara jam 8.30-9.30 dan 9.30 hingga 10.30 pagi.

Alhamdulillah, rakyat Kelantan membangun bersama Islam.

Kuliah Pagi Jumaat (1) Kuliah Pagi Jumaat (2) Kuliah Pagi Jumaat (3) Kuliah Pagi Jumaat (4) Kuliah Pagi Jumaat (5) Kuliah Pagi Jumaat (6) Kuliah Pagi Jumaat (7) Kuliah Pagi Jumaat (8) Kuliah Pagi Jumaat (9)

Sumber : Web JHEAINS

Tarikh : 13 Mac 2015

Dalam Hadithnya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW menegaskan bahawa al-Quran yang dibaca ketika hidup di dunia akan menjadi syafaat/penolong pada hari Kiamat nanti.

Sebab itu, kita sangat dianjurkan supaya banyak membaca Kitab Suci berkenaan sambil berusaha memahami dan mengamalkan segala ajaran yang terkandung di dalamnya supaya beroleh berbagai manfaat dan kelebihan sekali gus berhasil mentransformasi diri menjadi Muslim sejati.

Ini bertepatan dengan kedudukan Kitab Suci al-Quran sebagai sumber pelbagai bidang ilmu pengetahuan dunia dan akhirat hatta merupakan rahmat bagi seluruh manusia. Al-Quran dikatakan sebagai rahmat bagi penduduk alam ini kerana selain daripada menjadi petunjuk dan pembeza antara yang benar dengan yang batil, ia juga adalah penawar berbagai penyakit rohani dan jasmani. Allah SWT menjelaskan perkara ini melalui firman-Nya yang bermaksud :

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang yang beriman.” (S. Yunus: 57).

Jika mahu menjadi Muslim yang beriman, bertaqwa, berilmu, berakhlak dan cemerlang dunia akhirat, maka umat Islam hari ini tidak harus terhenti setakat tahu membaca al-Quran sahaja. Umat Islam hari ini terutama sekali generasi muda hendaklah berusaha mentransformasi atau mengubah diri menjadi “cakna al-Quran”, yakni generasi yang mengambil tahu dan mengambil berat tentang al-Quran.

Sifat serta sikap suka mengambil tahu dan mengambil berat tentang al-Quran akan merangsang budaya tadabbur atau penyelidikan dan pengembangan ke atas kandungan kitab suci al-Quran. Kegiatan penyelidikan dan pengembangan atau R&D terhadap ayat-ayat al-Quran membolehkan kita mengetahui lebih lanjut rahsia serta ilmu pengetahuan yang dimuatkan Allah SWT di dalamnya sekali gus memanfaatkannya untuk mensejahterakaan kehidupan manusia di muka bumi ini secara fitrah.

Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawa selagi umatnya berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah Baginda, maka selagi itulah kita tidak akan sesat. Sehubungan itu, marilah kita sahut seruan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup dengan menjadikan membaca, memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran sebagai sebahagian daripada rencah kehidupan kita.

Sesungguhnya tiada kebahagiaan hidup di dunia yang sementara ini kecuali sentiasa membaca dan menghayati al-Quran kerana ia meletakkan diri kita seolah-olah berhadapan dengan Allah SWT dan mendengar bimbingan serta perintah-Nya secara langsung. Justeru, galakkan ahli keluarga masing-masing untuk mengikuti kelas-kelas pengajian al-Quran dan menjadikan amalan membacanya sebagai rutin kehidupan.

Tindakan mulia seumpamanya bukan sahaja berpahala, tetapi juga merupakan satu langkah memastikan naskah-naskah al-Quran yang dimiliki tidak terbiar suci dalam debu menghiasi rak atau almari buku di rumah masing-masing.

%d bloggers like this: