Archive for 10 Mac 2015


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/34194-hukum-niat-bayar-zakat-elak-cukai

UST HAMIZUL ABDUL HAMID | 06 Mac 2015.

Adakah salah andai saya meniatkan zakat pada akhir tahun ini untuk mendapatkan faedah dunia yang lain, misalnya memperoleh rebat ke atas cukai pendapatan, mendapat hadiah atau cenderamata pembayaran daripada pihak institusi zakat dan sebagainya lagi?

Terima kasih kerana mengemukakan persoalan di atas. Tidak dapat dinafikan bahawa, sememangnya pada setiap tahun ada dua bulan yang menjadi ‘bulan puncak’ dalam kutipan zakat, iaitu pada bulan Ramadan dan juga bulan Disember. Bulan Ramadan menjadi pilihan para pembayar zakat, justeru ramai orang ingin merebut pelbagai kelebihan dan ganjaran pahala yang telah disediakan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang bersedekah dan berzakat pada bulan Ramadan.

Manakala, bulan Disember pula menjadi rebutan pembayar zakat kerana ia adalah waktu yang sesuai bagi menunaikan zakat dan memperoleh rebat atau pelarasan ke atas cukai pendapatan seseorang. Hal ini kerana, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hanya menerima pembayaran zakat yang dilakukan pada tahun semasa untuk rebat cukai pendapatan pada tahun berkenaan. Seandainya seseorang terlewat menunaikan zakatnya sehingga masuk tahun hadapan (katakanlah 1 Januari 2012), maka ia sudah tidak boleh direbatkan lagi ke atas cukai pendapatan bagi tahun 2011.

Petikan Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3): “Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib (zakat) dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu.”

Dalam hal niat pula, sudah semestinya seseorang itu mestilah menjaga niat asalnya dalam berzakat hanya semata-mata sebagai memenuhi ibadah wajib lagi fardu kepada Allah SWT. Apabila seseorang melakukan ibadah tetapi demi maksud atau atas niat yang lain daripada Allah SWT, hakikatnya dia telah meletakkan sesuatu yang lain lebih besar daripada Allah SWT. Sedangkan, perbuatan itu adalah ibadah. Hal ini pastilah menyalahi perintah agama.

Di dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari daripada amirul mukminin Saiyidina Umar al-Khattab r.a, Nabi Muhammad SAW pernah menegaskan: “Sesungguhnya setiap amal perbuatan tergantung pada niat; dan setiap orang akan mendapat sesuai dengan apa yang dia niatkan.”

Oleh itu, seandainya seseorang membayar zakat demi mendapatkan rebat cukainya semata-mata, maka hanya itu sahajalah dia akan memperolehnya. Sedangkan, sepatutnya dia juga turut memperoleh pahala yang bakal dibalas syurga di akhirat kelak. Inilah mafhum kepada hadis di atas.

Namun begitu, fuqaha memang ada membicarakan perihal niat dalam beramal. Di sisi Imam al-Ghazali, beliau menyatakan: “Jika seseorang melakukan amalan dan jika niat atau tujuan keduniaannya lebih menonjol, maka rosaklah pahala amal itu. Jika niatnya jelas untuk ibadah (ikhlas), maka amal itu diterima. Jika bercampur niat keduniaan dan niat ibadah dalam sesuatu amal, maka ia tidak memperoleh pahala.”

Manakala pada sisi Imam Abu Ja’afar at-Tobari pula: “Ia dilihat kepada permulaan ibadahnya atau amalnya. Jika pada permulaan amal ia niatkan ikhlas kerana Allah, maka amal itu tidak dirosakkan dengan percampuran niat selepas itu kerana niat dilihat pada permulaannya.” (Rujuk: Fath al-Bari, cetakan al-Ahram Mesir, tahqiq Syeikh Sayyid Saqr Jilid 2/16)

Oleh itu, kita dapat menyimpulkan bahawa, sesuatu amalan itu hendaklah dilakukan dengan niat hanya semata-mata kepada Allah, khususnya pada awal perbuatannya. Kemudian, jika ada niat sampingan yang lain – misalnya mendapat hadiah atau rebat cukai – maka ia hendaklah dikemudiankan. Berdasarkan pandangan ulama, ia tidak akan merosakkan amalan tersebut, melainkan jika seseorang itu lebih mengutamakan niat sampingan berbanding niat ibadah kepada Allah SWT.

Hal ini disamakan seperti seseorang yang mengamalkan puasa sunnah dan dalam masa yang sama, mereka berniat atau berhajat untuk mendapatkan kesihatan yang baik dan dapat menurunkan berat badannya. Maka, selagi mana orang berkenaan mendahulukan Allah SWT, insya-Allah dia akan mendapat pahala di samping beroleh faedah dunia, yakni kesihatan yang baik dan badan yang ramping.

Walau bagaimanapun, hendaklah difahami bahawa di sisi agama Islam, zakat adalah amalan yang dikategorikan sebagai hukum taklifi. Ia adalah fardu dan wajib. Amalan fardu lagi wajib ini, pengertiannya menurut syariah, apabila menunaikannya mendapat pahala dan jika meninggalkannya mendapat dosa.

Maka, sesiapa sahaja yang menunaikan zakat, sama ada atas niat mahu mendapatkan rebat cukai atau apa-apa sahaja, hakikatnya dia masih tertakluk kepada hukum asal zakat – yakni berpahala mengerjakannya dan berdosa meninggalkannya. Namun, sama ada benar-benar mendapat pahala atau tidak, ia adalah urusan Allah SWT. Apa yang penting, jika ibadah zakat ditunaikan berbetulan dengan syarat dan rukunnya, ia tetap sah dan mudah-mudahan ia berpahala.

Oleh itu, adalah lebih molek sekiranya kita mengikhlaskan niatnya semata-mata kerana Allah. Sama ada terpaksa atau rela, ia adalah kewajipan kita. Maka, menunaikannya dengan niat sepenuh hati mentaati hukum dan perintah Allah SWT adalah lebih baik dan dipandang terpuji lagi mulia di sisi Allah SWT.

Seorang fuqaha pernah mengungkapkan: “Tiada siapa yang boleh memberitahuku sama ada semua amalan itu diterima pada timbangan amalanku, dan adakah ia diterima di sisi Tuhanku? Allah telah berfirman (yang bermaksud): “Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang yang bertaqwa.” (Al-Maidah:27)

Kesimpulannya, utamakan berzakat kerana mentaati perintah Allah, kemudian rebutlah segala manfaat sampingan yang ditawarkan. Insya-Allah, kita akan beroleh pahala dan amalan itu sah di sisi Allah SWT. Wallahua’lam. – http://www.hamizul.com/

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/34185-konon-nak-jaga-kawan-sampai-lupa-nak-jaga-islam

NASRUDIN HASSAN | 06 Mac 2015.

DUNIA Islam alami pelbagai zaman. Bermula zaman perang kabilah, perang antara negara, perang dunia, perang ekonomi, perang pemikiran, perang budaya dan kini perang siber.

Semuanya membawa satu matlamat iaitu memadam cahaya Agama Allah SWT dengan kelicikan strategi dan helah mereka seperti divide and rule, character assassination dan lainnya. Ini adalah suatu yang telah disahkan oleh Allah SWT:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). (Surah As-Saff: 8)

Hari ini jelas kelihatan samseng-samseng cyber dan keyboard trouble memenuhi segenap jalur dalam jaringan jalur lebar untuk menyebar virus fitnah, racun pembunuh karektor, melagakan pimpinan gerakan Islam, menghina alim ulamak, mempersenda syariat dan merosakkan maruah serta imej perjuangan Islam. Kerancakan serangan mereka makin menjadi-jadi di era post Islamisme ini.

Pejuang Islam kena alert perkara ini. Kena sedar perancangan musuh dan sepak terajang mereka yang mahu merosakkan Islam. Kena ada tindakan positif dan efektif dari para pejuang Islam untuk protect jamaah Islam ini dari serangan virus tersebut. Kalau bukan pejuang Islam menjadi firewallnya maka siapa lagi?

Ingat pesan Saidina Umar al Khattab rha. (Athar ini disebut oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiah dalam Minhajus Sunnah.)

إنما تُنْقضُ عرى الإسلام عروةً عروةً إذا نشأ في الإسلام مَن لم يعرفِ الجاهلية

“Akan terungkai ikatan Islam itu serungkai demi serungkai dari ummat Islam apabila merata dalam Islam ini mereka yang tidak mengenali (dan memahami) sepak terajang jahiliyah (musuh).”

Justeru itu, sifat pejuang Islam ialah responsif secara positif dan efektif dengan bangkit pertahankan Islam, pertahankan alim ulama yang memperjuangkan Islam dan membawa suara Islam meskipun berdepan dengan 1001 halangan. Jangan playsafe. Sampai bila nak diam?

Saya terbaca dalam kitab yang berjudul Imam Ahmad ibn Hanbal: Baina Mehnatiddin wa Mehnatiddunya dimuatkan pesan Imam Ahmad ibn Hanbal rhm.

إذا سكت العالم تقية و الجاهل يجهل فمتى يظهر الحق

“Apabila diamlah orang yang mengetahui kerana taqiyah ( playsafe ) sedang orang yang tidak mengetahui terus dalam keadaan tidak mengetahui (jahil) maka bilakah kebenaran itu akan zahir?”

Lebih malang jika sikap tidak berpihak ini terbawa-bawa sampai ke peringkat “makan keliling”. Bertemu dengan kita, mereka berkata kami bersama kamu, jangan bimbang!

Namun apabila mereka bersama syaitan-syaitan mereka, mereka berkata “kita serupa, di sana tadi kami hanya berolok-olok”. Sifat ini adalah percikan dari sifat munafik yang tidak wajar kita biarkan.

Lihat bagaimana karektor munafiq dalam firman Allah SWT:

وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ

Maksudnya: Dan apabila mereka (munafiq) bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Kami telah beriman, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: “Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)”. (Surah Al Baqarah: 14)

Jangan sampai sifat munafik terpercik kepada kita. Hindarinya sejauh yang boleh. Sikap suka makan keliling ini adalah keji. Kononnya nak jaga kawan sampai lupa nak jaga Islam. Gejala ini berleluasa dan akhirnya menjadi fitnah kepada Islam. Lihat sahaja bagaimana aksi mereka.

Mereka serang Islam dan alim ulama bagai nak rak, tetiba kita pula masih berada dalam zon “sangka baik”, zon playsafe, tidak mahu berpihak, kononnya kita mahu bersikap waraK sedang mereka tidak pernah bersimpati sebaliknya terus menyerang tanpa henti.

Cyber trooper mereka membelasah dan mengganyang Islam dan para alim ulamanya tanpa wisel pelerai. Di mana kamu wahai pejuang? Pilihlah kebenaran dan berpihaklah ke arah kebenaran. – HARAKAHDAILY 6/3/2015

Penulis ialah Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Dakwah PAS Pusat.

%d bloggers like this: