Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/34150-isis-is-merosakkan-citra-islam

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 04 Mac 2015.

HARI ini kita berhadapan dengan serangan pemikiran sekular pragmatis yang sangat ganas menerjah aqidah umat Islam dan usaha musuh Islam secara tersusun membidak catur dunia dengan tujuan meletakkan Islam di kandang orang salah.

Hegemoni Amerika atau kuasa unipopular ini sedang ghairah membidik sasaran, menumpahkan darah umat Islam dengan cara keji, mengganggu sistem pengajian Islam dan mewujudkan konflik mazhab seperti yang berlaku di Iraq.

Di negara-negara umat Islam pula serangan pemikiran seperti Islam Liberal, Pluralisme Agama, hedonisme, budaya popular yang ekstrem sedang membarah. Penyakit ini sedang memamah dan membaham umat Islam sehingga melahirkan spesis manusia yang hilang kepedulian, sosial, hilang jatidiri muslim malah menjadi musuh untuk menghancurkan Islam.

Dalam masa yang sama citra dan wajah kesejahteraan Islam cuba dirosakkan dengan wajah bengis kumpulan Islam yang kononnya sedang berjihad. CIA dan Mossad sangat pakar dalam projek rekayasa mereka untuk mewajahkan Islam dengan potret begini.

Isu Kumpulan Militan Islam (ISIS) di Syria dan Iraq sehari dua ini menjadi fokus penting dalam media arus perdana dalam dan luar negara, seolah-olah ada perancangan jahat untuk meletakkan Islam di kandang orang salah.

Media milik Yahudi seolah mendapat lauk baru yang lazat untuk menyisihkan Islam yang kini sedang berkembang pesat di Eropah dan negara-negara bekas komunis.

Regim negara ini pula terus menghangatkan isu ini, lebih lagi kerana ada pembabitan rakyat Malaysia dalam IS serta berjuang di Syria, malah berjuang dengan pelbagai kumpulan jihad di sana.

Kelihatan secara licik untuk mengaitkan PAS dengan kumpulan jihadist ini untuk tujuan politik regim negara ini, sekaligus menghambat pengaruh PAS daripada bukan Islam secara tidak lansung, sebagaimana isu “al-maunah” diawal milinea baru.

PAS secara tegasnya memberi pendirian bahawa tidak terlibat dengan gerakan IS, tidak bersetuju dengan kaedah IS serta melarang keras ahli-ahlinya menyertai IS. IS tidak diikitraf sebagai kumpulan jihad yang betul sebagai kenyataan Majlis Kesatuan Ulama Islam Sedunia, juga Majlis Haiah Ulama Syria, bahkan oleh imam Masjidil Haram yang tersohor, Sheikh Dr Abdul Rahmaan Sudais. Agamawan bersepakat kaedah mereka salah dan menimbulkan salahfaham terhadap Islam, bukan bermakna menolak tuntutan jihad dalam Islam.

PAS konsisten dengan pendekatan muwajahah silmiyyah atau pendekatan perjuangan secara aman di negara ini, usaha memenangkan PAS yang membawa nuansa Islam terus digerakkan dengan sabar, sistematik untuk menebarkan pengaruh supaya masyarakat memilih Islam sebagai manhaj kehidupan. Begitu juga dengan gerakan Islam yang lain di seluruh dunia, bergerak dimedan operasi masyarakat dengan sabar, berdakwah di medan siasah sehingga kemenangan akan diraih.

Seharusnya masyarakat faham erti jihad dan perjuangan sebenar. Jihad dan perjuangan Islam amat luas pengertiannya. Berdakwah kepada masyarakat yang jahil adalah jihad, berjuang menegakkan syariat Islam dalam ruang konteks demokrasi melalui pilihan raya melalui parti politik adalah jihad, bercakap benar di hadapan pemimpin yang zalim juga adalah jihad, belajar ilmu pengetahuan dan menyampaikan ilmu juga adalah jihad.

Islam membela ummah yang tertindas, konflik Syria telah menyaksikan antara pasukan bersenjata menghalakan senjata di antara satu sama lain dan ini pernah dibimbangi oleh ar-Rasul SAW. Dengan latarbelakang yang sangat rencam, tidak mudah untuk membuat analisa tentang apa yang sedang melanda Syria.

Jalur FSA, Jabhah an nusrah, ajnad as Syam, ahrar Syam mahu pun ISIS atau kelompok mujahidin yang lain, konflik berdarah untuk melunsurkan regim Bashar kelihatan semakin menumpahkan darah sesama Islam, bahkan dalam kelompok para pejuang. Campurtangan asing dengan agenda tertentu apatah lagi dengan kedudukan geopolitik Syria yang sangat penting di Asia Barat. Yang peliknya, mengapa media antarabangsa begitu mensensasikan IS (ISIS), pasti ada agenda tersembunyi dan makar yang sangat jahat.

PAS konsisten dengan manhaj Islam yang diajar oleh ar-rasul SAW, mengajak manusia dengan sarat hikmah, memanfaatkan ruang demokratik yang ada untuk membentuk euforia Islam seterusnya memerintah dengan keadilan Islam., Islam adalah agama perdamaian, bukan kekerasan. Jika berperang pun, penuh dengan etika dan disiplin peperangan sebagaimana yang diajar oleh ar Rasul SAW.

Islam agama lemah lembut, toleransi, keamanan, sejahtera, dan selamat. Islam menentang keras keganasan apatah lagi dilakukan terhadap orang awam, kanak-kanak, wanita, warga emas serta rumah ibadat agama lain. Justeru tidak boleh diterima pendekatan membakar tawanan, membunuh orang awam, tawanan, wartawan, merogol para wanita, memaksa bukan Islam mengucap syahadah serta memperhambakan manusia.

Persepsi yang cuba ditanam mengenai IS tidak lain adalah gambaran negatif yang cuba dipotretkan ke atas pejuang dan perjuangan Islam. Malah cubaan jahat media musuh bahawa PAS menyokong kelompok ini adalah sangat jahat dan bersifat sensasi.

Media musuh mahu Islam dilihat sebagai ganas, kejam, jahat, tidak peri kemanusiaan, kasar, dan usaha menyuntik jarum Islamophobia ke dalam masyarakat sebagaimana tragedi yang berlaku pada 11 September 2001 yang lalu.

Hasrat musuh Islam adalah menjarakkan masyarakat bukan Islam daripada Islam, serta membina suatu halangan dakwah bagi Islam kepada masyarakat bukan beragama Islam. Mereka bimbang dengan angka pertambahan baru umat Islam dalam keadaan gereja yang semakin lesu, perdebatan inter religius yang sangat memihak kepada Islam.

PAS seupaya mungkin cuba merobohkan tembok kaca ini dengan terus berdakwah, bahkan melakukan pemuafakatan politik dengan bukan Islam dengan kaedah damai. PAS meneroka ruang untuk memberi penjelasan tentang tirai berlapis yang cuba diselewengkan selama ini tentang ajaran Islam yang komprehensif, rasional dan bersifat sejagat.

Umat Islam dan bukan Islam sewajarnya mendapat maklumat yang murni tentang Agama fitrah ini, menyintai wacana yang sihat, mengunjungi majlis ilmu serta mendapat pandangan Islam yang sebenar daripada ulama yang berwibawa ilmunya.

Menolak IS atau ISIS, bukan bermakna kita tidak prihatin dengan saudara aqidah kita di Syria, bantulah tiga juta pelarian perang di sempadan Syria Jordan atau Syria Turki. Mereka sangat memerlukan bantuan dan huluran tangan kasih sayang kita di sini. Pelbagai NGO sedang menggerakkan bantuan disana dan kita semua wajib terpanggil dan bertanggungjawab membantu seupaya mungkin.

HARAKAHDAILY 4/3/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat dan Timbalan Pengerusi Lujnah Dakwah.