Sumber : Web JHEAINS

Memang benar peringatan Rasulullah SAW bahawa manusia tidak akan pernah merasa puas dengan harta yang dimiliki. Jika dia memiliki satu lembah harta, maka pasti dia menginginkan satu lembah harta lagi. Dan keinginan manusia itu akan hanya terhenti apabila dia meninggal dunia dan dikuburkan.

Buktinya, manusia di akhir zaman ini berlumba-lumba memburu harta sehingga tergamak menghalalkan segala cara bagi mencapai matlamatnya. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya daripada Abu Hurairah RA, katanya, Rasulullah SAW telah bersabda (bermaksud) :

“Akan datang satu zaman seseorang tidak mempedulikan dari mana ia mendapat harta, apakah dari sumber yang halal ataupun yang haram.” (HR anNasai)

Kita sebagai pengguna harus mengetahui hak dan peranan kita bagi membela kebajikan kita sekali gus mengelakkan diri daripada menjadi mangsa segelintir peniaga yang lintah darat. Dan, pada prinsipnya, kita mempunyai tiga hak yang asasi sebagai pengguna.

Pertama, hak untuk membeli barangan atau perkhidmatan yang diingini. Sesiapa pun tidak boleh memaksa kita dalam urusan membeli atau menggunakan perkhidmatan tertentu.

Kedua, hak untuk memilih barangan atau perkhidmatan yang diingini. Maknanya, kuasa memilih barangan atau perkhidmatan yang hendak dibeli terletak sepenuhnya kepada pengguna.

Ketiga, hak untuk memulaukan atau memboikot mana-mana barangan atau perkhidmatan di pasaran selain peniaga atau premis perniagaan. Memboikot adalah antara cara berkesan menghantar mesej yang jelas kepada para pengusaha dan peniaga supaya tidak sewenang-wenang menindas atau menganiaya pengguna.