Sumber : Web JAKIM

Sebagai umat Islam yang beriman kita wajib percaya bahawa Allah SWT menentukan segalanya. Dalam menjalani kehidupan kita sebagai hamba Allah hanya mampu merancang, akan tetapi segala perancangan kita itu yang menentukan ialah Allah SWT atau dengan kata lain takdir mengatasi tadbir dan meyakininya termasuk di dalam salah satu daripada rukun Iman.

Yakinlah bahawa sesuatu perkara yang telah berlaku, atau yang sedang berlaku, atau yang akan berlaku, kesemuanya adalah tertakluk di bawah takdir Allah SWT. Justeru, apa sahaja yang terjadi di alam semesta ini, semuanya berlaku dengan ilmu dan iradat Allah yang telah direncanakan oleh-Nya sejak azali mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebagaimana Firman-Nya di dalam surah al-Furqan ayat 2:

Maksudnya: “Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi, dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahan-Nya; dan Dialah yang mencipta segala sesuatu lalu menentukan keadaannya dengan ketentuan takdir yang sempurna.

Ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT menentukan segalanya apa yang ada di langit dan bumi, justeru sebagai seorang yang beriman, maka kita hendaklah menerima segala takdir Allah SWT dengan penuh rasa keinsafan dengan merasakan bahawa betapa lemah dan kerdilnya diri kita di sisi Allah SWT.

Oleh sebab itu setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan kita ini ada terkandung ribuan hikmah yang sememangnya menguji tahap keimanan kita sebagai seorang hamba. Firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabut ayat 3:

Maksudnya: Bahkan patutkah orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas dari azab Kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu.

Imam Ibnu Katsir RA. menjelaskan dalam kitab  tafsirnya: “Agar dibezakan orang yang benar dalam pengakuannya dari orang yang dusta dalam ucapan dan pengakuannya. Sedangkan Allah SWT Maha Mengetahui apa yang telah terjadi, yang sedang terjadi, dan yang akan terjadi. Allah juga mengetahui cara terjadi sesuatu bila hal itu terjadi. Hal ini adalah ijma’ para imam Ahlus Sunnah wal Jamaah.