Tarikh : 18 Januari 2015

Lokasi : Kg Tibaw Kalabakan

Satu pertemuan yang menarik dalam permusafiran kami dari Tawau menuju ke Kota Kinabalu. Hampir jam 3 petang kami meninggalkan bandar Tawau dengan konvoi 5 buah kenderaan yang berjalan serentak. Sebelum kami ada lagi sebuah van yang bertolak lebih awal dan sebuah kenderaan lagi tertinggal di belakang.

Sekitar jam 5.30 petang kami melimpasi hutan dara Maliau Basin yang terkenal itu. Selepas 10 minit dari simpang Maliau Basin, kami berehat seketika di sebuah kedai makan yang bernama ‘Baru Jumpa’, yang terletak hanya di tepi jalan yang sunyi.

Pemilik kedai ini bernama Encik Sunario bin Sugidin, berasal dari Kg Jawa Tawau sementara isterinya Puan Rosleha Mohd Salleh berasal dari Kg Sembulan Lama. Kedai makan mereka di tapak ini sudah berusia 7 tahun dan sebelum ini tapak niaga mereka di lokasi berbeza tidak jauh dari sini sudah 18 tahun.

Dalam sembang kami, beliau menyuarakan hasrat untuk mendirikan sebuah bangunan surau di tapak bersebelahan kedai ini. Encik Sunario menunjukkan kepada kami tapak tersebut dan kami menyokong penuh usaha ini, memandangkan ia mula menjadi laluan penting Kota Kinabalu-Keningau-Kalabakan-Tawau yang lebih singkat berbanding Kota Kinabalu-Ranau-Sandakan-Tawau.

Selain itu, sepanjang laluan sunyi ini tiada langsung surau atau masjid melainkan di Pensiangan yang masih jauh, sementara untuk ke Keningau jaraknya lebih 100km dari sini. Sementara bangunan surau belum ada, Encik Sunario ada menyediakan bilik surau kecil untuk solat di premis kedai mereka.

Kami berpendapat usaha mendirikan surau mesti disokong dan didukung oleh seluruh umat Islam bagi memudahkan ahli musafir. Hanya menurut Encik Sunario tanah tersebut masih di bawah kuasa Jabatan Perhutanan. Mudah-mudahan ada pihak yang membantu memudahkan urusan ini.

Saya nyatakan kepada Encik Sunario, apabila urusan kebenaran mendirikan surau diperolehi, kami sedia membantu mencarikan dana dari pelbagai pihak seterusnya proses pembinaan nanti. Semoga sinar Islam bakal bersinar di tengah hutan Jalan Kalabakan-Maliau Basin ini suatu hari nanti.

Kedai Baru Jumpa (1) Kedai Baru Jumpa (2) Kedai Baru Jumpa (3) Kedai Baru Jumpa (4) Kedai Baru Jumpa (5) Kedai Baru Jumpa (6) Kedai Baru Jumpa (7) Kedai Baru Jumpa (8) Kedai Baru Jumpa (9) Kedai Baru Jumpa (10) Kedai Baru Jumpa (11) Kedai Baru Jumpa (12)