Sumber : Web JHEAINS

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah Al-Hujuraat, ayat 13)

Gempa, banjir, ribut, hujan lebat dan sebagainya adalah antara musibah dan bala’ bencana yang didatangkan oleh Allah SWT untuk menguji serta mengingatkan manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Alif Laam Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan). Dan demi sesungguhnya! Kami (Allah) telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta”. (Surah Al-Ankabut, ayat 1-3)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya besarnya ganjaran (pahala) bersamaan dengan besarnya ujian (bala’). Sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, Dia menurunkan ujian (bala’). Maka sesiapa yang redha maka dia mendapat keredhaan (Allah) dan sesiapa yang marah maka dia mendapat kemurkaan (Allah)”. (HR Imam At-Tirmizi)

Dalam kesusahan dan kesukaran itu ada bersamanya kesenangan dan kemudahan yang dijanjikan oleh Allah SWT, sebagaimana firman-Nya di dalam Al Quran yang bermaksud :

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan), bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan”. (Surah Al-Insyiraah, ayat 5-6)

Musibah atau bala’ bencana yang menimpa itu, sebenarnya berlakunya juga dengan kehendak serta izin Allah SWT, sebagaimana firman Allah SWT lagi yang bermaksud :

“Tidak ada kesusahan (atau bala’ bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kamu kepada Rasulullah, maka kalau kamu berpaling (enggan taat, kamulah yang akan menderita balasannya yang buruk), kerana sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata”. (Surah At-Taghaabun, ayat 11-12)

Antara hikmah kenapa berlakunya bala’ bencana itu, ialah untuk menghapuskan dosa-dosa yang telah kita lakukan, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Tidaklah sesuatu menimpa seorang daripada kelemahan, wabak, kebingungan, kesedihan, sakit dan kesusahan sehinggalah kepada duri yang menusuk, melainkan Allah menghapuskan dengan (semua itu) dosa kesalahannya”. (HR Imam Al-Bukhari)