Archive for 16 Januari 2015


Tarikh : 16 Januari 2015

Sumber : Web JHEAINS

Sesungguhnya perasaan atau fenomena masa terlalu singkat dan cepat berlalu pergi ini merupakan antara tanda hampir berlakunya kiamat. Ini berdasarkan kepada Hadith dari Anas bin Malik RA berkata, Rasulullah SAW bersabda :

“Tidak akan terjadi kiamat sehingga masa menjadi singkat. Maka setahun dirasakan seperti sebulan, dan sebulan dirasakan seperti seminggu, dan seminggu dirasakan seperti sehari, dan sehari dirasakan seperti satu jam, dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api.” (HR At-Tirmidzi).

Sehubungan dengan sabda Rasulullah SAW ini, Imam al-Karmani menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan singkatnya masa ialah dicabutnya keberkatan daripada waktu yang kita tempuhi. Ini kerana dahulunya dalam sehari kita merasa banyak perkara yang dapat dilakukan, tetapi di zaman mutakhir ini dalam sehari yang sama, hanya sedikit perkara yang dapat kita lakukan dan selesaikan.

Punca kita merasa masa semakin singkat ialah kita disibukkan dengan aktiviti-aktiviti sampingan lainnya seperti berhibur, bersukan, melepak, membeli-belah dan sebagainya sehingga kesuntukan waktu untuk mengabdi diri kepada Allah SWT dan berbakti kepada sesama manusia.

Dalam erti kata yang lain, kita seolah-olah diburu masa tetapi sedikit perkara yang dapat kita laksanakan dan sempurnakan. Inilah yang dimaksudkan dengan singkatnya masa. Ia adalah satu petanda hampirnya hari kiamat.

Hakikatnya, masa yang sudah berlalu pergi itu tidak akan dapat diputar kembali. Justeru, adalah diharapkan kehadiran tahun 2015 ini dapat dihiasi dengan azam yang bersungguh-sungguh dan berterusan melakukan amal-amal serta pekerjaan-pekerjaan yang mendatangkan manfaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Tambahan pula tiada sempadan masa dalam melakukan perkara yang baik dan berfaedah dalam meraih kebahagiaan, kemajuan dan kejayaan sama ada untuk kehidupan di dunia mahupun untuk kehidupan di akhirat. Setiap detik yang dilalui dan masa serta peluang hidup yang dikurniakan oleh Allah SWT di dunia ini hendaklah dihargai dan disyukuri.

Cara menzahirkan penghargaan dan kesyukuran sudah tentulah dengan melakukan amal-amal soleh, yakni perkara-perkara yang dianjurkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya yang meliputi perkara wajib dan sunat. Hal ini bertepatan dengan saranan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud :

“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain). Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).” (S. Alam Nasyrah: 7-8).

Tarikh : 16 Januari 2015

Lokasi : Medan Ilmu Kota Bharu Kelantan

Pengkuliah : YB Dato’ Ustaz Mohd Amar Abdullah

 

%d bloggers like this: