Archive for 25 Disember 2014


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/32861-mengapa-islam-menyertai-demokrasi

IZWAN ABDUL HALIM | 24 Disember 2014.

PENCATUR politik dunia menyedari betapa kesatuan Islam adalah kekuatan ampuh yang tidak mampu ditandingi oleh kuasa-kuasa Barat. Bahkan, jika digembleng seluruh angkatan ketenteraan dan persenjataan dunia untuk menentang, mereka yakin Islam tetap tidak mampu dikalahkan. Kerana, Islam menguat sebagai akidah dan denyut nadi yang hidup pada roh dan jasad setiap individu mukmin. Malah, Islam menjadi lebih teguh perkasa hasil penyatuan di dalam masyarakat dan negara.

Namun, kealpaan umat Islam mengejar dunia melebihi matlamat akhirat telah membuka ruang musuh-musuh Islam menyucuk jarum dan menanam benih idealogi dan teori mereka ke dalam diri, masyarakat atau negara umat Islam. Kekuatan Islam dirobek secara halus dengan memasukkan pelbagai virus tersebut kepada sendi-sendi akidah, akhlak dan syariat Islam yang disimpulkan atas doktrin sekularisme.

Kesatuan umat Islam dipisahkan dari kekhalifahan Islamiyah dengan pecahan sempadan negara serta ditiup semangat nasionalisme, selain menggantikan syariah Islam dengan perundangan sivil. Sedangkan Islam sepanjang hampir 1,300 tahun Islam memerintah sebahagian besar muka bumi, telah menyatukan dan menegak keadilan untuk pelbagai bangsa.

Agenda Menyekat Kebangkitan Islam

Kuasa Barat sebenarnya menjadi proksi kepada agenda Yahudi dan Nasrani untuk menyekat dan menghapuskan kebangkitan semula kekhalifahan Islam yang ditumbangkan pada tahun 1924. Setelah satu era penjajahan yang merakusi hak-hak tanah air dan melakukan penindasan ke atas umat Islam, mereka mewariskan demokrasi sebagai amalan untuk dilaksanakan.

Walaupun kelihatan lunak dan mendekati nilai kemanusiaan, tetapi hakikatnya demokrasi mensebati segala tujuan ke arah menyekat Islamisme. Malangnya, seluruh dunia termasuk umat Islam terpedaya hingga akhirnya menganut demokrasi sebagai fahaman dan amalan.

Pun begitu, belum sempat gerakan Yahudi dan Nasrani bergembira dan menguasai dunia, mereka dikejutkan dengan keupayaan Gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia menguasai persaingan di pentas demokrasi. Gerakan Islam yang sebelumnya dipalit dengan pelbagai tuduhan jumud dan ekstrem, tiba-tiba tampil menguasai massa dan memenangi pilihan raya.

Hal tersebut menjadi tekanan kepada Barat yang kemudian melakukan pelbagai kekerasan terhadap ulama dan aktivis Gerakan Islam melalui proksi-proksi mereka. Malah, dicipta pelbagai propaganda seperti tragedi 9/11 WTC New York dengan menyemarakkan Islamophobia. Kempen ketenteraan juga dipergiatkan berhampiran negara-negara yang Gerakan Islam berjaya mencapai kejayaan di situ.

Sejak itu juga Barat menyedari usaha mereka ‘mensangkarkan’ umat Islam dan menyeru kempen kepada masyarakat dunia untuk memulaukan Islam telah gagal. Mereka bersetuju bahawa umat Islam mesti dikuasai kecenderungan Islamnya. Maka diciptanya Islam dalam pelbagai versi dan aliran selain mewujudkan pertembungan sesama umat Islam itu sendiri dalam segenap lapangan sudut. Diwujudnya dua aliran besar ‘tajaan’ Barat untuk cuba menarik dokongan umat Islam dengan mengembangkan fahaman yang akan ‘melarikan’ umat Islam dari pembawaan pengaruh Gerakan Islam.

Melagakan Sesama Islam

Pertama ialah golongan yang menegakkan fahaman pembentukan Khalifah Islamiyah tanpa demokrasi. Wacana golongan ini sehingga bersetuju untuk mengangkat persenjataan memerangi semua manusia yang tidak menerima seruan Islam. Golongan melampau ini telah menimbulkan fitnah besar kepada Gerakan Islam dan menuduh penyertaan ke medan demokrasi sebagai tidak syarie serta menjebak kepada sistem ciptaan kufar.

Manakala satu lagi adalah golongan yang mengembangkan fahaman penampilan demokrat tanpa syariat iaitulah hasrat menegakkan pemerintahan Islam secara imej atau nilai tertentu semata-mata. Kesannya, Islam hanya wujud pada rupa tanpa tertegak dengan sebenar akidah, akhlak dan syariat Islam.

Ini tidak termasuk menaja kumpulan-kumpulan yang menjadi fenomena semasa dengan dijadikan kesempatan untuk mengalih tumpuan umat Islam terhadap fokus sebenar mereka kepada usaha mengembalikan Islam sebagai ad-din.

Kebijaksanaan Gerakan Islam

Islam telahpun sempurna di mana kesempurnaannya itu dijamin oleh Allah SWT dan ia tidak perlu ditampung dan ditokok tambah oleh sebarang tampalan termasuk demokrasi. Tetapi situasi massa hari ini telah mencalar, mencedera dan merosakkan Islam hingga umat gagal melihat kesempurnaan Islam dengan sebenarnya.

Maka, Gerakan Islam di seluruh dunia termasuk PAS di Malaysia terlibat di arena demokrasi bukanlah atas keimanan atau keyakinan hakiki bahawa demokrasi adalah jalan akhir untuk menegakkan kedaulatan Islam. Tetapi ia adalah alat, kesempatan dan ruang sementara yang mesti dimanfaatkan sesuai dengan tahap akal; yakni penerimaan umat dunia pada zaman ini. Ia adalah usaha tajdid dan islah Gerakan Islam untuk menyentuh dan membuka hati umat manusia dengan dakwah dan tarbiyah hingga akhirnya mereka menerima Islam secara rela.

Begitu juga menghadapi segala penyelewengan, manipulasi dan tipu daya yang sengaja dicipta paksakan ke atas amalan demokrasi, di situlah letaknya kesanggupan jihad dan kebijaksanaan Gerakan Islam untuk menghadapinya.

Keselarian Demokrasi & Islam

Ketua Ulama Dunia, Syeikh Dr Yusof al-Qardhawi pernah menegaskan, walaupun demokrasi adalah doktrin dan membawa nilai-nilai serta pandangan Barat, tetapi umat Islam perlu menyedari bahawa tradisi dan kesarjanaan Islam juga mempertahankan profil yang relatif terbuka dalam penerimaan dari sumbangan peradaban lain. Islam memperakui tradisi lain yang seiring sejalan dengan nilai di dalam Islam itu sendiri.

Beliau sendiri dalam memperkatakan mengenai pilihan raya yang menjadi bahagian utama demokrasi telah meletakkan persamaan amalan itu dengan penyaksian (syahadah) di mana rakyat dengan kebebasan dan haknya memberi pilihan kepada pihak (parti atau calon) yang diyakini kepercayaan dan kelayakannya.

Majoriti ulama haraki turut mensepakati demokrasi sebagai kaedah paling sederhana dan menghampiri tuntutan-tuntutan Islam. Misalnya di sana ada butiran perjuangan demokrasi yang diperakui syarak seperti:

• kebebasan dan hak manusia atau rakyat;
• tanggung jawab, amanah dan kekuasaan pemimpin atau kerajaan;
• kepatuhan dan kedaulatan undang-undang; dan
• penegakan keadilan dan kehakiman

Batas Dan Sempadan

Tetapi ia tidak bermakna Islam itu telah disamakan dengan demokrasi kerana amalan demokrasi moden hari ini hanya diperakui sebagai sebahagian kecil juzuk Islam dan ia tertakluk serta tidak boleh mengatasi atau melepasi sempadan-sempadan tertentu.

Misalnya pada hukum-hakam Islam yang qat’ie, ia tidak boleh sama sekali dimansuhkan atau diabaikan atau hingga berlaku perubahan hukum dari ketetapan Allah SWT walaupun menggunakan kekuasaan majoriti. Kehendak-kehendak suara majoriti tidak boleh menggubal atau mewartakan sebarang ketetapan akidah dan syariat Islam.

Demikian itu bermakna, disebalik menolak pendekatan kekerasan yang dilakukan kumpulan Islam tertentu, keterbukaan dalam soal hak dan keadilan serta kekuasaan majoriti dibatasi agar tidak mengatasi al-Quran dan as-Sunnah. Sebaliknya ia ‘diperalatkan’ sebagai medium untuk mengangkat pelaksanaan kedua-dua sumber hukum tersebut secara proses sistem pengurusan dan pentadbiran.

Memanfaatkan Demokrasi

Jujur menekuni kerangka syarak dan pelbagai cabang fiqh; akan membawa kepada pengakuan bahawa penglibatan di arena demokrasi adalah jihad yang paling sesuai pada terapan realiti dunia dan masyarakat hari ini. Musuh telahpun terlebih dahulu mengangkat senjata menyerah kalah untuk bertembung dengan Islam menggunakan kekuatan tenaga dan persenjataan.

Maka pertarungan secara idealogi dan sistem pada masa ini menuntut keupayaan tinggi menyaingi penyebaran dakyah menjadi dakwah; menghadapi umpanan material dengan pasakan tarbiyah; mencegah ghazwatul fikr dengan penerapan pemahaman Islam; dan menghadapi sistem jahiliyah dengan menegakkan daulah. Hingga akhirnya manusia memilih dan berpegang kepada Islam serta tokoh kepimpinannya. Ia adalah pembukaan kemenangan yang diwariskan Rasulullah.

Di sana menuntut untuk anggota gerakan Islam termasuk ahli PAS di Malaysia merancang pendekatan dan pemugaran Islam kepada semua golongan termasuk mensikapi kemajmukan pelbagai bangsa dan kefahaman. Juga membawakan penyelesaian terhadap banyaknya kebejatan masalah dalam muamalah manusia hingga diakui bahawa Islam adalah penyelesaian dan cara hidup anutan.

HARAKAHDAILY 24/12/2014

Tarikh : 23 Disember 2014

Lokasi : Taman Jumbo Petagas

Memenuhi hajat Puan Nurul Ainna Abd Malek untuk mentahnik dan mencukur rambut bayinya yang baru berusia 7 hari yang diberi nama Nur Dianah Imtinan. Semoga menjadi anak yang solehah dan berbakti kepada agama Islam.

Tahnik Diyanah (1) Tahnik Diyanah (2) Tahnik Diyanah (3)

%d bloggers like this: