Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/32693-2014-yang-suram-di-bawah-1malaysia-najib

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 15 Disember 2014.

TAHUN 2014 akan meninggalkan kita dengan seribu satu warna kehidupan yang mencengkam rakyat negara ini. Rakyat berdepan dengan kenaikan kos sara hidup, jaminan keselamatan yang nihil, kenipisan kuasa beli dan nilai ringgit yang merudum paling teruk sejak negara ini mencapai kemerdekaan.

Berhadapan dengan kebangkitan rakyat dan persaingan dengan kerajaan negeri Pakatan Rakyat pasca PRU12, BN telah melancarkan kempen Satu Malaysia. Kempen ini cuba dipasarkan kepada rakyat dengan begitu agresif dan bersepadu melalui seluruh jaringan kerajaan yang ada.

Perunding imej Yahudi, APCO Worldwide, dikenalpasti sebagai pemacu utama kempen ini, sebagai sebuah agen perunding bertaraf dunia yang bergengsi yang turut menjadi penasihat di beberapa buah negara Dunia Ketiga yang sarat dengan masalah seperti Indonesia dan Kazashtan. BN walaupun diasak kuat dengan isu pembayaran 77 juta setahun kepada APCO namun Najib mengambil sikap mendiamkan diri, membisu seribu bahasa.

Sebelum ini juga, BN telah berselingkuh dengan Yahudi, contohnya menggunakan khidmat perunding imej Satchy and Satchy pada tahun 80-an, mengundang pasukan kriket Israel ke negara ini pada tahun 1997, bantahan tegas daripada umat Islam tidak menjerakan BN, pada tahun 2002 sekali lagi pasukan ping pong Israel pula dijemput.

APCO Worldwide sebagai perunding imej telah menjambatankan hubungan Najib dengan Barack Obama. Kembalinya Najib bertemu sesepuh ‘Uncle Sam’ di Rumah Putih maka Malaysia telah menghentikan eksport gasoline ke negara Iran yang merupakan musuh ketat negara ‘polis antarabangsa’. Najib mengambil sikap mesra dan bersahabat dengan Amerika dan sanggup melukakan hati umat Islam yang dijeruk dengan penistaan dan pembantaian Amerika.

Sebelum ini gagasan ‘Islam Hadhari’ tenggelam dengan hilangnya Pak Lah daripada persada politik nasional, bahkan gagasan sesat ini menjadi liabiliti kepada Umno dan BN terutama di negeri seperti Kelantan dan Terengganu yang agak kuat pengaruh agama. Gagasan Islam Hadhari menjadi ocehan, dipersenda dan diketawakan oleh rakyat, hatta Dr Mahathir sendiri pun tidak bersahabat dengan gagasan Islam Hadhari. Ratusan juta melepuh hangus untuk menindoktrinkan gagasan ini terutama melalui JASA dan agensi penerangan kerajaan, terutama kepada penjawat awam di seluruh negara. Islam Hadhari semakin menyempurnakan kenazakan BN sebagai parti pemerintah lebih separuh abad kemerdekaan negara.

Najib mengambilalih pemerintahan negara ini dengan imej dan reputasi yang tercalar dengan segudang ‘historical burden’ sepanjang keberadaan beliau di pentas politik Malaysia. Mac 2008, tsunami politik telah membadai negara ini, pertama kali dalam sejarahnya BN hilang undi dua pertiga. Kaum Cina dan India dipersalahkan kerana tidak mengenang budi. BN dan Umno dipinggirkan oleh pengundi muda dan kelompok kelas menengah. Nyayian perkauman mula didendangkan dengan paluan gendang yang songsang, hegemoni BN mula berantakan dan menunjukkan tempang yang hodoh di segenap sisi.

Najib dan sebahagian anggota kabinet beliau mempunyai masalah imej yang serius, dosa dan noda menjadi penghias seri serambi kuasa negara ini. Rasuah gotong-royong, salah urus pentadbiran, ketirisan, kelesuan intelektual, berselingkuh adalah imej kepimpinan negara hari ini, tidak ada air mutlak yang dapat menyiram noda ini.

Kesannya beberapa negara berani memeras ugut kepimpinan negara ini termasuk Singapura dan Perancis, regim tersepit. Maka, undang-undang ‘draconian’, aparat keamanan, kekangan media serta jeriji penjara adalah benteng terakhir mereka. BN tidak pernah belajar untuk menghormati hak dan suara rakyat, walaupun PRU12 , PRU13 kelompok kelas menengah tidak menyebelahi mereka.

Gagasan 1Malaysia juga akan di ingati akhirnya oleh rakyat Malaysia sebagai prasasti kehancuran BN dan Umno menjelang tahun 2015. Gagasan 1Malaysia berlangsung dengan latar belakang Malaysia yang sedang sarat dengan pelbagai masalah. Kadar jenayah sedang menggebu, meratah jati diri umat Melayu. Kadar jenayah sedang melonjak naik menampakkan ketidakberkesanan undang-undang manusia dan hilangnya keberkatan langit.

Hari ini setiap 17.5 minit negara melahirkan seorang anak luar nikah, zina dan pembuangan bayi menjadi fenomena negara, hiburan melampau dan budaya popular menjadi pemicu utama gejala ini. ‘Sensate culture’ terus menyelimuti generasi muda, manakala golongan tua di kampung terus diperlekehkan intelektual. Rakyat dicandukan dengan hiburan supaya mereka terlalai dengan kebejatan dan kebobrokan regim pemerintah.

Datanglah segunung isu yang merugikan rakyat dan negara sekalipun, generasi yang dibius dengan hiburan tidak akan peduli. Pertandingan realiti TV seperti ‘One in Million’, Akademi Fantasia, Mentor, Rentak Juara, Bintang Kecil, dan puluhan anugerah industri muzik adalah gambaran sendatnya negara ini dengan dunia hiburan popular. Terkinu kajian (Nielsen 2010), negara Malaysia menduduki tangga ke-10 daripada 52 negara yang dikaji, rakyatnya paling kuat berhibur.

BN yang semakin suram pesona mencar pelbagai jalan untuk merengkuh kembali sokongan namun tarian mereka semakin hilang rentak. Isu perkauman dipercikkan serta dibungkus dengan jenama ‘ketuanan Melayu’ untuk meletakkan orang Melayu sebagai pengkalan kuasa paling utama (Umno dalam beberapa PRK mendakwa masih mendapat sokongan orang Melayu). Beberapa isu perkauman dan agama telah mengamabil tempat selepas PRU12.

Di Pulau Pinang sahaja, beberapa kali himpunan perkauman telah diadakan, namun masyarakat tidak terjerat dengan mainan politik kotor Umno. Keterujaan membakar api perkauman dan rekayasa aneh Umno dalam menayang koreografi politik perkauman semakin menjauhkan mereka dengan masyarakat bukan Melayu di negara ini.

Umno dan BN setelah lebih separuh abad memegang tampuk kekuasaan seumpama seorang tua yang menderita pelbagai penyakit kronik, sarat dengan masalah dalaman yang menjauhkan mereka daripada kelompok kelas menengah dan anak muda generasi digital hari ini. Umno tidak berkeseorangan, sebahagian parti yang berkuasa di dunia ini dan disinonimkan dengan perjuangan kemerdekaan mula menggelonsor daripada takhta, LDP di Jepun, FLN di Algeria, GOLKAR di Indonesia, Parti Kongres di India adalah angkatan Umno yang sedang tenat, berhempas pulas dengan usia senja, dengan berselirat wayar penyambung hayat.

Kekuasaan bagi kelompok ‘machiavelli’ adalah sebuah idiom yang dikaitkan dengan memunggah harta negara untuk memenuhi kantung peribadi. Hukum karma akan menjerat penzalim, “Tuhan tahu tapi menunggu” kata Tolstoy, kekuasaan akan sentiasa bergulir sebagai ujian kepada manusia. – HARAKAHDAILY 15/12/2014

(Penulis ialah AJK PAS Pusat dan AJK Lujnah Politik PAS Pusat)