Masjid Bukit Padang

Tarikh : 12 Disember 2014

Lokasi : Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang

Khatib : Abu Nuha

Saban minggu, para khatib jumaat mengingatkan jamaahnya dengan pesanan-pesanan taqwa kepada Allah SWT iaitu mengikut serta mematuhi seluruh ajaran Islam dan meninggalkan segala tegahanNya. Apabila seorang hamba Allah SWT melaksanakan yang demikian maka jadilah ia sebagai seorang muttaqin.

Seorang hamba Allah hendaklah bertaqwa dalam semua keadaan. Bertaqwa ketika ia sendirian dan ketika di khalayak ramai. Bertaqwa ketika siang dan malam. Bertaqwa atas apa saja kapasitinya dalam masyarakat, rakyat yang bertaqwa, pemimpin yang bertaqwa, suami isteri yang bertaqwa, anak-anak yang bertaqwa kepada Allah SWT, majikan yang bertaqwa, pekerja yang bertaqwa.

Allah SWT menjanjikan di dalam al-Quran bahawa, sekiranya penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertaqwa Allah SWT akan membuka keberkatan dari langit dan bumi untuk mereka.