Archive for 13 Disember 2014


Masjid Bukit Padang

Tarikh : 12 Disember 2014

Lokasi : Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang

Khatib : Abu Nuha

Saban minggu, para khatib jumaat mengingatkan jamaahnya dengan pesanan-pesanan taqwa kepada Allah SWT iaitu mengikut serta mematuhi seluruh ajaran Islam dan meninggalkan segala tegahanNya. Apabila seorang hamba Allah SWT melaksanakan yang demikian maka jadilah ia sebagai seorang muttaqin.

Seorang hamba Allah hendaklah bertaqwa dalam semua keadaan. Bertaqwa ketika ia sendirian dan ketika di khalayak ramai. Bertaqwa ketika siang dan malam. Bertaqwa atas apa saja kapasitinya dalam masyarakat, rakyat yang bertaqwa, pemimpin yang bertaqwa, suami isteri yang bertaqwa, anak-anak yang bertaqwa kepada Allah SWT, majikan yang bertaqwa, pekerja yang bertaqwa.

Allah SWT menjanjikan di dalam al-Quran bahawa, sekiranya penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertaqwa Allah SWT akan membuka keberkatan dari langit dan bumi untuk mereka.

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/32676-menjawab-dinsman-kenapa-dicalar-imej-ulama

IZWAN ABDUL HALIM | 13 Disember 2014.

RIBUAN tahun sebelum kelahiran Muhammad SAW, para pendeta, rahib dan umat kebanyakan telahpun mengetahui serta mengenali kenabian Rasulullah berpedomankan ilmu daripada Taurat, Zabur dan Injil serta keimanan terhadap perkara itu sebagai perkhabaran akhir zaman.

Tetapi apabila Baginda telah berada dalam kalangan manusia menyampaikan agama Allah, bukan sahaja seruan dikesampingkan, bahkan batang tubuhnya yang mulia itu turut diingkari dan dipertikaikan sebahagian manusia. Hal sama turut berlaku kepada para Nabi dan Rasul sebelumnya oleh umat masing-masing, termasuk pemimpin yang dilantik Allah iaitu Thalut sebagaimana terangnya semua kisah itu di dalam al-Quran.

Namun, agama Allah tidak berakhir dengan kewafatan para Nabi dan Rasul. Sebagaimana umat terdahulu adanya para pendeta dan rahib yang menjadi penghubung dengan manusia umumnya, seperti itulah Islam mempunyai para ulama yang menyambung ganti tugas kenabian menegakkan agama Allah di atas muka bumi.

Jika Rasulullah SAW tidak memimpin manusia hanya dalam perkara akidah, tetapi turut memimpin seluruh ad-din yakni cara hidup, seperti itulah para ulama memimpin manusia di pengakhiran zaman.

Dalam keorganisasian PAS, ulama memimpin atau sebagai pemimpin bukanlah satu gagasan PAS, tetapi hakikatnya ia berakar dari gagasan Islam itu sendiri sebagaimana sabda Baginda bahawa ulama adalah pewaris para Nabi. Bermakna ia prerogatif yang tidak boleh diubah, kerana ia adalah tuntutan keimanan. Melainkan mereka yang menganggapnya sebagai rekayasa PAS, maka kedudukan itu boleh diubah.

Bahkan, tabiat tubuh dan naluri roh orang beriman akan cenderung bersandar kepada sifat ulama untuk memimpin mereka kepada tujuan keimanan. Maka, tatkala zahir jasad ulama itu ada di samping mereka, menjadi suatu kontradik seandainya mereka mengenepikannya.

Wahana itulah yang menyegarkan pemikiran para pendokong PAS dan menjadi iltizam sejak dahulu, bahawa mereka berjuang untuk memartabatkan kemenangan Islam di bumi Malaysia bersama hasrat menobatkan ulama sebagai ketua pemerintah negara. Bahkan tinggi sekali keredaan ahli-ahli PAS di semua peringkat memilih, melantik juga mendesak ulama memegang jawatan dalam parti, sedang para ahli sedia berkorban menjadi amilin belakang tabir.

Malah, begitu bersemangat dan meluasnya cita-cita untuk mengulamakan semua golongan di dalam PAS. Hinggakan bertebaran dalam keluarga ahli PAS, usaha mewakafkan sebahagian anak-anak mereka supaya ditarbiyah ke arah PAS menyediakan angkatan ulama atau sekurang-kurangnya berjiwa ulama.

Akhirnya, kemanisan itu muncul dari kemenangan PAS Kelantan menjadi kerajaan pada tahun 1990 dan Kepimpinan Ulama yang digagaskan sebelum itu dirasa kian subur berkembang.

Sejak itu juga kepimpinan ulama terus-menerus diwacana, dijadikan solusi dan alternatif bagi mengganti dan menangani segala kebejatan serta malapetaka ciptaan pemerintahan Umno-BN. Kebimbangan kehilangan ulama telah menjadi perasaan yang besar dalam sanubari jiwa orang-orang PAS selaras ia dengan sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan mencabutnya daripada hamba-hamba tetapi Dia menarik ilmu dengan mengambil nyawa para ulama, sehingga apabila tiada lagi seorang ulama, orang ramai melantik ketua-ketua yang jahil lalu mereka ditanya, lantas mereka memberi fatwa tanpa ilmu lantaran itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan.”

Tiba-tiba apabila PAS semakin mendekati Putrajaya, tubuh ulama dipertikai dan dicederakan semahunya, selain cuba diperuk campak ke sudut paling sempit, menjadikan kita terlihat di mata umum lebih rakus dari musuh Islam yang selama ini perbuatan itu kita cemuhkan.

Dahulunya sanggup bermati-matian mempertahankan dan menjadi galang ganti terhadap tindakan keji musuh Islam menghina, mencerca, menangkap, memenjara dan menghukum ulama, kini ada yang menjadi senada, bahkan lebih sudu dari musuh Islam.

Ada juga tolong membesarkan perbuatan musuh Islam yang menjadi pewaris kaum penentang Nabi dan Rasul. Hanya kerana ada beberapa individu ulama yang melakukan kesilapan atas sifat manusiawinya, lalu dihukum seluruh ulama dengan tuduhan sama dan bagaikan hilang seluruh kebajikan dirintis serta ditebar para ulama.

Malah, dipanjangkan pula paluan yang mendikotomikan antara ulama dan profesional di mana hampir kedengaran diagendakan pada setiap kali muktamar. Sedangkan, pelbagai latar belakang di dalam PAS telah diterima sebagai satu keunikan sejak ia ditubuhkan lagi dan didendang dengan kata-kata, Dari yang ada PhD sampai yang tidak gosok gigi.

Di mana salahnya, para ulama yang dahulu dijulang ke jawatan tertentu, kini apabila mereka bersedia kepada taklifan parti, dipersalahkan pula kononnya berkempen ala-ala Umno. Sedangkan Allah di dalam al-Quran berkempen berkali-kali untuk Nabi-Nya diikuti dan ditaati. Sewajarnya kesanggupan para ulama disyukuri setelah mereka punyai tugas asasi yang begitu banyak melakukan muayasyah dengan ummah dan memahamkan kepada Islam.

Kepada ulama jugalah sandaran merungkai dan menjelaskan sebegitu banyak permasalahan bersimpang siur dan kritikal negara berdasar kaedah syarak di mana kefakihan kepada ilmu al-Quran dan as-Sunnah itu sukar ditemui pada ilmuan dibidang lain.

Cukuplah isu kalimah Allah yang menjadi sebutan setiap waktu individu Muslim, tetapi saat ia muncul, ramai terkial-kial untuk faham atau menerangkannya; belum lagi diterjah kerencaman isu-isu lain. Begitu juga dalam menanggapi dan memahami permainan musuh Islam menggugat akidah ummah dalam kelicikan yang tidak difahami orang biasa.

Kecuali kita secara plural telah menjustifikasi kewenangan bahawa semua orang berhak menjelaskan al-Quran dan as-Sunnah atau ke tahap lebih ekstrem iaitu mengenepikan terus sendi akidah, akhlak dan syariah. Maka ketika itu wajarlah ulama dihunikan hanya di masjid-masjid dan surau sahaja.

Andainya ketika itu pemerintahan berada di tangan, ulama pasti hanya dapat menegur dari pagar masjid dan surau. Paling malang, al-Quran dan as-Sunnah tidak terjamin dipugar dalam pelaksanaan siyasah pemerintahan. Akan berlakulah mala petaka pertelingkahan sebagaimana yang pernah berlaku. Sabda Baginda Nabi SAW:

“Kamu akan melihat selepas pemergianku pertelingkahan kuat, maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulafa rasyidin yang diberi petunjuk. Gigitlah dengan geraham-geraham kamu.”

Dalam sejarah perjuangan PAS, ketika para strategis pilihan raya silih berganti dan dilanda kekecewaan gagal menembus dan membuka pintu kemenangan, para ulamalah yang terus-menerus menyuntik semangat dan keyakinan iman bahawa perjuangan Islam pasti menemui kemenangan sama ada kesempatan di dunia atau keabadian di syurga kurniaan Allah.

Terlalu banyak perkara-perkara samiyyat yang tidak dapat diterap ke jiwa orang mukmin melainkan oleh keilmuwan para ulama, serta merekalah pencantum kasih sayang pejuang parti dengan rakyat seluruhnya.

Para ulama jugalah dianggap paling bersih dan dekat dengan Allah SWT dalam realiti kehidupan masyarakat hari ini. Di saat ahli parti umumnya lemah bertawajjuh dihadapan Allah, ulama pula diyakini saban waktu takwanya merasa takut dan mengharap pada Allah bermunajat untuk kepentingan perjuangan; semua ini kerja-kerja yang tidak menerima ganjaran wang ringgit.

Selalu dalam banyak konflik yang berlaku, kepada ulamalah yang dirujuk dan menjadi pemurni situasi. Daurah tarbawiyah dari ulama juga yang menjadi signal dirasah dan kifarah kepada pemegang-pemegang jawatan dalam kerajaan dari kalangan Adun PAS untuk tidak menyeleweng, mendekati rasuah dan fitnah apabila terhidang kemewahan hak rakyat serta mengenal kepada haq dan batil.

Jangan masa senang dibuang ulama, masa susah dicari mereka. Jangan jadi seperti musuh Islam yang berdendam kesumat hingga membunuh ulama, kita pula membunuh imej dan kewibawaan ulama dengan ucapan atau tulisan-tulisan. Sebelum mendakwa ulama telah rosak, terlebih dahulu lihatlah mungkin diri kita yang rosak. Jika merasa kononnya ulama telah terpedaya dengan duniawi, yakinlah terlebih dahulu bahawa ulamalah yang dapat memahamkan kita kepada fitnah akhir zaman.

Para ulamalah yang mengenali tanda antara kebenaran Imam Mahdi dan pemerdayaan makhluk Dajjal. Kerana ketika mana saat itu muncul, kita sangat mungkin terpesong biarpun telah menekuni pengajian mengenai gelojak akhir dunia; sebagaimana melencongnya umat terdahulu daripada hidayah setelah mereka mengenali Rasulullah SAW melebihi mereka mengenali diri sendiri. Wallahualam.

HARAKAHDAILY 13/12/2014

%d bloggers like this: