Tarikh : 5 Disember 2014

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

Khatib : Abu Nuha

Di dalam perkara yang berkaitan dengan beriman kepada hari kiamat yang begitu luas huraian dan perjalanannya, ada suatu perkara yang wajib kita imani iaitu kewujudan kolam atau telaga Rasulullah SAW yang begitu istimewa sekali. Pada saat yang begitu genting pada hari kiamat ini, umat Baginda SAW berpeluang meminum air telaga ini dengan syarat-syarat yang begitu ketat sekali.

Ada banyak hadith menceritakan tentang telaga atau al-haudh ini. Antaranya ialah sebuah hadith daripada Kaab bin Ujrah yang bermaksud :

Pada suatu hari Rasulullah SAW bersabda : “Wahai Ka’ab, aku mohon perlindungan daripada Allah SWT supaya melindungimu daripada pemerintah-pemerintah yang datang selepas aku. Barangsiapa yang mendatangi pemerintah di tempat kediaman rasmi mereka, serta membenarkan pembohongan para pemerintah dan menolong segala kezaliman mereka, sesungguhnya mereka bukan daripada umatku, ia tidak dapat menemui aku dan menghampiri telagaku (Telaga Kauthar) di akhirat kelak. Barangsiapa yang terpaksa pergi ke istana pemerintah sedang dia tidak membenarkan pembohongan pemerintah dan tidak membantu di atas kezaliman pemerintah, sesungguhnya aku adalah sebahagian daripadanya”.

Hadith ini menceritakan tentang orang-orang yang tidak dapat meminum air Telaga Kauthar di akhirat kelak, atas sebab-sebab mereka telah mengingkari sunnah Rasulullah SAW. Di antara mereka ialah golongan yang suka mendekati istana ataupun mengampu pemerintah bagi mendapatkan habuan-habuan tertentu.

Mereka mempunyai tujuan duniawi dalam kegiatan mereka mendekati pemerintah, sedangkan mereka sedar bahawa pemerintah tidak mengikut sunnah Rasulullah. Mereka mengampu dan sanggup membenarkan segala pendustaan dari istana ataupun pemerintah zalim itu kerana mempunyai tujuan tertentu.

Sikap buruk orang-orang yang suka mendampingi sehingga tidak sanggup mempertahankan prinsip hidup bagi menyatakan kebenaran, tidak berani menegur penyelewengan pemerintah yang telah menyalahi sunnah Rasulullah SAW. Bukan sahaja mereka membiarkan pembohongan yang dilakukan oleh pemerintah, malah sebaliknya mereka sanggup mengiyakan atau membenarkan pembohongan pihak pemerintah.

Bukanlah sikap orang mu’min yang suka mendampingi raja atau pemerintah jika dengan maksud untuk mendapatkan habuan tertentu. Ini tidak bererti Islam tidak membenarkan penganutnya mendekati pemerintah, ia suatu yang diharuskan andainya pemerintah yang melaksanakan hukum syariat Allah SWT.

Namun bukan sikap orang mukmin yang gemar mendekati pemerintah sedangkan mereka tidak sanggup menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan yang dilakukan oleh pemerintah.