Tarikh : 28 November 2014

Lokasi : Masjid al-Muzakkirullah, Kg Lubok Temiang WP Labuan

Khatib : Syahnon Othman

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia, tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.”

Mendidik isteri amatlah penting dalam melayari bahtera rumah tangga. Mempunyai isteri yang solehah adalah dambaan bagi lelaki yang inginkan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Antara langkah-langkah perlu dijana oleh suami untuk mendidik isteri seperti berikut:

Pertama: Sentiasa menunaikan solat secara berjemaah. Suami isteri yang kian sibuk bekerja haruslah meluangkan masa untuk solat fardhu secara berjemaah. Amalan ini amatlah dituntut dalam Islam, yang mana Rasullullah SAW sendiri sentiasa solat berjemaah bersama isteri-isterinya. Dengan ini maka akan lahirlah usrah sakinah gapaian redha Allah.

Kedua: Teguran mendidik dengan cara berhemah. Suami sebagai ketua keluarga harus memainkan peranan yang penting dalam rumah tangga. Amalkanlah budaya tegur menegur kepada isteri bagi mewujudkan keluarga yang harmoni. Tegurlah isteri dengan hati yang terbuka, berhemah dan berhikmah serta janganlah mudah melenting kerana isteri juga perlukan belaian dan kasih sayang seorang suami. Ingatlah suami adalah tempat bergantungnya si isteri yang sentiasa mengharapkan perhatian dan bimbingan.

Ketiga: Mengamalkan cara hidup usrah sakinah. Usrah sakinah dapat direalisasikan dengan memandu ahlinya dengan Al-Quran dan Al-Sunnah agar keluarga kita tidak tersasar dari jalan yang diredhai Allah SWT. Raikanlah dan tunaikan hak-hak kewajipan sebagai suami dan isteri dengan sebaiknya, maka akan lahirlah permata kasih penyeri hidup mereka.

Sebuah keluarga yang bahagia akan terbina daripada hasil didikan agama yang mantap daripada ibubapa. Ibubapa memainkan peranan yang penting untuk menjadikan mereka sebagai orang yang beriman serta bertakwa pada Allah SWT. Dalam hal ini, Islam telah memberikan garis panduan yang begitu baik bagi ibubapa untuk mendidik zuriat mereka.

Renungilah pesanan Rasulullah SAW ini daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah Rahimahullah daripada Anas bin Malik RA bermaksud: “Muliakanlah anak-anak kamu dan tunjukkanlah pada mereka adab yang baik”