Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/32256-jangan-berpeluk-tubuh

NASRUDIN HASSAN | 21 November 2014.

1. Sering kali alasan dikemukakan untuk tidak turun bergelanggang bagi menyampai risalah dan memperjuangkan Islam. Alasan itu akhirnya melemahkan umat Islam justeru alasan boleh dicipta dan direka tanpa ada penyudahnya. Ingatlah Firman Allah swt:

إِنَّمَا يَسْتَأْذِنُكَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَارْتَابَتْ قُلُوبُهُمْ فَهُمْ فِي رَيْبِهِمْ يَتَرَدَّدُونَ

Sesungguhnya orang yang akan meminta izin (dengan mengemukakan pelbagai alasan) kepadamu (untuk tidak disenaraikan sebagai delegasi yang turung berjuang) hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya. (Surah at Taubah: 45)

2. Kita tiada pilihan! Saksikan bagaimana keadaan ummah di luar sana. Mereka keliru tanpa bimbingan, mereka hanyut tanpa dahan berpaut, mereka alpa tanpa isyarat yang menyedarkan, mereka sesat tanpa cahaya yang memandu. Apakah kita masih rela dan tega untuk berpeluk tubuh? dengan 1001 alasan yang kita ungkapkan? Allah swt telah tegaskan:

وَلَوْ أَرَادُوا الْخُرُوجَ لَأَعَدُّوا لَهُ عُدَّةً وَلَٰكِن كَرِهَ اللَّهُ انبِعَاثَهُمْ فَثَبَّطَهُمْ وَقِيلَ اقْعُدُوا مَعَ الْقَاعِدِينَ

Dan kalaulah mereka mahu keluar (untuk turut berjuang), tentulah mereka menyediakan persiapan untuknya; tetapi Allah tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkanNya semangat mereka, dan dikatakan (oleh Syaitan): “Tinggalah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal”. (Surah at-Taubah: 46)

3. Semoga kita tidak tinggal bersama orang yang qaai’din (duduk berpeluk tubuh) tanpa melibatkan diri bersama gerakan Islam melunas amanah perjuangan demi mengembalikan izzah (kemuliaan dan kehebatan) ummah serta menegakkan syariat Allah swt. di atas tanah air tercinta ini. Bangkitlah wahai para duat (pendakwah)!

Nasrudin bin Hassan
Timbalan Pengerusi 1
Lajnah Dakwah PAS Pusat.