Archive for 18 November 2014


Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/32202-menggamit-perjuangan-di-puncak-banjaran-crocker

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | 18 November 2014.

MENERUSKAN gagasan negara berkebajikan, saya bersama rombongan Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, LKKP Pusat yang diketuai sendiri oleh YB Dr. Siti Mariah Mahmud, Pengerusi LKKP Pusat telah bertolak ke Sabah, Negeri Di Bawah Bayu pada malam 13 November 2014. Rombongan kami yang turut disertai oleh wakil-wakil dari LKKP Dewan Muslimat, Nisa’ dan Amirah telah sampai di bumi Sabah pada tengah malamnya yang disambut sendiri oleh Pengerusi LKKP Sabah, saudara Abdul Hisham Othman.

Sebaik menjejakkan kaki ke sana, kami telah dibawa ke surau Taman Astrul untuk jamuan ringkas dan taklimat program sepanjang kami di bumi Sabah. Tekad para pendukung PAS di Sabah nyata sekali dengan program yang diatur cukup padat.

Menyedari peluang interaksi antara penggerak dan pimpinan negeri dan pusat yang ada cukup berharga, program-program yang dirangka turut membabitkan seluruh kawasan di Sabah. Menjelang awal pagi 14 November 2014, rombongan kami terus bertolak ke Keningau yang jarak perjalanannya lebih kurang 120 kilometer. Rombongan kami selamat sampai di Keningau sejam sebelum masuknya waktu subuh.

Setiba di Keningau, kami hanya ada beberapa jam sahaja untuk bersiap diri sebelum bermulanya jadual yang cukup padat. Program pertama kami ialah Majlis Ramah Mesra bersama Persatuan Ibu Teratai bermula jam 3.00 petang. Peluang berdialog bersama YB Dr. Siti Mariah Mahmud begitu sekali dihargai dan disenangi oleh ahli-ahli persatuan yang terdiri dari kaum ibu berdikari.

Program yang diadakan di Pasti As-Syarif tersebut memberi peluang kepada mereka membentangkan pelbagai permasalahan dan kesulitan yang timbul selama ini. Apa yang nyata, mereka begitu terpisah dan terasing dari setiap kemudahan dan program yang disediakan oleh pelbagai pihak khususnya kepada ibu-ibu tunggal.

Dari sesi perkongsian yang diadakan, hampir saja setiap kemudahan dan program yang disediakan oleh pihak berwajib tidak mereka nikmati. Bahkan ada permohonan-permohonan kepada pihak kerajaan yang telah dikemukakan bertahun lamanya, masih tiada jawapan apatah lagi hasil yang diharapkan.

Meskipun Keningau adalah kawasan yang diwakili oleh Barisan Nasional, jelas sekali program-program khusus buat rakyat bawahan sukar untuk diperolehi mereka yang rata-ratanya tiada tempat bergantung.

Pada sebelah malamnya pula, bermulalah pertemuan kami bersama wakil-wakil seluruh kawasan dalam makan malam Tautan Kasih. Program yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh LKKP Sabah ini telah diadakan di salah sebuah hotel di pekan Keningau. Buat penggerak-penggerak PAS Sabah, program Tautan Kasih tersebut cukup istimewa dengan kehadiran beberapa pimpinan utama PAS Pusat.

Selain kehadiran Pesuruhjaya PAS Sabah Mohd Aminuddin Aling, selaku tuan rumah dan YB Dr. Siti Mariah Mahmud selaku Pengerusi LKKP Pusat, program ramah mesra tersebut turut dihadiri oleh Ketua Lujnah Penerangan PAS Pusat, YB Datuk Mahfuz Omar.

Dalam program tersebut yang juga dihadiri oleh ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Hussin, dalam ucapannya, YB Dr. Siti Mariah Mahmud telah menyatakan satu penegasan bahawa fokus LKKP Pusat pada masa kini tetap membawa aspirasi negara berkebajikan ke setiap pelusuk negara.

Penganjuran program utama oleh LKKP Sabah cukup signifikan pada umur PAS yang telahpun melepasi 26 tahun di bumi tersebut. Biarpun terlalu muda usianya berbanding negeri lain, kejituan para pendukung begitu terserlah. Pada keesokan harinya, bermulalah program utama LKKP Pusat bersama LKKP Sabah di Crocker Range Park yang jauhnya 15 minit jarak perjalanan dari pekan Keningau.

Retreat LKKP Sabah yang diadakan di kemuncak Banjaran Crocker telah mengumpulkan seluruh pengerusi-pengerusi LKKP kawasan dari seluruh Sabah. Cukup saya teruja dengan gerak kerja para penggiat PAS di Keningau yang cukup beriltizam biarpun umur PAS di Keningau baru saja berusia 12 tahun.

Selain menganjurkan Retreat LKKP negeri selama dua hari, mereka turut bertungkus lumus menjayakan Program Munaqasyah Ucapan Presiden peringkat negeri Sabah yang turut diadakan di Keningau.

Pada sebelah malamya pula, jadual kami diteruskan pula dengan kenduri rakyat bersama pimpinan utama PAS Pusat yang ada. Program yang diadakan di Pasti Al-Falah turut menampilkan seorang lagi ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Muhaimin Sulam. Pasti Al-Falah merupakan pasti kedua di pekan Keningau yang baru saja memulakan operasinya.

Dalam dialog yang diadakan di Pasti Al-Falah tersebut, aspirasi yang dilontarkan oleh ketiga-tiga pimpinan PAS terdiri dari YB Dr. Siti Mariah Mahmud, YB Datuk Mahfuz Omar dan Dr. Muhaimin Sulam cukup jelas dan bermakna untuk dibawa pulang oleh setiap penggiat-penggiat parti di seluruh kawasan Sabah bagi menyerlahkan PAS untuk semua.

Setiap pendukung parti haruslah menjadikan agenda negara berkebajikan yang digagaskan oleh Tuan Guru Presiden melalui Muktamar 2011 sebagai fokus utama. Setiap pendokong harus menyebar luas aspirasi berkebajikan yang sekali-kali tidak terpisah dengan pimbinaan sebuah daulah Islamiah.

Sikap prihatin kepada keperluan rakyat yang bersifat kepelbagaian harus menjadi denyut nadi setiap pendukung parti. Harus sentiasa disedari setiap waktu, PAS bukan sekadar badan politik, bukan sekadar badan dakwah atau bukan juga terhad sebagai badan kebajikan.

Elemen dakwah dan tarbiah, sikap prihatin dan kebajikan serta berpolitik harus digabung jalin bagi meletakkan Islam pada tempat yang sepatutnya. Saling melengkapi antara satu sama lain harus menjadi rencah dalam setiap langkahan perjuangan.

Setiap pendukung PAS juga harus insaf betapa suasana semasa tidak lagi sama seperti suasana terdahulu. Setiap gerak kerja mesti mengambil kira keperluan dan situasi semasa.

Jika dulu suatu tindakan itu terasing atau disebut “daghat ulu banad”, ia tidak lagi hari ini. Justeru setiap pencinta Islam harus faham setiap langkahan budaya setempat dan situasi bagi menjadikan PAS dominan dalam masyarakat.

Sama ada golongan ulama, profesional atau penggiat, keupayaan bertindak sesuai dengan zaman dan berfikir mendahului zaman adalah keperluan asas yang mesti diperkemas.

Pada Ahad pula, hari terakhir kami di Keningau, sebagai acara penutup Retreat LKKP Sabah, satu bengkel menyusun gerak kerja peringkat negeri diadakan. Ianya disudahi dengan sidang media dari Pengerusi LKKP Pusat dan Pesuruhjaya PAS Sabah.

Kesungguhan para pendokong PAS yang ingin melihat berdaulatnya Islam di bumi di Bawah Bayu ini cukup dirasai. Pada hari inilah Munaqasyah Ucapan Presiden Peringkat Negeri Sabah turut diadakan. Penganjuran dua program utama negeri pada masa yang sama dengan bilangan kakitangan yang cukup terbatas harus menginsafi setiap mereka yang memerhati betapa mendalamnya kecintaan setiap penggiat parti di Sabah kepada Islam.

Mereka cukup insaf betapa Sabah terlalu dahagakan sentuhan Islam. Mereka cukup faham setiap posisi ada peranan yang wajip dimainkan. Mereka cukup sedar bagaimana kabusnya pandangan di kemuncak Banjaran Crocker, hingga membataskan pandangan, demikianlah batasan keupayaan yang ada pada setiap insan.

Justeru setiap jiwa umpama sebatang lidi yang diikat untuk dijadikan penyapu. Sikap saling menumpang dan menampung antara satu sama lain adalah kemestian bagi menyucikan bumi ini dari segala macam kedurjanaan duniawi.

Gandingan tenaga baru dan tenaga lama mesti sentiasa diperkukuh. Tautan antara pimpinan dan pengikut baweahan harus sentiasa diikat erat agar langkahan sentiasa seiring dan tidak bersanggahan.

Pulangnya kami meninggalkan pekan Keningau sekali lagi membawa kami merentasi kemuncak Banjaran Crocker. Angin bayu yang cukup nyaman atas banjaran yang menempatkan Gunung Kinabalu ini cukup menginsafkan saya betapa dalam perjuangan ini perlu sentiasa dinaungi dengan rasa ukhuwah dan persaudaraan. Perjuangan getir ini hanya akan terasa manis dengan nyamannya ikatan persaudaraan di celah-celah keringat di tengah medan.

HARAKAHDAILY 18/11/2014

Tarikh : 14 November 2014

Lokasi : 1Borneo Kota Kinabalu

Tahniah kepada bapa kami yang menerima anugerah Hadiah Sastera Sabah 2012/2013 bagi genre cerpen yang disampaikan oleh TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Haji Juhar Mahiruddin.

Satu sisi yang membanggakan ialah ketika beliau berusia 70 tahun, bapa kami masih gagah untuk menulis cerpen, puisi dan sebagainya. Satu ketika dahulu, beliau juga menulis skrip-skrip drama radio yang biasa disiarkan dalam Radio Malaysia Labuan (RML). Beliau adalah antara pengasas Persatuan Penulis WP Labuan (PERWILA) pada pertengahan 80an dan persatuan tersebut masih aktif sehingga kini.

Kami anak-anak dan cucu-cucu berbangga dengan anugerah tersebut. Semoga beliau dikurniakan kesihatan yang baik untuk beramal ibadah terutama pada usia beliau yang berbaki.

Nenek Aji (1) Nenek Aji (2) Nenek Aji (3) Nenek Aji (4) Nenek Aji (5)

%d bloggers like this: