Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/31897-menulenkan-semula-seruan-islam

AHMAD HAKIMI OTHMAN | 05 November 2014.

AKHIR-akhir ini, kita dikejutkan dengan fenomena pembaharuan nilai dalam agama. Umat Islam didatangkan dengan berbagai variasi isu-isu semasa dengan bertalu talu dan mengelirukan. Sama ada dari sudut pemikiran akidah, ekonomi ataupun politik.

Dalam politik, arus liberalisasi demokrasi dan modernisasi menyebabkan lahirnya pemikiran Liberalisme yang menumpukan kepada nilai hak manusia berbanding tanggungjawab manusia sebagai khalifah dan hamba kepada Sang Pencipta Alam.

Dalam sudut sosial, dibangkitkan isu kesamarataan dan masyarakat Plural sehingga menyebabkan penyamaan hak-hak agama dan Nilai Islam lantas melahirkan fahaman Pluralisme.

Kejahilan nilai agama juga menyebabkan sensitiviti agama dan adat umum dicabar bagi merealisasikan impian kesaksamaan menurut relatif moral dunia yang kadang kadang tidak selari dengan Islam. Namun, kalau ditinjau dari sudut sejarah perkembangan Islam, apakah ini tidak pernah berlaku?

Dakwah awal Nabi SAW, dakwah millah Ibrahim al-Haneef

Fasa dakwah Nabi Muhammad SAW di Mekah dapat kita fahami dengan wahyu-wahyu Quran yang diturunkan di era Makkiyah. Malah, uslub Nabi SAW ketika di Mekah penuh dengan tata tertib dalam masyarakat yang sudah jauh jatuh dalam lembah jahiliyyah dan kesesatan beragama.

Quraisy mengenali ajaran Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS, malah syiar-syiar agama Ibrahim terus dikekalkan seperti ibadah haji. Namun begitu syiar-syiar itu telah diinovasi mengikut nilaian mereka yang telah berubah mengikut zaman.

Apabila berdakwah tentang keaslian agama, Quran merekodkan Arahan Allah kepada Nabi Muhammad SAW dengan agama Nabi Ibrahim kepada bangsa Quraisy dan juga ahli kitab.

Firman Allah dalam ali-Imran ayat 94-95 maksudnya:

(Jika tidak) maka sesiapa yang mereka-reka kata-kata dusta terhadap Allah sesudah yang demikian itu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (94) Katakanlah (wahai Muhammad): Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan agama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid) dan bukanlah dia dari orang-orang musyrik. (95)

Daripada wahyu Quran ini, uslub dakwah awal Nabi Muhammad SAW ialah untuk kembali mengenangkan bahawa Islam yang sebenar ialah Islam sama dibawa oleh Nabi Ibrahim AS yang Haneef (suci murni). Nilai sebenar Islam mesti diingatkan kembali dengan seruan yang asal yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS untuk tidak menyekutukan Allah dan berserah segalanya kepada Allah SWT.

Namun begitu, Quraisy dan ahli kitab bertindak sebaliknya. Mereka telah menukar agama mereka dengan nilai duniawi yang selaras dengan nafsu dan cara hidup yang mereka pilih. Mereka merasakan memilih cara sebenar Islam menyusahkan dalam muamalat harian mereka dan cara sosio politik yang telah sebati dalam hidup mereka.

Seruan nilai dalam arus semasa

Yang berlaku dalam urusan agama hari ini telah dicemari dengan banyak doktrin sekular yang telah diperbaharui. Pengamal sekular mutaakhir ini tidak lagi menyeru kepada pemisahan politik dan agama, tetapi menyeru untuk menyamakan nilai agama dengan nilai duniawi yang dikongsi oleh kebanyakan manusia faham.

Nilai-nilai politik disebut dengan Good Governance (tadbir urus baik) tanpa mengira ia mengikut asas Islam atau materialisme duniawi. Nilai-nilai sosial pula dinilai dengan hak-hak asasi manusia sehingga menenggelamkan tanggungjawab insan terhadap pencipta yang menatijahkan berkelakuan baik sesama makhluk.

Tindakan-tindakan menekankan nilai yang sama ini akhirnya menyebabkan syiar akidah Islam semakin longgar pada akhir zaman. Keadaan ini seumpama yang telah berlaku pada zaman awal kebangkitan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi akhir zaman.

Masyarakat Quraisy tenggelam dalam mengejar keuntungan perdagangan, akhirnya telah melupakan ikatan asas agama yang dibawa Nabi Ibrahim AS. Akhirnya keadilan dan kesaksamaan sosial ketika itu difaham atas dasar kebendaan dan moral semata-mata seperti mana yang direkodkan dalam sejarah terjadinya Hilful Fudul ketika Nabi Muhammad SAW berumur belasan tahun sebelum Baginda dilantik menjadi Rasul akhir zaman.

Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah agama dan cara hidup yang sempurna. Malah, al-Quran sebagai panduan telah dijamin sendiri oleh Allah sebagai panduan yang akan kekal sehingga akhir zaman. Tata cara hidup dan panduan menjalani kehidupan dihamparkan dengan secara sempurna tanpa perlu memikirkan inovasi lain dalam kehidupan beragama. Malah, cara berdakwah juga turut ditunjukkan oleh peribadi Nabi Muhammad SAW.

Menulenkan semula seruan Islam

AKhirnya, penting untuk kita sedar pada akhir zaman ini untuk terus kembali kepada cara yang pernah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW yang menjadi qudwah umat Islam dalam kehidupan beragama. Usah terikut-ikut dengan seruan yang telah bercampur dengan doktrin barat yang telah memisahkan manusia supaya kembali kepada panduan agama dalam menjalani kehidupan seharian.

Contoh seruan Nabi menyeru kepada agama Ibrahim yang Haneef perlu dicontohi pada akhir zaman ini dengan menyeru secara berterusan untuk terus kembali kepada perkara asas dalam Quran dan Sunnah yang menjadi sumber kehidupan beragama umat Islam.

HARAKAHDAILY 5/11/2014