Archive for 1 November 2014


Sumber : Web JHEAINS

Setiap kali hujan lebat turun, ia pasti mendatangkan kerisauan kepada sesetengah pihak terutama sekali mereka yang tinggal di Bandar dan kawasan pesat membangun. Apa tidaknya, hujan lebat untuk beberapa jam sahaja boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat dan tanah runtuh. Apabila bencana seumpamanya terjadi, ia adakalanya boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.

Justeru, hujan yang Allah SWT turunkan sebagai rahmat dilihat oleh sesetengah manusia sebagai bencana yang membawa mudarat. Padahal, banjir kilat, tanah runtuh dan bencana alam lainnya jika dilihat dari sudut positif mengandung seribu satu pengajaran kepada kita semua yang mahu berfikir.

Ia merupakan satu peringatan kepada kita agar bermuhasabah dan berfikir mengapa ia berlaku selain berusaha menangani masalah berkenaan. Hakikatnya, Allah SWT tidak menurunkan sesuatu musibah mahupun bencana tanpa sebab-musabab. Demikian juga dengan apa jua musibah atau bencana yang menimpa manusia itu mengandung hikmah yang tertentu. Pendek kata, setiap musibah dan bencana yang berlaku itu ada penyebabnya dan ada hikmahnya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (S. Ar-Ruum: 41).

Dalam firman-Nya ini, Allah SWT memperingat dan menegaskan bahawa kerosakan serta bencana yang berlaku sama ada di darat mahupun di laut adalah angkara perbuatan manusia sendiri. Melalui penurunan pelbagai bentuk musibah serta bencana itu pula, Allah SWT mahu merasakan kepada manusia sebahagian daripada akibat perbuatan buruk atau kerosakan yang mereka telah lakukan.

Dengan bencana serta musibah yang menimpa, adalah diharapkan agar manusia yang melakukan kerosakan berupa perbuatan mungkar dan maksiat serta perbuatan jahat lainnya yang dilarang Allah SWT segera menginsafi perbuatannya dan bertaubat tidak akan mengulanginya kembali.

Kerosakan berlaku di mana-mana. Kerosakan itu pula tidak hanya berlaku pada alam sekitar kerana kerosakan juga terjadi pada akhlak serta akidah manusia. Dan kerosakan yang berlaku itu pula berkait rapat dengan kerakusan manusia mencapai kemajuan dan kemewahan hidup sehingga mengabaikan syariat Allah SWT dan undang-undang serta peraturan yang mengawal sebarang perbuatan tidak bermanfaat dan merugikan.

Atas nama pembangunan dan kemajuan misalnya, kawasan hutan ditebang untuk tujuan perindustrian, pertanian dan perbandaran. Aktiviti ini menyebabkan berkurangnya tumbuh-tumbuhan atau pokokpokok yang berperanan secara semula jadi menyerap air permukaan hasil hujan yang turun.

Akibatnya, aliran air permukaan meningkat dengan begitu ketara setiap kali berlakunya hujan lebat. Bilamana proses penyerapan aliran air permukaan perlahan atau tidak lagi berlaku, maka air akan mengalir bebas ke sungai, longkang serta kawasan rendah.

Fenomena inilah yang menyumbang kepada berlakunya banjir kilat sejak akhir-akhir ini. Dan keadaannya pasti lebih parah lagi bilamana sungai dan sistem saliran yang ada dijadikan tempat pembuangan sampah oleh segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Ini kerana, perbuatan itu akan menyebabkan sungai dan sistem saliran menjadi cetek dan tersekat aliran airnya yang menatijahkan air melimpahi tebing dan menyebabkan berlakunya banjir.

Tarikh : 26 Oktober 2014

Lokasi : Hotel Permai Kuala Terengganu

%d bloggers like this: