Archive for 31 Oktober 2014


Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/31814-pengurusan-ekonomi-sebagai-rezeki-daripada-allah

NIK MOHAMAD ABDUH | 31 Oktober 2014.

Saya berpeluang untuk membahas bajet 2015 2 hari lepas dan saya telah menyentuh beberapa perkara utama yang sedang berlaku di dalam negara kita hari ini.

(1) Saya memulakan perbahasan dengan membaca sepotong ayat al-Quran, daripada Surah Fussilat ayat 9 dan 10. “Katakanlah (wahai Muhammad): Adakah patut kamu kufur kepada Tuhan yang telah menciptakan bumi dalam dua hari dan kamu adakan sekutu-sekutu bagiNya! Yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) adalah Allah Tuhan sekalian alam. Dan Dia telah jadikan di atas bumi itu gunung-ganang yang meneguhkannya (tersergam tinggi), serta Dia melimpahkan berkat padanya dan Dia menentukan ada padaNya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka (semua itu berlaku) dalam empat hari”

Ayat al-Quran tersebut  mengingatkan perlunya kita kekal sedar bahawa rezeki yang kita terima hasil agihan kerajaan setiap masa janganlah dirasakan bermula dan berpunca dari Putrajaya, bahkan ia adalah dari langit dan bumi yang sememangnya telah ditentukan oleh Allah SWT. Tugas manusia adalah mengagihkannya mengikut kehendak Tuhan yang telah menyediakannya sejak awal lagi.

Kerajaan tidak memberikan rezeki tetapi tidak lebih hanya memegang satu amanah besar menguruskan rezeki tadi. Itulah hakikat kepada bajet negara dari perspektif Islam.

(2) Dalam falsafah ekonomi Islam disebutkan tiga perkara yang menjadi ukuran pertumbuhan ekonomi negara yang sebenar iaitu kemampuan mengurangkan kadar kemiskinan, kadar pengangguran dan kesamarataan dalam mencari rezeki yang akan menafikan jurang di antara miskin dan kaya.

Nyata dalam keadaan ekonomi hari ini, kita masih terlalu jauh untuk mencapai 3 matlamat seperti yang dinyatakan di atas. Justeru kerancakan pertumbuhan ekonomi negara hanyalah satu fenomena zahir yang tidak memberi apa-apa erti kejayaan dalam pengurusan ekonomi.

(3)  Saya juga menekankan satu konsep awal pengurusan ekonomi Islam iaitu unsur keberkatan di dalam pertumbuhan ekonomi adalah bermula daripada bagaimana kerajaan memperolehi sumber pendapatan (revenue) negara. Sekiranya bukan dengan cara yang benar dan halal, ia sebenarnya punca awal kegagalan kerajaan mencapai matlamat perbelanjaan negara yang diimpikan.

Pelaburan negara dalam semua sektor akan tersasar dan gagal akibat hilangnya keberkatan daripada Allah Tuhan yang memberikan rezeki daripada khazanahNya di langit dan bumi.

Justeru saya ingatkan 2 isu besar yang mesti kerajaan menilai kembali polisi mereka:

Isu pertama adalah isu royalti minyak dan gas. Ia bukan hanya soal undang-undang dan perjanjian yang dimeterai, bahkan ia adalah satu hak rezeki rakyat di tempat mana ia diperolehi. Hak rezeki datang bersama kelahiran manusia dan ia berada di sekitarnya dan adalah salah apabila ia disekat.

Saya percaya sekatan ke atas hak itu hanyalah satu keputusan politik dendam Umno/BN terhadap PAS. Umum telah pun mengetahui, semasa PAS mengambil alih Terengganu pada 1999, Terengganu terus dinafikan hak royalti. Ironinya, sepenggal selepas itu, apabila kerajaan Terengganu kembali dipimpin Umno/BN pada 2004, dengan mudahnya royalti itu diberikan kepada kerajaan negeri walaupun dengan nama baru wang ihsan.

Apakah kerajaan melihat rakyat tidak mengerti semua itu?

Isu kedua adalah berkenaan sistem cukai GST yang bersifat regresif dan jelas bertentangan dengan ajaran Islam kerana melibatkan golongan miskin yang dipelihara oleh Islam daripada dikenakan cukai ke atas mereka.

Saya tegaskan, kerajaan haruslah terus mencari satu mekanisma bagi memastikan golongan yang tidak berkemampuan dikecualikan terus daripada dipaksa membayar cukai.

Pengecualian (exempted supply) yang dikenakan terhadap barang-barang runcit itu bukanlah penyelesaian kepada isu ini kerana rakyat miskin juga akan tetap membeli barangan lain yang tidak dikecualikan cukai. Jelas, kerajaan dilihat terlalu mengambil mudah soal ini.

(4) Saya juga menyentuh isu PTPTN. Saya nyatakan bahawa pelaburan kerajaan kepada pembangunan modal insan merupakan sesuatu keuntungan kepada masa depan negara walaupun dari sudut jumlah wang, ia akan berkurangan. Dalam menghadapi ‘control damage’ ketika ini, saya mencadangkan kepada kerajaan agar menghapuskan kos pentadbiran secara keseluruhannya kerana ia bukan sahaja membebankan malah ia juga bertentangan dengan prinsip syara’. Saya juga mencadangkan supaya diberi lanjutan tempoh pembayaran dengan tawaran rebat dan diskaun yang sama sesuai dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 280.

(5) Isu dadah juga menjadi salah satu fokus saya semasa membentangkan bajet semalam. Saya menyarankan kerajaan menyemak semula  rawatan pemulihan menggunakan dadah jenis Methadone. Walaupun ia mampu menghalang ketagihan seseorang kepada Heroin dan Morphin tetapi kesan tidak langsungnya ia tetap membawa keburukan kepada tubuh badan.

Saya mengesyorkan kepada kerajaan supaya meneliti kaedah terapi psikospiritual. Suatu kaedah terapi yang menyepadukan di antara terapi dan kekuatan rohani bagi membantu memulihkan para penagih.

Inilah asas utama kejayaan sebelum disertakan dengan bantuan lain seperti latihan-latihan keusahawanan sosial dan pembiayaan modal awalan yang dapat membantu para bekas penagih apabila mereka keluar kelak untuk mereka membina kehidupan baru yang lebih terjamin dan menjauhi diri dari terlibat semula ke kancah penagihan dadah.

(6) Isu terakhir adalah rayuan saya kepada pihak kerajaan agar dapat mempertimbangkan peruntukan segera untuk membina jalan raya bertingkat (fly over) di Bulatan Lemal dari Pasir Mas menuju ke Tanah Merah bagi menyelesaikan kesesakan teruk yang berlaku setiap hari, apatah pada hari cuti dan perayaan. Malah lebih mendesak, ia juga adalah jalan utama dari Kota Bharu menuju zon bebas cukai di Rantau Panjang. Maka, pembinaan  tersebut dilihat sebagai salah satu langkah mengurangkan kesesakan yang sering menghantui pengguna jalan raya domestik dan pelancong dari luar yang menggunakan laluan tersebut.

Ada beberapa butiran lain yang tidak sempat saya bahaskan kerana kekangan masapendek yang diberikan. Insya Allah saya tuliskan nanti sebagai maklumat bersama.

Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz

Ahli Parlimen Pasir Mas

06 Muharram 1436H/30 Oktober 2014M

Tarikh : 25 Oktober 2014

Lokasi : Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kepayan

Pelbagai acara diadakan dalam mini karnival hijrah anjuran JK Surau dengan kerjasama pihak sekolah Pusat Pendidikan Islam an-Nur. Beberapa hari sebelum itu diadakan pertandingan futsal di Juara Ketiau melibatkan beberapa pasukan. Di perkarangan surau, diadakan pertandingan bola jaring, memanah, membuat kek, melukis, azan, mewarna dan sebagainya.

Kemuncaknya ialah pada sebelah malam dengan ceramah oleh Ustaz Aris Azlan Ismail dari Pahang. Penyampaian hadiah juga dilakukan pada malam tersebut.

Karnival Hijrah 1436 @ Austral (1) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (2) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (3) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (4) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (5) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (6) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (8) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (9) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (10) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (11) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (12) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (13) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (14) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (16) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (17) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (18) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (19) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (20) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (21) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (22) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (24) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (25) Karnival Hijrah 1436 @ Austral (26)

%d bloggers like this: