Archive for 25 Oktober 2014


Sumber : Web JHEAINS

Berdasarkan kepada kajian ahli sejarah, penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Mekah ke Madinah pada 622 Masihi bukan disebabkan ancaman dan kezaliman kaum kafir Quraisy. Penghijrahan itu adalah perintah Allah SWT. Maka hijrah itu dilakukan kerana keimanan dan kepatuhan kepada Allah SWT untuk berjuang menegakkan Islam dengan mengharapkan rahmat serta keredaan-Nya.

Firman Allah SWT bermaksudnya: “Sesungguhnya orang yang beriman, dan orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (S. Al-Baqarah: 218).

Jelas dari firman Allah SWT tersebut, hijrah yang dilakukan oleh umat Islam bukan disebabkan ikutikutan ataupun takutkan kezaliman kafir Quraisy Makkah. Mereka berhijrah kerana mengimani perintah Allah SWT dan Rasul-Nya untuk meninggikan syariat dan syiar Islam.

Inilah kekuatan yang mengupaya strategi berkesan pembinaan negara Islam yang kuat dan mantap dari segala dimensi termasuk akidah, akhlak, syariat dan sebagainya melalui bimbingan dan kepimpinan Rasulullah SAW. Dengan perintah hijrah itu juga, bermulalah detik kebangkitan Islam.

Walaupun dilatari dengan kepelbagaian kaum, kabilah, agama, budaya dan sebagainya, negara baru Islam yang tertegak di Madinah telah menjadikan umat Islam pada ketika itu daripada lemah menjadi kuat dari segi agama, ekonomi dan sosial sehingga menggerunkan musuh Islam.

Pendek kata, daripada peristiwa hijrah itu, tercipta kecemerlangan dan kegemilangan yang akhirnya dapat membentuk satu peradaban tiada tolok bandingnya dan kekal dikenang dalam lipatan sejarah.

Sememangnya peristiwa hijrah yang dilakukan Rasulullah SAW dan para sahabatnya beberapa abad lalu itu, tidak semata-mata berpindah tempat dari Makkah ke Madinah. Peristiwa itu mengandung hikmah serta pengajaran agar manusia terutama sekali umat Islam melakukan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik dengan meninggalkan berbagai perilaku buruk dan keji yang dilarang oleh Allah SWT.

Ini bertepatan dengan Hadith daripada Abdullah bin Amr, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT.” (HR. Al-Bukhari).

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/31690-apakah-masa-terbaik-kalau-bukan-sambutan-hijrah

Alkisah seorang pertanyaan anak…

“Salam ustaz, boleh tak ustaz bantu nasihatkan dan insafkan jiran saya. Dia terlalu nakal selalu menyakitkan hati ayahnya… ayahnya dah uzur, tapi masih selalu terpaksa membersihkan segala tindak-tanduk anaknya, memohon maaf sana sini. Kesian tengok mereka berdua,” kata Puan Fatimah kepada Ustaz Man.

“Tapi ayahnya sangat sayang pada anaknya, walaupun sakit hati, beliau masih menjaganya dengan baik… tapi disebabkan isterinya dah tak ada, kesian kat dia dah uzur, tapi anaknya yang tunggal masih tak faham-faham, nakal dan selalu menimbulkan masalah di sekolah sejak ibunya meninggal dunia tetiba 2 bulan yang lalu,” tambah Puan Fatimah lagi.

“Insya Allah,” kata Ustaz Man, “Saya akan cuba.”

Esok harinya, Ustaz Man pergi ke sekolah untuk memberi kuliah di surau sekolah budak nakal tersebut yang bernama Ali.

Ustaz Ali pergi ke kelas Ali untuk melihat gelagat beliau. Sebaik tiba di kelas, terlihat Ali yang berusia 16 tahun ini sedang bertengkar dengan seorang rakan sekelasnya untuk sekeping pemadam.

“Apa gaduh-gaduh ini,” tanya Ustaz Man.

“Ustaz, dia asyik guna pemadam saya, dan pemadam saya dah semakin kecil – saya nak ambil balik, dia tak bagi, jadi saya menampar dia,” kata Ali sambil menuding ke arah rakannya.

“Ustaz, Ali ini dia asyik guna pemadam saya, pemadam saya dah habis, jadi saya nak guna dia punya, dia pula marah… dia guna pemadam saya tak apa, saya guna pemadam dia dapat penampar, budak tak ada ibu mengajar memang macam itu,” sindir rakan Ali.

Ali berang dengan kata-kata rakannya tadi lalu cuba menamparnya untuk kali kedua. Ustaz Man menahan dan menarik Ali bersama pemadamnya keluar kelas dan ke bilik surau.

“Apa istimewa sangat pada pemadam itu?’ tanya Ustaz Man ketika Ali dah bertenang.

“Ini peninggalan terakhir mak saya, ustaz, kerana ayah uzur, mak keluar membeli sedozen pemadam untuk saya dan meninggal dilanggar motor,” kata Ali sambil teresak-esak.

Memahami perasaan Ali, Ustaz Man bertanya, “Ali sayang pemadam ini, takut habis betul?” Ali hanya mengangguk.

“Ayah sihat?” tanya Ustaz Man.

“Tak berapa… mengapa tanya?” tanya Ali.

“Ali sayang ayah tak?” tanya Ustaz Man.

“Sayang….” Jawab Ali.

“Tahu tak setiap kali Ali bergaduh, ayah susah kena datang ke sekolah walaupun sakit untuk mendengar kata-kata complain daripada cikgu-cikgu Ali,” tanya Ustaz Man.

“Errr… tapi saya tak buat salah…,” kata Ali.

“Tapi Ali susahkan ayah …” kata Ustaz Man. Ali hanya mendengar.

“Pemadam di tangan Ali sebenarnya bukanlah pemadam sebenar dalam hidup Ali. Pemadam sebenar dalam hidup Ali ialah ayah Ali.

Ali ibarat satu pensel, selalu menulis – tapi apabila silap, pemadamlah datang memadam tulisan tersebut untuk Ali menulis semula sebagai pensel. Seperti yang Ali tahu, setiap kali pemadam memadam, ia mengorbankan sebahagian daripada dirinya untuk membuka ruang kepada pensel untuk membuat pembetulan. Pemadam tak pernah merungut, kerana itu tugasnya, dan ia sanggup menghabiskan segala hidup untuk berbuat demikian untuk pensel.

“Pemadam berasa bahagia dapat berkorban demi pensel yang dia sayangi. Tapi Ali selaku pensel, jika ingin bersama pemadam untuk jangka yang panjang perlu belajar untuk mengurangkan kesilapan supaya pemadam tak perlu sentiasa mengorbankan diri untuk membetulkan tulisan yang tersilap.

Jika Ali teruskan perangai sedemikian, pemadam di tangan satu hari akan kecurian, dan pemadam sebenar akan meninggalkan Ali kerana semakin uzur dibuat Ali… Jika Ali sakit hati sehingga ingin menampar orang kerana pemadam di tangan akan mengecil kerana kerap digunakan, Ali tak sakit hati ke pada ayah Ali yang bagaikan pemadam, usianya semakin dimakan masa,” terang Ustaz Man.

Ali tersentak dengan cerita Ustaz Man – lalu pulang memohon maaf kepada ayahnya.

“Ayah maafkan anakanda – rupanya ayahlah pemadam sebenar yang tidak kenal penat-lelah yang perlu anakanda kasihi. Terima kasih kerana selalu di sisi anakanda, memaafkan kesalahan anakanda walaupun ia menyusahkan ayah. Maafkan anakanda, pensel yang tidak mengenang budi ini, ayah,” kata Ali kepada ayahnya yang masih tidak faham yang disebutkan oleh anaknya, akan tetapi hatinya riang kerana tahu anaknya sudah insaf.

Wahai anakku,

Berubahlah sikapmu. Apakah masa terbaik kalau bukan di sambutan Maal Hijrah? Ambillah peluang ini untuk berubah kearah yang lebih baik dalam amal ibadah dan kefahaman untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Semoga tahun baru hijrah ini akan membawa perubahan bermakna kamu, wahai anak kesayanganku. Senyum.

%d bloggers like this: