Archive for 21 Oktober 2014


Tarikh : 17 Oktober 2014

Lokasi : Medan Ilmu Kota Bharu Kelantan

Penyampai :

1) Ustaz Asri Mat Daud

2) YAB Dato’ Ustaz Ahmad Yaakob

 

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/31623-sentuh-anjing-antara-kemanusiaan-dan-anti-kemanusiaan

Oleh : Dr Mohd Zuhdi Marzuki

Sekali lagi perbahasan tentang hukum menyentuh anjing menyerabuti masyarakat Melayu setelah ia menjadi polemik umum hampir 80 tahun yang lalu.

Pada bulan Januari 1937, Sultan Kelantan telah menganjurkan perdebatan terbuka antara golongan kaum Muda yang dibarisi oleh Haji Nik Wan Musa Abdul Samad (bekas Mufti Kelantan), Haji Abbas Taha (Kadi Singapura) dan Dr Burhanuddin al-Helmi dengan golongan kaum Tua yang terdiri dari Haji Ibrahim Yusuf (Mufti Kelantan), Haji Ahmad Ismail (Ketua Kadi Kelantan) dan Haji Abdullah Tahir.

Masing-masing telah mengemukakan pandangan dengan dalil dan hujah berpandukan sumber-sumber Islam. Setelah masing-masing mengemukakan pandangan, maka Sultan Kelantan menyerahkan kepada rakyat untuk memilih pandangan yang sesuai.

Kaum Muda telah mengemukakan pandangan mereka dengan dalil dan hujah yang wibawa, bahawa boleh berpegang kepada pandangan mazhab Maliki (Talfiq) bahawa anjing tidak najis, tidak sebagaimana pegangan tradisi masyarakat Melayu berpandukan mazhab Shafie.

Perdebatan itu juga diketahui umum, terutama di kalangan masyarakat Melayu Kelantan.

Namun demikian, sehingga hari ini setelah hampir 80 tahun perdebatan itu berlaku, sukar untuk mencari sebuah keluarga Melayu termasuk yang berpegang kepada mazhab Maliki memelihara anjing untuk tujuan keselamatan, apatah lagi sebagai binatang peliharaan.

Jelaslah, ada satu aspek yang tidak boleh diabaikan dalam pengamalan Islam selain daripada dalil dan hujah, iaitu budaya atau ‘uruf.

Budaya adalah satu proses evolusi yang panjang membentuk cara hidup sesebuah masyarakat berinspirasikan pandangan semesta (worldview), hukum (termasuk adat) dan sistem nilai untuk disesuaikan dengan persekitaran mereka.

Tempoh evolusi cara hidup yang kemudiannya membentuk budaya ini sememangnya sukar untuk ditentukan, tetapi lazimnya ia berlaku secara tidak disedari malah seperti semulajadi (natural) sifatnya.

Revolusi cara hidup untuk membentuk budaya adalah satu pemaksaan terhadap masyarakat, yang lazimnya pula akan mencetuskan konflik malah boleh juga membawa kepada persengketaan yang serius. Demikian juga, revolusi cara hidup lazimnya tidak mapan.

Seorang tokoh Sosiologi Amerika, Charles A, Ellwood, pernah menulis panjang lebar teori-teori yang berkaitan dengan evolusi cara hidup, yang menurut pandangannya tidak sama dengan evolusi sosial.

Boleh disimpulkan, beliau cuba mengemukakan teori evolusi cara hidup yang bersifat organik.

Dalam konteks tradisi keilmuan Islam, evolusi budaya ini telah lebih dahulu dibahaskan oleh Ibn Khaldun sehingga beliau dikenali sebagai bapa sosiologi oleh para ilmuan moden.

Salah satu teori yang menarik juga tentang perubahan budaya ialah Structuralism, yang menyarankan bahawa budaya itu adalah interaksi manusia dengan sistem dan struktur yang lebih menyeluruh dan luas.

Berdasarkan pandangan-pandangan tersebut, dekonstruksi budaya bukan satu perkara yang mudah malah ada yang melihat lebih sukar dari dekonstruksi ilmu atau epistemologi.

Perdebatan isu anjing 80 tahun yang lalu boleh dilihat usaha untuk dekonstruksi ilmu, walaupun gagasan Dekonstruksinisme (Deconstructionism) ini dikemukakan lewat sedikit oleh Jacques Derrida.

Dekonstruksi ilmu secara aktif melibatkan para ilmuan melalui wacana dan debat yang dilingkungi oleh etika berbahas, justeru dampaknya terkawal.

Bagaimanapun, dekonstruksi budaya atau ada yang menyebut Pasca-strukturalisme akan turut melibatkan masyarakat bukan ilmuan yang akan menatijahkan dampak yang sukar dikawal malah boleh membawa kepada persengketaan, sehingga ada yang menyebutnya anti-kemanusiaan.

Kempen ‘I Want to Touch Dog’ pada pandangan saya bukanlah satu bentuk dekonstruksi ilmu sebagaimana perdebatan yang dianjurkan di Istana Sultan Kelantan hampir 80 tahun yang lalu.

Perdebatan tentang isu anjing ini berterusan berlaku sehingga hari ini, kadang-kadang suhunya tinggi dan kadang-kadang suhunya rendah. Malah perdebatan seperti ini akan berterusan sehingga bila-bila atas asas, perkara ini adalah khilaf yang sifatnya tidak berkesudahan.

Pada pandangan saya kempen “I Want to Touch Dog’ ini satu usaha untuk dekonstruksi budaya yang dampaknya boleh melewati sensitiviti dan mencetuskan suasana tidak terkawal.

Sebelum suasana tidak harmoni berlaku dalam masyarakat, usaha seperti ini termasuk ‘Pesta Arak’ Oktoberfest yang lalu perlu diberhentikan.

21 Oktober 2014
26 Zulhijjah 1435

Penulis ialah Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS.

%d bloggers like this: