
Namanya Mohd Faizal Mohd Nor, berasal dari Sandakan. Sebelum ini mengaji di Maahad Tahfiz al-Quran was Sunnah di Sandakan sebelum masuk ke Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah sejak mei lalu.
Faizal salah seorang pelajar yang tasmik al-Quran di sisi saya bersama 13 sahabatnya yang lain. Seorang pelajar yang ceria di hadapan kawan-kawannya, tetapi saya tahu hatinya begitu lembut apabila menerima nasihat daripada orang yang memberikannya nasihat.
Selepas peperiksaan semester bulan lepas, maahad bercuti sebelum hari raya haji dan kuliah bersambung pada awal november nanti. Maahad menjadi sunyi sepi daripada suara-suara menghafaz pelajar kami, juga riang dan kecoh mereka. Mereka kembali berehat di kampung halaman masing-masing.
Faizal bagaimanapun hanya seminggu di kampungnya. Dia memilih untuk berbakti ke rumah kami. Bukan atas permintaan saya, tetapi kehendaknya sendiri. Kami ada masa bersama sekitar 3 minggu sebelum dia balik ke asrama, dan baru beberapa hari di rumah, anak-anak begitu gembira dengannya bahkan kami semua selesa dengannya. Faizal begitu pantas menyesuaikan diri dengan suasana rumah kami dan ahli keluarga kami.
Sengaja saya catatkan artikel berkenaan kehadirannya sebagai satu kenangan indah walaupun baru beberapa hari di rumah ini, kehadirannya begitu menyenangkan. Saya harap Faizal menjadi anak yang soleh, dipermudahkan untuknya menghafaz al-Quran dengan istiqamah serta tidak berputus asa dan bosan menghadapinya. Saya tahu kerana saya guru tasmik al-Qurannya, setengah tahun mengenalinya dan berhadapan dengannya hampir setiap hari, saya masak dengan kelebihan dan kekurangannya.
Semoga tidak ada sesuatu yang menyebabkan dia berubah hati daripada dunia tahfiz ini. Janganlah harapnya dia mengecewakan orang tua dan keluarganya, semua yang mengharapkan kejayaannya bahkan saya sendiri lebih lagi. Jika dia tetap bersungguh menghafaznya, saya juga insya Allah akan bersungguh membantunya, bahkan Allah SWT pasti tidak akan membiarkan hambaNya ini. Sekiranya dia membaca ini, ikhlas saya mengatakan, saya kasih kepadanya kerana Allah.