Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/31457-bajet-2015-untuk-rakyat-daripada-rakyat

SYAHIR SULAIMAN | 13 Oktober 2014.

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Al-A’raf: 96)

Bajet rakyat

Bayangkan anda mempunyai pendapatan sekitar RM23,500 sebulan, namun  anggaran perbelanjaan anda adalah sekitar RM27,400 sebulan.

Setiap bulan anda menanggung defisit sekitar RM3,900 dan situasi ini telah berlarutan sejak tahun 1998 (tahun ke-18), mengakibatkan anda tiada lebihan dan simpanan malah terpaksa bergantung kepada hutang. Ibu anda sering menasihati anda supaya lebih berhemah dalam berbelanja, namun anda terus membelanjakan wang ke atas perkara yang tidak perlu dan di luar kemampuan.

Pada suatu hari, pihak bank telah memberikan amaran bahawa paras hutang anda telah mencecah paras kritikal 55% nisbah hutang kepada pendapatan. Anda dipaksa untuk merasionalisasi perbelanjaan dan mencari sumber pendapatan baru.

Anda mempunyai pilihan samada untuk mencari pendapatan sampingan dan mula berjimat dalam berbelanja, atau memilih jalan mudah dengan ‘merasionalisasi’ wang saku kepada ibu anda dan ‘memecahkan tabung’ anak anda supaya anda mampu terus bermewah dalam gaya hidup sekarang.

Bajet kerajaan

Untuk tahun 2015, kerajaan Persekutuan mengunjurkan pendapatan sekitar RM235 bilion dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM274 bilion.

Kerajaan dijangka akan menanggung defisit sekitar RM36 bilion (3.0% kepada KDNK) dan situasi ini telah berlarutan sejak tahun 1998 (tahun ke-18), mengakibatkan kerajaan tiada lebihan dan simpanan malah terpaksa bergantung kepada hutang.

Pihak kerajaan menyedari bahawa paras hutang Persekutuan telah menghampiri paras siling 55% kepada KDNK dan tiada pilihan selain mengurangkan perbelanjaan (merasionalisasi subsidi) dan mencari sumber pendapatan baru (melaksanakan GST).

Bajet adalah pilihan

Bajet adalah instrumen penting kerajaan dalam memperincikan unjuran pendapatan dan perbelanjaan bagi tahun mendatang.

Komponen utama sesebuah bajet adalah sumber hasil (cukai, bukan cukai, pinjaman) dan agihan perbelanjaan (pengurusan, pembangunan, pembayaran hutang) demi mencapai objektif utama dasar ekonomi iaitu memacu pertumbuhan (growth), mengawal kenaikan harga (inflation) dan mengurangkan kadar pengangguran (unemployment).

Ke mana RM274 bilion ini diperuntukkan? Sebanyak RM223 bilion (82%) diperuntukkan untuk tujuan mengurus (2014: RM217b) manakala sejumlah RM49 bilion (18%) diperuntukkan untuk tujuan pembangunan. Nisbah 80:20 perbelanjaan mengurus berbanding pembangunan sejak tahun 2011 ini adalah satu nisbah yang tidak seimbang bagi sebuah negara membangun seperti Malaysia.

Perbelanjaan untuk gaji dan emolumen kekal sebagai komponen terbesar berjumlah RM66 juta (29%) diikuti peruntukan subsidi berjumlah RM37 bilion (16%) dan perbekalan berjumlah RM38 bilion (17%).

Dari mana RM235 bilion ini diperolehi? Sebanyak RM183 bilion (78%) hasil cukai dijangka dipungut, merangkumi cukai langsung berjumlah RM135 bilion (cukai pendapatan individu, syarikat, petroleum)  dan cukai tidak langsung berjumlah RM48 bilion (duti eksais, cukai jualan, cukai perkhidmatan, GST), manakala sejumlah RM52 bilion (22%) dijangka diperolehi daripada hasil bukan cukai (lesen, pelaburan).

Hutang kerajaan dicatatkan pada kadar RM569 bilion pada tahun 2014, iaitu pada kadar 53% kepada KDNK, terus menghampiri had siling 55% yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Namun, angka hutang ini adalah jauh lebih tinggi jika dicampur dengan jumlah tanggungan liabiliti luar-jangka (contingent liability) yang mencecah puluhan bilion ringgit.

Inflasi akan terus meningkat, diunjurkan pada kadar 4.0%–5.0% bagi tahun 2015 berbanding 3.0%-4.0% pada tahun 2014. Fenomena kenaikan harga barangan ini adalah kesan daripada langkah rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan GST oleh pihak kerajaan.

Sebagai pulangan daripada langkah kerajaan tersebut, beberapa imbuhan akan diberi kepada rakyat, antaranya pengurangan kadar cukai pendapatan pada kadar 1%-3%, pemberian BR1M  bernilai RM950, boucer buku bernilai RM250, bantuan persekolahan bernilai RM100, elaun nelayan bernilai RM300, dan pelbagai lagi imbuhan dalam bentuk agihan tunai.

Walaupun ia dilihat baik, namun mekanisma pemberian tunai sebegini adalah tidak mampan dalam jangka masa panjang, dan wajar diperbaiki dengan memperkenalkan sistem kupon supaya golongan penerima dapat membelanjakannya untuk barangan keperluan secara lebih efektif.

Di sebalik angka berbilion ini, bajet 2015 memperlihatkan tiada mekanisma baru diambil  oleh kerajaan bagi meningkatkan tahap disiplin fiskal dan mengawal perbelanjaan secara efektif, malah terus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek pelaksanaan yang lemah sebagaimana dibangkitkan dalam Laporan Audit setiap tahun, di samping permohonan bajet tambahan yang akan dikemukakan pada separuh pertama setiap tahun.

Melihat kepada corak belanjawan ini, khususnya dalam pemberian BRIM, pengurangan subsidi, dan pelaksanaan GST, dapat disimpulkan bahawa kerajaan terpaksa mengambil tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun bagi mengurus persepsi di kalangan rakyat yang terbeban dengan pelaksanaan GST dan rasionalisasi subsidi, demi mempertahankan survival politik dalam PRU ke-14 nanti.

Penulis adalah Pengarah Kajian Polisi Pemuda PAS Malaysia.